Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Ahad, 31 Januari 2010

Bahasa Alam

Benarkah kita masyarakat yang cukup berperadaban. Kita mampu memiliki dan membina berbagai-bagai bentuk dan saiz bangunan. Ada yang lebar saujana mata memandang. Ada yang memuncak sehingga kita tidak mampu mencari puncaknya jika berada di kaki bangunan tersebut. Kita mampu membina kemudahan kepada manusia. Insan era ini dikagumi kerana kehebatan pemikiran meraka. Benarkah kita hebat. Benarkah kita sempurna. Jika benar kita insan yang hebat inteleknya kenapa kita gagal memahami Bahasa Alam. Bahasa Alam, bahasa marah. Alam sedang mendendami kita. Lihat sahaja di Haiti kalau pun kita lupa apa yang berlaku di Acheh. Jadi untuk memahami Bahasa Alam kita perlu kembali mencari siapa diri kita. Dan apakah yang telah kita lakukan di buana ini. Takut-takut kita menjadi mereka yang dimaksud oleh Ebit G. Ade dalam lagunya 'Berita Kepada Kawan'. Lirik lagu itu ialah ' mungkin alam mulai enggan bersahabat dengan kita kerana kita terlalu bangga dengan dosa-dosa'.Jadi jangan salahkan alam kalau alam satu detik nanti menelan kita hidup-hidup.
Wassalam.

Sabtu, 30 Januari 2010

Melihat dengan matahati

Semua insan di fana ini melihat jika pancaindera matanya tidak cacat. Itu adalah kenyataan. Tapi tidak semua insan melihat apa yang wujud di fana ini dengan matahati, biarpun matahatinya tidak cacat. Natijahnya insan akan membuat berbagai-bagai tanggapan. Jika apa yang dilhat itu bersesuaian dengan kehendaknya maka perkara itu baik dan begitulah sebaliknya. Apa yang mahu dikongsikan disini ialah tentang bagaimana insan di Malaysia ini melihat kepentingan sastera itu kepada kita semua. Kebanyakan kita mengukur sastera dengan nilai komersial atau sastera tidak mampu mendatangkan duit atau masa depan. Hasilnya sastera dipinggirkan. Benarkah begitu. Tapi jika diteliti dengan matahati kita peradaban sesebuah bangsa itu juga dibantu oleh sastera selain bahasa. Dalam sastera banyak falsafah dan nilai baik yang boleh diikuti oleh kita sekarang. Sekadar contoh, apa yang Bendahara Tun Perak wasiatkan kepada bangsa Melayu di Melaka. Katanya "jangan sesekali berpecah kerana ruang perpecahan itu akan digunakan oleh orang lain untuk menjatuhkan kita". Jadinya apakah sastera tidak penting kepada kita atau kita buat-buat lupa pada nilai dan falsafah yang ada kepada bangsa kita.
Wassalam.

Jumaat, 29 Januari 2010

Menyukat Masa Yang Ada

Masa. Satu unsur yang kadangkala sukar dimengertikan. Itulah kebesaran Allah SWT. Semua insan mempunyai masa yang sama. Satu hari 24 jam, tetapi ada insan cukup dengan 24 jam itu. Manakala kebanyakan insan 24 jam itu tidak cukup. Jadinya mereka kurang rehat walau pun mereka tahu malam itu dicipta untuk tidur. Makanya mereka tidak tidur. Ada yang masih berada di kedai-kedai untuk minum dan makan. Jadi kita sebenarnya melawan masa yang diperuntukan oleh Allah SWT. Satu lagi unsur yang sukar dikaji dengan masa ialah usia kita yang bergerak atas dasar masa. Umur kita semakain tua bukan semakin panjang tetapi sebenarnya usia dan masa kita untuk berada di dunia yang fana ini semakin singkat. Jadi marilah kita renungi masa yang ada kepada kita makin panjangkah atau semakin pendek. Renung-renunglah.
Wassalam.

Isnin, 25 Januari 2010

Sebenarnya, siapalah kita

Sesekali menatap dan merenung diri terlalu banyak kelemahan daripada kekuatan. Kita tidak boleh memilih apa yang kita ingini sekali gus. Jadi kita akan menjadi manusia yang tidak pernah puas-puas dengan apa yang ada. Kadangkala kerana ingin memiliki itulah kita tanpa sedar mengambil hak orang lain. Biarpun kita terpaksa membayarnya dengan menerima maki dan hamun atau terpaksa membayarnya tanpa sebarang perasaan malu. Jadi hasilnya kita sebenarnya adalah manusia yang lemah dan sering diikuti dengan kekeliruan.
Wasssalam

Isnin, 18 Januari 2010

Inilah Kehidupan


(dedikasi kepada seorang sahabat yang bapanya telah pulang)

Inilah namanya sebuah kehidupan
sahabat
sementara banyak dari kita
kesabaran,keikhlasan jua kekuatan
diri dan jiwa

Beginilah kehidupan, sahabat
sementara dan kesementaraan
memanggang kita kita segenap sudut
kepayahan,kepenatan juga
ketidakcukupan
diri dan waktu

Apapun sahabat,
sementara dan kesementaraan itu
perlu dilingkari iman dan takwa
supaya memagari kesabaran, keikhlasan
juga kekuatan
pada diri dan jiwa
menolak kepayahan, kepenatan juga
ketidakcukupan
dari sisi diri dan waktu

Inilah kehidupan sahabatini
perlu diempang dengan tauhid kepatuhan
agar sementara dan kesementaraan ini
mengalir jernih ke muara syurga.


Mingguan Warta Perdana
20 Disember 2009

Selasa, 12 Januari 2010

Perjalanan Mencari Burung Itu

Teman aku sedang bermusafir
untuk mencari burung itu
yang akrab dengan Rabbi
untuk kutanya tentang satu jalan ke syurga
agar aku bisa sampai dengan mudah ke sana
jika tidak mahu kutanya tentang satu pintu
dari banyak-banyak pintu agar mudah kumasuk ke dalam taman syurga
tanpa banyak soal bicara

Aku akan terus berkelana
teman
untuk kutemui burung itu
agar aku mampu ke rumah bapa
tanpa perlu banyak usul periksa

Akhir kembara ini
aku ketemu burung itu
kutanya aku sendiri tidak pasti
yang mana satu jalannya
yang mana satu pintunya
kerana sayapku terbakar hangus tanpa kutemui jalan dan pintu itu
jawapan yang boleh kuberikan
jalan dan pintu itu ada di dalam dirimu sendiri.


Dewan Sastera Oktober 2009