Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Rabu, 22 September 2010

Kandilku Suram


Salam. Memang adat, hidup adalah perjuangan antara kemenangan dan kekalahan. Tidak ada istilah ditengah-tengah bagi sebuah perasaan. Umpama kandil akan terang jika ditepukan minyak atau malap tanpa minyak. Itulah pasang surut kehidupan aku. Bukan soal keperluan hidup semuanya penuh dan total tapi pasang surut ini berlaku dalam mencari idea untuk mencoret. Beku, sebu dan buntu. Minda menjadi vacum, kosong dan infiniti. Tanpa mahu diajak mencari pemula istilah untuk mencoret. Jadi aku seumpama kandil yang mulai suram cahayanya. Sekadar untuk menyuluh setapak dua langkah, tanpa boleh melangkah jauh. Tamsilnya kandil aku terpaksa mencari minyak agar blog ini mampu diisi biar pun hanya sepatah perkataan atau secoret istilah. Agar blog ini mampu dihayati oleh insan lain, biar pun hanya dia mampu tersenyum sinis. Lalu aku mestilah terus-terusan menjadi pungguk memujuk bulan malam, biar pun dia tahu bulan tidak pernah mahu bersua dengannya (tamsilnya ialah aku perlu terus sabar dan berusaha agar blogku masih mampu memberi sesuatu kepada penggemarnya).

Wallahua'lam.

Ahad, 12 September 2010

Menjahit Koyaknya Kasih

Luwes. Aku curi masa menulis. Bukan apa cuma untuk merenung diri dan berkongsi dengan mereka yang mahu memberi sedikit masa untuk minda berfikir. Ramadhan telah pun menghilangkan dirinya dimentari Syawal. Aku lalu bertanya diri sempat atau tidak aku bertemu kembali fajar Ramadhan tahun hadapan. Hanya takdir yang menentukan. Apa yang mahu aku catatkan ialah diharap Syawal ini akan memberikan aku banyak peluang untuk menjahit kembali koyak kasih yang mungkin ada antara keluarga, teman-teman dan mereka yang pernah berlisan dengan aku. Aku mohon kemaafan pada semua daripada pangkal diri hingga hujung rohani. Mungkin lisan, mungkin tenungan, mungkin sentuhan, mungkin tindakan yang mengugah perasaan semua. Berilah aku peluang untuk menjahit kembali kasih-kasih yang terkoyak agar satu hari nanti aku ke sana tanpa sebarang hutang dan bebanan. Biar pun aku tahu jahitan aku tidak sesempurna seperti yang mula kita bersua. Maaf Zahir dan Batin kupohon daripada kalian semua.
Maafkan aku yang tidak sempurna ini.
Wassalam.

Pepatung, Ceria dan Aku

Maaf Zahir dan Batin pada semua pelayar blog ini. Masa yang luwes memberi sedikit ruang untuk menghantarkan ceritera baharu untuk tatapan. Kisahnya berpangkalkan waktu pagi ( kira-kira jam 9.30 pg) Di laman rumah aku lihat pepatung berterbangan cukup harmoni, ceria dan indah dipandang mata. Pepatung (panggilan orang Kedah, Cakcibau panggilan orang Perak dan Sesibu panggilan orang Johor) ini mempunyai keistimewaan yang jarang-jarang aku lihat. Bukan sahaja corak yang tertera di sayapnya tapi kemesraan antara mereka dapat dilihat. Setiap kali bertemu (sewaktu berterbangan) mereka akan bersentuhan sayap, umpama bersalam. Lalunya aku terdetik berapa kali aku bertemu sahabat dan teman, aku bersalaman. Kadang-kadang ya kadang-kadang aku lupa. Jadi aku seolah-olah tidak mesra dan tidak ceria dalam kehidupan yang semakin berdikit tinggalnya. Ya Allah kejadian yang Engkau kirimi adalah semiotik amalan yang sepatutnya makhluk ciptaan Mu berhayat.
Wassalam.

Jumaat, 3 September 2010

Melihat Pada Yang Tak Kelihatan

Salam Buat Semua. Maaf kerana tidak kerap menulis. Banyak kemungkinan yang mampu dijadikan alasan. Namun biar aku kemamkan saja. Kali ini aku ingin mengajak teman pembaca meneliti isu yang bakal diturunkan. Sesuatu yang berlaku itu sukar untuk diterima dengan baik oleh kita. Malahan ada yang mempersoalkan kenapa aku yang dipilih untuk terkena musibah ini. Kenapa bukan dia atau sesiapa sahaja, bukannya aku. Itulah soalan yang sering keluar daripada kita. Kita mempersoalkan takdir. Tapi kini aku ingin mengajak teman dan pembaca berfikir sejenak. Kenapa kita tidak kembali bertanya siapa kita sebenarnya. Jika kita mampu bertanya jawab tentang hal ini sudah pasti kita akan berterima kasih kepada Allah SWT. Kenapa ?
1. Kita sebenarnya insan terpilih - Allah sayang kepada kita - Allah ingin menghapuskan dosa
kita sebelum kita mati.
2. Diantara banyak umat-Nya kenapa kita dipilih untuk ujian ini.
3. Mungkin Allah tidak mengizinkan kita menguasai sesuatu itu secara mutlak - itu semua
pinjaman (harta, pangkat mahu pun orang yang dikasihi)
Kesimpulannya ialah kita kadang-kadang tidak mahu berfikir pada impak akhir kenapa sesuatu itu berlaku. Jadinya kita sebenarnya tidak melihat pada yang tidak kelihatan. Yang selalu belaku ialah kita melihat pada yang kelihatan sahaja. Benar atau tidak, renung-renunglah.
Wallahua'lam.