Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Rabu, 16 Mac 2011

Mencium Wangi Debu Kota Rasullulah

Terima kasih Ya Rabb
kerna mengirimi debu-debu kota kekasih-Mu
untuk kucium harumnya
biar dari kejauhan cuma
Terima kasih Ya Rabb
kerna menitip ceritera kekasih-Mu
yang sering mekar setiap kembalinya musafir dari sana
tentang lurah-lurah laluan-Nya
tentang persembunyian yang cukup menduga
tentang dua kota keredhaan-Mu jua
Terima kasih Ya Rabb
kerana mengizin semula
dua jiwa bertaut dalam wangi debu kota
yang aku mahu kesana
untuk kucium wangi kota pencipta insan sempurna
biar aku ditinggalkan sejuta purnama
biarpun belum tentu ku temuinya.

Paktam
KLIA 13/3/2011

Sabtu, 12 Mac 2011

Perjalanan Menjaring Matahari

Perjalanan kehidupan adalah pilihan kita. Begitulah yang berlaku pada seorang teman. Beliau memilih untuk berangkat kedestinasi yang jauh. Mungkin untuk mencari ketenangan. Sebabnya hanya beliau yang tahu. Yang pasti aku tetap pada satu ketentuan iaitu kehilangan seorang teman satu menara gading. Itu pilihan beliau aku perlu hormatinya. Tapi sebagai teman perjalanan pada pilihan ini umpama sebuah perjalanan menjaring matahari. Kadangkala matahari hilang diselimuti pekat awan. Kadang-kadang matahari dilindungi lebat hujan. tapi selalunya matahari disembunyikan oleh indahnya warna fajar dan lembayung senja. Jadi pada beliau gengamlah perjalanan itu. Usah menoleh lagi kerana temanlah nakhoda diperahu sendiri. Yang boleh aku sertakan ialah gugus-gugus doa agar pilihan itu adalah yang terbaik. bukan pilihan yang mewabakkan kekhilafan hidup. Biarlah detik masa yang mempersilakan kita semua untuk bersimpuh kembali sambil mengimbas perjalanan yang lepas.
Selamat berangkat dan anyamlah kenangan disini dalam perjalananmu.
Maaf dan Salam buat insan yang ku panggil teman.
Wassalam

Pilihan dan Ketentuan

Lingkaran kehidupan. Yang cuma kita ada bersifat berpasangan. Jika sihat lawannya sakit.Jika kaya lawannya miskin dan begitulah seterusnya. Kita tidak boleh berada di antaranya kerana itu melawan sifat alamiah. Jika ada lelaki sudah pasti ada perempuannya. Tapi jika kita memilih untuk berada ditengah-tengah bermakna kita tidak abnormal (seperti pondan, gay, lesbian atau lain-lain). Oleh itu kita mesti memilih dalam kehidupan. Pilihan kita banyak tapi hanya satu pada satu masa. Kita tidak boleh berada didua tempat dalam satu masa. Pun begitu dalam membuat pilihan. Pilihan kita kadang-kadang tepat dengan kehendak kita dan kadang-kadang tidak tepat. Ketepatan itu juga dimamah masa. Pada masa tertentu pilihan itu tepat dan memuaskan kita, pada jangka yang lain pilihan itu adalah satu kekesalan, menyukarkan dan menyiksakan. Lalu kita ingin mencampakkan pilihan itu jauh-jauh. tapi jika direnung kembali siapakah yang membuat pilihan, kita bukan? Disini pilihan kita dulu sebenarnya dibumbui oleh perasaan amarah, dendam, sakit hati malah lebih teruk lagi kita takut menghadapi masa depan yang mendatang. Ringkasnya kita membuat pilihan dengan membeli rasa takut. Umpamanya kita membuat pilihan untuk menjadi guru kerana kita takut digelar penganggur. Akibatnya pada satu masa, pilihan itu kita katakan pilihan yang salah. Kita menyesal dengan pilihan tersebut. Jiwa mula memberontak, marah-marah, sedih, resah dan stres. Kita memarahi semua insan dilingkungan dan juga memarahi Maha Pencipta.
Apabila hal ini berlaku, sebagai orang yang beragama kita perlu kembali kepada-Nya. Sebenarnya pilihan kita tidak salah kerana pilihan kita sudah tentu tidak sempurna seperti pilihan dari-Nya. Kedua kita perlu redha dengan ketentuan itu. Ketiga kita adalah bidak-bidak catur yang memang dicipta dan dipilih untuk menjadi seorang khalifah dimana kita telah membuat pilihan.Jika kita mampu mengapungkan diri menilai siapa kita sudah pasti kita akan memiliki taman dalam hati. Jadilah kita insan yang cukup tenang, suka menolong, suka tersenyum dan marah dalam senyuman.
Rumusnya pilihan adalah hak kita tetapi ketentuan itu adalah milik total Maha Pencipta. Syukurilah dengan apa yang kita miliki detik ini, kerana esok sebenarnya bukan milik kita . Renungilah dengan mata hati.
Wassalam.

Sabtu, 5 Mac 2011

Secalit Makna Kata

"Kasihlah kekasihmu sekadar sahaja, ini kerana pada satu detik takut dia memusuhimu, kamu tidak akan terlalu sakit. Dan bencilah musuhmu sekadar sahaja kerana pada satu detik nanti dia mungkin akan menjadi kekasihmu "
- Kata Syaidina Ali bin Abu Talib-
Bila dimenungkan pada secalit kata ini tersirat falsafah yang cukup istimewa iaitu:-
1.kita tidak mampu mempertahankan pendirian kita sampai bila-bila kerana detik masa dan keadaan lebih berkuasa daripada kita.
2.dalam hidup, kita sebenarnya tidak mampu memberikan apa pun secara (total) 100%, yang mampu diberikan ialah semampu mungkin (tidak boleh diukur).
3.yang mampu memberikan 100% ialah Maha Pencipta kita- itulah kesempurnaan.
4.hidup itu adalah satu ketentuan yang mana kadang-kadang apa yang kita tendensikan sukar untuk keluar daripada lingkaran hidup kita
5. akhir sekali usahlah berlebih-lebih dalam memberi dan membenci kerana waktu yang menentukannya - kita terpaksa pasrah kepada-Nya.
Apa pun teman-teman, hidup perlu diteruskan dalam kesederhanaan. Renung-renunglah.
Burung Malam mencari kehangatan malam.
Wassalam -