Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Rabu, 27 April 2011

Pada Sebuah Amanah

Buat mereka yang pernahku mesrai
usah gundah pada sebuah kehadiran
kerana kita adalah al-abrar
dipilih untuk memikul amanah
pada sebuah ilmu

usah gulana pada sebuah ilmu
ada haruman dari syurgawi
jika bahu keredhaan mahu sedar
kitalah pewaris segala Rasul
utusan Rabbul Jalil

Buat mereka yang pernahku mesrai
usah resah pada sebuah ilmu
kerana ilmu itu amanah
dan amanah itu adalah sebuah lorong
antara lorong-lorong ketaman Jannah.

Abd. Rahim bin Ismail
Kamar Budaya, Jabatan Pengajian Melayu
IPG Kampus Raja Melewar
Seremban.
28/4/2011

Selasa, 26 April 2011

Kehendak dan Ketentuan

Maaf kerana culas dalam mencoret. Apa pun menulis adalah halwa minda aku. Kali ini teman-teman diminta membaca dengan matahati. Kehendak manusia sebenarnya tidak terbatas. Kata hadis Rasulullah SAW, jika insan ini diberikan dua gunung emas mereka pasti akan meminta gunung emas yang ketiga. Itulah kehebatan kehendak manusia. Kehendak manusia walaupun boleh dipenuhi tapi pasti tidak akan muncul kepuasan. Oleh itu kayu ukur untuk menghalang kehendak manusia ialah dengan sedar bahawa kita tidak boleh memiliki semua kepuasan. Kepuasan itu sebenarnya telah ditentukan Misalnya jika kita orang kaya, kita tidak dapat lagi makan diwarong-warong dipinggir jalan. Ini kerana kita takut status kita sebagai orang kaya akan musnah. Begitu juga jika kita orang miskin kita tidak dapat makan direstoran lima bintang. Maka ketentuan disini sebenarnya bukan milik kita. Ketentuan itu miliki Pencipta. Oleh itu siapa dan apa pun kita sebenarnya telah diberikan ketentuan. Apa yang penting kita perlu bersyukur kerana kita masih memiliki apa yang sepatutnya dimiliki oleh insan lain. Kita masih mampu makan, mempunyai orang tersayang dan menyanyangi kita serta kita masih bangun esok pagi untuk melihat keindahan alami. Kecapilah apa yang ada untuk meneruskan kehidupan dan carilah kehendak untuk kita bersyukur. Kehendak adalah teman yang memimpin insan untuk kesyurga, manakala ketentuan adalah sempadan untuk kita mengenal siapa kita.

Oleh itu teman kehendak mempunyai keterhadanya manakala ketentuan adalah takdir mendorong kita mengenal diri.

Walallahua'lam

Isnin, 18 April 2011

Menatap Bulan Pucat

Malam ini tidak seperti malam-malam yang dulu. Bulan terbit tinggi bersama sinar yang pusam Warnanya pucat. Indah bulan tapi tidak bermaya. Jika dianalogikan kepada sebuah kehidupan bermakna kita masih hidup tapi jiwa kita hampir mati. Sebenarnya raga tanpa jiwa adalah kekalahan kepada masalah kehidupan. Insan ini perlu dimotivasikan agar dia tidak hanyut dan berserah sahaja kepada takdir. Jadi sebagai teman atau sahabat adalah kewajipan untuk membantunya. Jika dia kalah dalam kehidupan kita juga akan dipengaruhinya. Jadi kalau teman mengirimi semangat untuk hidup usah gusar kerana insan disekeliling kita sahaja yang tahu bahawa kita sedang berhadapan dengan detik pusam dalam kehidupan. Ingatlah masalah dan kepusaman dalam kehidupan adalah baja untuk kita tumbuh lebih hijau daripada semalam. Manakala pesanan teman-teman adalah penabur baja tersebut. Itulah kita yang perlukan sokongan dalam sebuah kehidupan. Apa pun ingatlah, kehidupan bukanlah satu bebanan manakala masalah itu adalah deman yang perlu kepada penawarnya. Umpamanya bulan yang pusam cahaya lalu buana akan samar pada penglihatan insani,

Fikir dan renung-renungilah.

Wassalam.