Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Rabu, 15 Februari 2012

Cerita dari secawan kopi

Secawan kopi sambil menanti waktu pulang. Melihat-lihat blog teman-teman. Ada yang berubah. Ada yang susut dan ada yang tidak berubah-ubah. Sambil melayari blog ketemu blog teman yang sedang berwisata. Simbol tandanya, dia beransur sihat kerana blognya semakin mekar dengan cerita-cerita yang di bawa. Cerita dia yang dipaksa oleh waktu bercuti. Itulah andaian atau terbak aku. Kadang-kadang kita mahu terbang jauh tetapi angin tidak ada. Kalau anginnya ada, talinya pula tidak cukup panjangnya. Rumusnya kita dilihat seperti bebas tetapi realitinya kita tetap terikat. Yang boleh dilakukan ialah terbang sepuas-puasnya sewaktu ada angin dan rehatlah semasa angin tiada. Itulah kudrat yang diberikan kepada kita, gunakannya sebaik mungkin. Buat dia, teruslah menulis kerana derita kita hari ini mungkin menjadi teladan kepada insan lain. Itu sahajalah sedekah kita kepada mereka yang sudi membaca blog kita. Kita bukan ustaz atau ustazah yang boleh mengajar disurau atau masjid, yang mampu kita berikan ialah ilmu yang bermanfaat.


Umpama secawan kopi, mungkin ada orang yang tidak minum kopi tetapi kerana temannya mengajaknya untuk pergi minum kopi, dia mengikutinya. Di sana mungkin ada keperluan teman tadi mengajaknya kesana. Sambil minum, sambil mencerita masalahnya, kita kerana berpengalaman atau memang pernah melaluinya, jadi kita sedaya upaya memberikan cara penyelesaian masalah tersebut. Jika berjaya mengurangkan bebanan yang ditanggung teman tadi bermakna separuh daripada penyakit beliau sudah hilang. Itulah kita dengan penulisan mungkin mampu membantu orang lain untuk meredakan tekanan yang sedang dihadapi. Umpama secawan kopi walau pun kita tidak suka meminumnya tetapi aroma kesegarannya kita sedut hingga kita tersenyum tentang wanginya. Biar hitam pekat kopi itu tapi kesegarannya telah memberahikan jutaan insan untuk meminumnya.


Buat teman yang dipaksa bercuti, tulislah apa pun agar tanda itu akan membantu kami di sini mengikuti perkembangan dari jauh.


Wassalam

Khamis, 2 Februari 2012

Siapa Kita...

Tajuk kali ini mungkin mendatangkan banyak jawapan. Ada yang mengatakan dia manusia, dia insan, dia hamba Alllah dan sebagainya. Jawapan ini semuanya benar khususnya sebagai hamba Allah. Tapi realitinya benarkah kita begitu. Contohnya terlalu banyak;


a. ada insan bangga kerana dia cukup kaya, memiliki apa sahaja yang berstatus kaya (kereta, kediaman, wang dll)

b. ada insan bangga kerana dia memiliki pakej lengkap sebagai seorang yang cantik (wajah dan potongan badan yang menarik)

c. ada insan bangga kerana memiliki ilmu yang tinggi (memiliki PHD dan sebagainya)

d. ada yang bangga kerana mempunyai kekuasaan dan kekuatan (menguasai Jabatan, Kawasan dll)

e. ada yang bangga kerana namanya diingati, disebut-sebut ( dalam media masa dll)


Benarkah mereka cukup hebat kerana;


a. jika mereka bangga kerana kaya, benarkah kerana Qarun lebih kaya daripada mereka. Kunci kekayaan Qarun terpaksa dibawa oleh beratus-ratus ekor unta. Kayakah mereka...

b. jika mereka bangga kerana cukup cantik, benarkah kerana Nabi Yusuf menguasai kecantikan didunia ini hingga mampu melukakan tangan tetamu yang datang ke rumah Zulaikha.Kecantikan mereka cuma 1/3 daripada kecantikan Nabi Yusuf. Cantikkah mereka...

c. jika mereka bangga kerana memiliki ilmu yang tinggi, benarkah kerana Nabi Sulaiman diberikan ilmu yang cukup luas bukan sahaja ilmu di dunia malah ilmu di alam binatang dan jin. Nabi Sulaiman menguasai ilmunya yang luas itu untuk belajar daripadanya sedangkan mereka yang bongkak dan sombong dengan ini sebenarnya mereka tidak menguasai ilmu. Bacalah kisah Sulaiman dengan semut. Berilmukah mereka...

d. jika mereka bangga kerana memiliki kekuasaan dan kekuatan, benarkah kerana Nabi Sulaiman lebih hebat kerana mampu menguasai jin untuk memindahkan istana Balqis ke istana baginda. Malah Nabi Sulaiman mampu menguasai alam dunia, alam haiwan dan alam jin. Berkuasa dan kuatkah mereka...

e. jika mereka bangga kerana nama mereka disebut, benarkah kerana nama Nabi Muhammad SAW telah termaktub di dalam takwim masyarakat dunia dengan Maulidur Rasulnya. Atau adakah mereka sehebat Abu Lahab yang dilaknat oleh Allah dalam al-Quran. Benarkah nama mereka disebut-sebut...


Jadinya, siapa kita sebenarnya cuma Allah sahaja yang boleh menandanya. Kita sebagai hamba-Nya cuma perlu bersyukur dan hidup di dalam keredhaan-Nya. Itu lebih baik, sebenarnya milik kita ialah dua atau lima helai kain putih bersama beberapa keping papan yang di masukkan kedalam liang lahat yang ukurannya 4x7x7= kubur. Apa pun jadilah insan yang baik dan seadanya kerana yang ada kepada kita itu sebenarnya tiada.


Wallahua'lam.