Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Jumaat, 30 April 2010

Sukarnya Menukang Kertas Penulisan Kreatif


Isu yang rumit sebenarnya. Menukangi Kertas Penulisan Kreatif untuk dibentangkan kepada guru-guru sekolah lebih rumit daripada menghasilkannya. Kepala aku buntu kerana daripada mana hendak dimulakan. Hendak dimulakan dengan takrif, siapakah penulis kreatif atau pun sumber-sumber karya kreatif. Buntu, kosong dan kadang kala kerumitan ini membangunkan aku ditengah lena tidur. Bahan untuk rujukan ada tetapi hendak mula menukanginya agak sukar. Walau apa pun aku berterima kasih kerana KJ, Kak Induk dan Kak Ros memberikan masalah untuk aku selesaikan. Masalah ini adalah positif dan akan berakhir dengan satu yang positif iaitu kepuasan. Biar apa pun aku pasti akan siapkan bukan untuk kepuasan aku sahaja tetapi merupakan ilmu baru kepada aku. Aku boleh menulis tetapi untuk terangkan proses penulisan kepada orang lain, aku masih di tahap kosong. Aku percaya perkara yang baik pasti Allah akan memberikan ilham kepada aku untuk memulakan. Insyalllah usaha ini akan menjadi baik. Amin.

Terima Kasih semua teman-teman kerana memberi kepercayaan untuk amanah ini.


Wassalam.

Rabu, 28 April 2010

Lagu dan Kita

Isu kali ini tidaklah besar. Tapi tetap penting kerana lagu sebahagian daripada asesori dalam hidup kita. Tiap individu, adalah agak mustahil tidak mempunyai lagu yang diminati. Lagu menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (hlm 744) " i. irama suara ( dlm bacaan, nyanyian , percakapan dll) ii. gubahan muzik biasanya dengan dengan seni kata, nyanyian dan iii. langgam atau corak irama (muzik dll)." Ada individu yang sukakan lagu nasyid, lagu-lagu irama 60-an, irama 50-an, blues, hindustan, rock, jazz dan sebagainya. Apa pun iramanya, lagu dan muzik mempunyai kelompoknya sendiri. Impak daripada kegilaan irama lagu yang dihasilkan, berlakulah istilah ikut-ikutan tentang gaya pakaian, rambut hinggakan cara hidup. Hal ini cukup jelas bila irama muzik Beatles menjadi siulan orang zaman itu. Begitu juga gaya rambut Afro menjadi ikutan orang muda tahun-tahun 60-an dan awal 70 -an . Kesan irama tahun 60 -an telah menyebabkan orang muda pada masa itu ingin memiliki vespa sebagai "trade-mark"nya. Itulah kuasa irama muzik dan gaya hidup penyanyi dalam hidup manusia. Satu lagi kuasa lagu yang tidak boleh dikesampingkan oleh kita ialah kenangan bersama kehebatan lagu. Mungkin kenangan sesuatu lagu kerana kita putus cinta, kehilangan orang tersayang, mungkin terkenang kampung halaman dan juga mungkin terkenang individu tertentu sewaktu bersama menyanyikan lagu tertentu. Itulah lagu dan kita. Kesan daripada lagu kepada aku juga terjadi. Apabila mendengar lagu "Knife" - nyanyian Rockwell atau lagu-lagu nyanyian Lobo aku terkenang kepada teman sebilik ditahun pertama di UM (Amiruddin ). Dia pandai memetik gitar (tong) sambil menyanyikan lagu ini. Beliau sering memetik gitarnya di atas katil sambil bersandar di dinding menghadap katilku. Petikan gitar dan alunan suaranya yang serak-serak basah akan bermula didinihari malam hingga lewat pagi (12.00 malam - 3 pagi). Kesannya aku tidak stress sewaktu mengulangkaji, lebih santai bila belajar. Jadinya lagu adalah sebahagian daripada asesori dalam hidup kita. Namun yang penting lagu perlulah dipilih untuk dijadikan halwa telinga kita. Mungkin ada insan yang tidak begitu setuju dengan isu ini, tapi tanyalah diri teman-teman adakah anda hidup ini tanpa mendengar dan mendendangkan lagu.
Wallahua'lam

Ahad, 25 April 2010

Lunak Yang Sukar


Isu kali ini tidaklah berat, isu biasa-biasa dalam hidup kita. Pernah terjadi pada diri kita, teman-teman kita tiba-tiba menjadi lunak dalam tingkah laku. Kelunakkan ini menyebab kita sukar untuk diteka. Adakah kelunakkan itu kerana beliau pernah melakukan kesilapan kepada kita. Tapi kita tidak sedar. Dengan kelunakan sikap dan intonansi, dia memohon maaf kepada kita. Biar pun kemaafan olehnya kepada kita telah lama dimaafkan. Begitu juga kita sebagai guru kepada bakal guru, kelunakan dalam bertingkahlaku, sikap dan verbal. Kelunakan perlu biar pun dalam keadaan ketegasan. Di sini bakal guru yang terdidik di bawah kita akan merasai mereka dihargai biar pun dalam keadaan marah. Begitu juga kita dengan anak-anak tegas tapi disampaikan dengan cara lunak. Kita kawal amarah. Jadinya keputusan yang kita terima juga baik. Jika amarah tidak terkawal, hasil yang kita peroleh akan memudaratkan semua pihak. Kita sering marah bila anak-anak kita memperoleh markah tidak penuh. Analoginya begini, dalam ujian anak kita mendapat 8/10, tapi yang kita nampak ialah bukan 8/10 tetapi 2/10. Kita marah kenapa boleh salah 2. Jarang kita memuji yang 8 itu sebaliknya kita marah. Apa salahnya kita memujinya tetapi dengan cara lebih kita katakan "baik kalau adik dapatkan 10/10". Di sini kita tegas untuk meminta adik belajar lebih lagi (tegas) tetapi diujarkan dengan kelunakan.

Begitulah kita kadang-kadang kita sukar untuk mengawal amarah dan hasilnya kita mendapat penyakit seperti darah tinggi, jantung dan stress. Amarah ialah iblis yang jahat dan kesudahannya juga jahat. Rumusannya, marilah kita bertindak dengan lunak agar kita tergolong dikalangan orang yang sabar.

Wassalam

Filem: Asosiasi Budaya Kita

Maaf kerana sedikit longgar dalam menulis blog ini. Bukan apa cuma masa yang sedikit dibahagikan kepada aktiviti anak-anak dan ibunya. Tapi dalam ketiadaan detik aku masih mahu menulis. Kali ini isu yang cuba di bawa ialah tentang filem dan asosiasinya dengan masyarakat kita. Mungkin ada yang akan marah tapi kebenaran filem dengan tingkah laku kita memang ada. Pertama, filem dihasilkan oleh Sang Sutradara setelah menyaksikan kegiatan masyarakat. Misalnya, filem-filem P.Ramlee (akhir tahun 50-an dan 60-an) banyak diisikan oleh beliau dengan tatahidup masyarakat ketika itu yang suka kepada cabaret, mabuk, night club dan masalah rumahtangga. Manakala filem-filem tahun-tahun 50-an banyak diisi dengan kisah masyarakat yang jujur sering disalahertikan (Seri Mersing misalnya). Keduanya, apa yang dikisah dan dikisarkan oleh Sang Sutradara dulu, kini turut berlaku dalam masyarakat kita. Misalnya (kalau tidak silap) dalam filem Seniman Bujang Lapok, dalam satu episod berlaku pergaduhan suami isteri kerana isteri tidak mempunyai sekerat emas pun di tangannya. Lalu suami menyatakan kenapa pinangannya diterima oleh bapa si isteri. Akibat daripada belanja yang terlalu tinggi, si suami terpaksa meminjam daripada cetti. Hingga anak sudah lima hutang mereka belum langsai. Di akhir episod tersebut, Aziz menyebut "kici pokok tara bayar, bunga tara bayar itu court juga masuk."Perkara ini sudah berlaku dalam masyarakat kita kini. Anggota masyarakat sanggup berhabis malah membazir kerana perkahwinan sedangkan anggota masyarakat lain tahu siapakah dia. Apakah berhabis dan membazir itu diperintahkan oleh agama kita. Tepuk dada tanyalah selera. Kenali diri anda sebelum kita merempat jauh daripada agama. Ingat-ingatlah bahawa kita akan ditanya oleh-Nya di sana.
Wallahhua'lam

Jumaat, 23 April 2010

Keindahan Menanti Mati


Khutbah Jumaat hari ini tentang kematian. Melalui khutbah ini telah termaktub bahawa setiap yang hidup pasti akan menemui maut. Seterusnya khubah tersebut menukilkan bahawa liang kubur yang dihuni dulu, kini dan selamanya telah dihuni oleh ulat,kala dan ular. Haiwan-haiwan ini menjadi rakan dan teman kepada simati diliang yang gelap. Bagi mereka yang bergelumang dengan dosa di atas dunia sementara ini, liang kubur mereka gelap segelapnya. Manakala mereka yang beriman liang kubur mereka akan menjadi terang umpama terang purnama di malam hari. Sedang jasad mereka yang berdosa akan hancur di makan haiwan-haiwan di laing kubur itu. Ingatlah, hidup di dunia adalah sementara, alam baqa adalah dunia yang kekal abadi. Di manakah kita, adakah kita dihimpit oleh kubur atau kubur itu sebahagian daripada taman-taman syurga. Lalu bagi mereka yang beriman mati itu satu keindahan dan sering menanti saatnya. Buat mereka yang berdosa, insaflah kerana kematian itu adalah satu seksa yang menakutkan. Dimana kita berada sebenarnya kitalah yang menentukan. Bukan siapa-siapa. Mahu ke syurga atau ke neraka kita yang memilihnya. Ingatlah, kita umpama tetamu senja yang cantik tetapi hadir sebentar kemudian ditelan oleh pekat malam. Renung-renunglah.


Wassalam

Khamis, 22 April 2010

Malu

Pramoedya Ananta Toer dalam novel besarnya Anak Semua Bangsa mencatatkan " bangsa Nusantara ialah bangsa yang malunya tidak bertempat, mereka malu bila mahu mencari ilmu tetapi tidak malu bila menerobosi hak diri (maruah diri) dan hak orang lain ." Setelah meneliti tulisan ini adakah malu kita selama ini bertempat. Kita malu untuk mendapatkan ilmu. Kita malu untuk menangis bila anak kita tidak mahu ke sekolah, tidak mahu belajar dengan bersungguh-sungguh, kita tidak menangis bila anak melanggar disiplin. Apa yang berlaku ialah kita sanggup menangis apabila anak gagal untuk menjadi johan nyanyian atau gagal untuk memasuki rancangan-rancangan realiti. Atau ringkasnya kita menangis kerana anak kita gagal menjadi penyanyi dan pelakon. Akibat daripada sikap begini, kita takut bangsa kita akan hanyut dalam dunia hedonisme ciptaan barat. Bangsa kita akan menjadi umat yang terdahulu, runtuh dan menjadi catatan dalam buku-buku sejarah.
Wallahua'lam

Ahad, 18 April 2010

Legasi Insani Segar Amat




Takut, Yakin, Was-Was, Seram sejuk dan panas. Itulah kehidupan yang sukar dimengertikan. Kadang-kadang kita tak mampu untuk menjangka apa yang lihat tidak sama dengan realiti. Begitu yang terjadi kepada aku dan teman ketika di Segar Amat. Mula-mula takut kepada 2 dimensi. Sisi pertama kerana berada ditempat orang. Bagaimana kedudukan pada 3 hari mendatang. Tentang makan minum dan pengangkutan. Sisi kedua ialah bagaimana untuk meluahkan ilmu kepada guru-guru di daerah ini. Takut-takut tak tercapai seperti yang diharapkan. Hati menjadi gelisah dan resah. Namun realitinya resah dan gelisah itu terhapus dengan sendirinya apabila menerima layanan VVVIP , 5 star. Makan, minum dan pengangkutan bukan masalah semua tersedia. Hinggakan tak mampu pula untuk makan. Apa yang boleh aku ucapkan ialah jutaan terima kasih kepada semua yang berada di Segar Amat. Legasi Insani anda cukup hebat. Malah menjadi kenang-kenangan pada aku hingga akhir hayat.Apa yang boleh aku susun di sini ialah" Legasi kalian terletak kepada cahaya kemanusiaan yang dipancarkan melalui tindakan"Syabas dan tahniah untuk semua daripada pegawai hinggalah kepada guru-guru semua.
Sekian. Wassalam.




Jumaat, 9 April 2010

Kemanusiaan Yang Korup

Dada akhbar dan majalah di Malaysia sarat dengan gambar yang cukup menakutkan. Gambar tentang bayi dikerumuni semut. Perempuan-perempuan tuna susila yang diheret ke trak polis. kemalangan mobil kerana injuksi dadah. Atau hubungan suami isteri yang berantakan. Kenapa padah ini melanda kita. Bukan dunia kita tidak maju. Bukan kita tidak kaya. Bukan kita tidak berilmu. Bukan itu. Habisnya. Kita sudah korup kemanusiaan. Kita tidak suburkan kemanusiaan dengan sifat-sifat insaniah dan kerohanian. Korup kita kerana melawan alamiah. Korup kita kerana melawan arus kenapa kita diciptakan. Kita diciptakan untuk memperhambakan diri kepada Allah SWT. Tapi apa yang berlaku, bencana. Kita hendak melawan Allah kerana kita anggap kita sudah mampu menguasai alam. Benarkah. Kita lupa kaum-kaum dahulu ilmu mereka cukup tinggi hingga mampu membina Piramid atau Taman Tergantung di Babylonia. Mampukah kita mencipta Piramid dengan kuasa tangan. Natijah kesombongan kita, kita tidak mampu pun menahan salji yang terlalu tebal turunnya. Atau menahan rekahan tanah di dasar laut yang menghasilkan tsunami. Kita kehilangan kasih sayang, hormat menghormati dan juga sifat memberi. Apa yang ada ialah egois dan haloba. Sifat-sifat negatif inilah, menyebabkan alam mula marahkan kita. Entahlah kemanakah kemanusiaan kita meminggir.
Renung-renunglah. Wassalam.

Khamis, 8 April 2010

Ilham Yang Hilang

Mungkin aku hari ini kehilangan ilham untuk menulis. Ada beberapa kemungkinan. Pertama kerana idea yang ada terpaksa ditumpahkan keatas esei untuk peperiksaan. Kedua mungkin aku memang tiada idea. Ketiga mungkin aku sudah memang kemandulan ilmu. Tidak membaca untuk menambah ilmu. Bila ada ilmu mudah untuk kita berbicara atau menulis. Itulah sebabnya Islam yang diturunkan kepada Nabi besar kita Muhammad SAW bermula dengan 'Iqra' yang membawa maksud 'Bacalah'. Jadinya untuk mendapat ilmu, berbicara dan menulis kita perlu membaca. Apabila tidak membaca kita kemandulan ilmu. Akal menjadi kosong. Kosong adalah musuh yang paling ditakuti oleh mereka yang menjadi pengkarya. Ini juga yang menyebabkan penulis-penulis besar kita seperti Hamzah Fansuri (sekadar menyebut nama) sebelum menulis, pengarang ini bersembahyang dua rakaat dahulu. Implikasinya karya-karya mereka cukup hebat dan terus dikaji hingga sekarang. Rumusnya untuk menjadi pengarang yang hebat (pengarang Islam) kita perlukan ilham dan perlu memohon daripada Allah SWT. Kehilangan ilham ini menyebabkan aku menjadi pemenung yang cuma merenung masa yang berlalu. Pun begitu ilham yang berangkat itu telah membawa aku kepada penulisan sajak yang cukup ringkas seperti di bawah.
Kekasih
Bulan diujung langit
menyinar cahaya samar
Ombak diujung pantai
membasuh jejak
Kekasih
yang tidak lagi setia.
Pantai Saujana
Port Dickson
Wassalam

Isnin, 5 April 2010

Benturan Usia dan Waktu

Semalam aku beristerahat. Tujaun untuk merehatkan akal yang terusan bekerja. Tapi rupa cuti ini pilihan yang tidak begitu tepat. Aku jadi gelisah. Akal mengajak aku berfikir dan mencari teman. Lalu aku mencari teman diluar kamar berkerjaya. Talipon Ghazali dan mengajaknya ke UPM. Sambil-sambil bertemu teman-teman dapat juga Ali mencari bahan untuk tesis PHDnya. Allahmdulillah semua kerja terpacu mudah. Hingga Ali tidak mampu membawa buku-buku pinjaman teman diUPM untuk di fotostatkan. Sementelah itu dapat juga Ali berbicara dengan teman yang di peringkat akhir untuk selesaikan PHDnya. Aku cuma mendengar-dengar sahaja tanpa mahu menyertai diskusi mereka. Apa yang dibincangkan meminta usia yang lebih muda. Benturan usia dan waktu mungkin menarik aku keluar daripada wacana intelek mereka. Itulah kehidupan benturan usia dan waktu mula menjengah kita. Usia semakin tua lalu kudrat kita menjadi semakin lemah. Lemah segala-galanya. Mungkin benar falsafah Arab dalam usia 20 -30-an merupakan puncak kita mencari apa yang dimahukan. Bekerja keraslah diwaktu ini. Usia 40-an merupakan usia untuk berehat dan mencari akhirat. Tapi budaya kita terbalik pada usia 20-30-an merupakan usia untuk memulakan kerjaya. Pada usia 40-an kita baru ingin mengecapi kemuncak kerjaya. Jadinya apabila lemah baru kita hendak kembali mencari kemahuan yang dahulu. Mungkin tidak terlambat tetapi kudrat tidak mengizinkan. Waktu yang ada kepada kita pun tidaklah terlalu banyak dalam usia 40-an jika diunjurkan mengikut usia Nabi SAW. Tinggal kurang lebih 22 tahun sahaja. Kembali kepada teman-teman diUPM mereka masih diawal 40-an. Mampu berbicara kemas dengan ilmu yang dikuasai. Aku menjadi pendengar yang setia. Senyum, Tawa dan cuma hadir menguasai suasana. Itu sahaja. Lalu aku kembali bertanya adakah aku cuba membentur usia dan waktu. Adakah budaya kita salah kerana sering menyebut "live begin 40".
Entahlah benturan usia dan waktu aku dan teman-teman sebenarnya terus memacu semakin mendekat kekaku nesan. Renung-renungkanlah
Wallahuallam.

Khamis, 1 April 2010

Bahasa Melayu oh Bahasa Melayu

Isu yang mahu dikongsi hari ini ialah tentang bahasa Melayu. Bukan apa banyak perbincangan terhadap kedudukan bahasa ini. Ada yang menyatakan bahasa Melayu tidak komersial berbanding dengan bahasa Inggeris. Kita perlu belajar bahasa Inggeris kerana ia bahasa global. Jika ada yang berkata demikian bermakna dia tidak menyelusuri sejarah bahasa itu sendiri. Oleh itu untuk melihat kehebatan bahasa kita aku ringkaskan apa yang tercatat dalam sebuah rencana tulisan Wan Zainon Wan Awang yang berjudul Bahasa Melayu teras perpaduan generasi warisan. Dalam rencana ini tercatat beberapa keistimewaan bahasa kita;
1. Koleksi surat dalam bahasa Melayu tulisan jawi oleh Sultan Abdul Hamid Halim Syah, Kedah kepada pegawai-pegawai Inggeris telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai koleksi agung
warisan dunia.
2. Dalam Straits Goverment Gazette bertarikh 4 November 1859 telah menetapkan semua
pegawai British yang berkhidmat di bawah kerajaan Negeri-Negeri Selat di Tanah Melayu
dikehendaki lulus dalam peperiksaan bahasa Melayu sebelum disahkan dalam jawatan atau
kenaikan pangkat. Mereka mestilah boleh membaca dan menterjemah satu petikan dari
buku Sejarah Melayu dan bertutur mengenai sesuatu topik serta menulis dalam bahasa
Melayu. Tujuan lain ialah untuk memudahkan mereka berhubung dan memberi arahan
kepada penduduk tempatan.
3. Walaupun kemudiannya pihak Biritish mengutamakan bahasa Inggeris dalam pentadbirannya tetapi penjajah tidak menamatkan terus hayat bahasa Melayu. Bahasa Melayu terus berkembang dan menerima galakan daripada British terutamanya kepada pegawai-pegawainya untuk mengkaji teks-teks Melayu. Hasilnya lahirlah tokoh-tokoh pengkaji British terhadap bahasa dan sastera Melayu seperti Mubin Sheppard, R.J. Wilkinson, W.G. Shellabear, R.O Winstedt, J.Crawford, O.T Dusseks dan W.W. Skeat.
Bersandarkan realiti yang dibentangkan ini, apakah bahasa Melayu yang telah berkembang sejak abad ke-2 M di Champa tidak mampu mendukungi wacana-wacana ilmiah. Atau apakah bahasa ini dikesampingkan kerana kepentingan tertentu. Mahukah kita dituduh generasi akan datang sebagai generasi yang "kera dihutan disusukan, anak diriba mati kelaparan" atau yang lebih teruk 'dagang lalu ditanakkan, dagang pergi awak berhutang". Mahukah kita menjadi generasi yang disumpah generasi sendiri.
Wallahualam.

Pengembara Yang Pulang


Bermenung. Seketika terkenang suasana indah, permai dan menyamankan. Suasana kampong yang sarat dengan angin sejuk yang menyegarkan. Dihijaukan oleh rumpun padi yang sedang membesar. Namun dicelahan rumpun padi itu terselit telur-telur siput gondang yang dapat merosakan rumpun padi tersebut. Indah bukan, Kampong Lonek. Tapi apa yang lebih terkesan ialah aktiviti yang dijalankan. Bermain wau dan layang-layang, mengonca keli, mengemping dan mengacau dodol merupakan nostalgia masa dulu. Aku seperti pengembara yang pulang kemasa kanak-kanak. Wau, selut, rumpun padi, keli sawah serta padi menguning adalah teman-teman tanpa suara pada aku. Jadi apabila berada di masa aktiviti itu berjalan aku seperti pengembara yang pulang. Pulang mencari diri. Pulang mencari identiti. Pulang untuk memikirkan asal mula kehidupan aku sebelum berada di sini. Itulah aku dan kita. Pengembara yang terus-menerus mencari kehidupan sebelum dijemput pulang.


Wassalam.