Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Khamis, 29 Julai 2010

Maha Suci Allah Yang Menciptakan...


Kadang-kadang sesuatu peristiwa, perkara dan hal berlaku kerana untuk meminta kita berfikir. Hasilnya kita akan menjadi insan yang akan mengkagumi Maha Pencipta kita. Bukan apa aku telah dititipkan untuk mengadakan KPKI (Teknik Bercerita) di PKG, Tampin. Dalam KPKI ini Allah meminta aku untuk berfikir tentang ciptaan-Nya. Di sini kebijaksanaan insan tidak mampu mengubah bentuk asal ciptaan-Nya tapi ciptaan ini berguna kepada insan. Dalam KPKI ini aku menggunakan pasir yang tak mampu diubah bentuk tapi boleh digunakan untuk P&P. Kedua daun kelapa yang tak mampu diubah bentuknya tapi boleh digunakan untuk membuat seekor belalang yang cukup cantik. Begitulah kebijaksanaan insan cukup terhad. Maha Suci Allah yang memberi terlalu banyak kepada aku tapi aku membalasnya hanya dengan sejemput kebaikan.


Maafkan aku Allah.


Renung-renungilah.

Perjalanan Terakhir Makhluk Bernama Manusia

Pada 28/7/10 aku memandu melintasi Pekan Tampin untuk ke Tol Air Keroh. Tiba di Kampong Padang Sebang, Melaka aku melintasi Tanah Perkuburan kampong tersebut. Bukan satu yang istimewa bila kita menyebut tanah perkuburan. Malah ada yang tidak mahu mendengarnya. Realitinya kita akan ke sana juga akhirnya. Apa yang mahu dicoretkan ialah insan yang telah berangkat ke dunia baqa ini mungkin orang yang istimewa. Ramai yang menghantarnya ke tanah perkuburan. Ini bersandarkan deretan mobil dikiri kanan jalan. Kedua, aku melintasi rumahnya yang sederhana besar. Semiotiknya dia bukan orang besar, tapi cukup istimewa. Dalam benak, aku dapat melihat tanda bahawa insan ini orang istimewa kerana petandanya adalah mobil dan kediamannya. Lalu aku pun bertanya apakah esoknya aku adalah insan istimewa atau orang besar. Nantilah detik itu yang pasti menyapa semua makhluk yang bernama manusia.
Wallahua'lam.

Sabtu, 24 Julai 2010

Maka...masapun bermadah

Topik kali ini tidaklah meminta banyak menungan. Cuma ingin mengucapkan Selamat Dalam Semua Penglibatan Diri Puan Pengarah Selepas Bernoktah sebagai pegawai kerajaan. Dimata saya sebagai seorang pekerja, Puan telah melaksanakan amanah yang hadir dibahu Puan dengan cukup baik. Puan mampu memberikan sedikit masa untuk bersama melibatkan diri dalam aktiviti Jejak Budaya 1-3. Terima Kasih Puan. Itulah kadangkala kita insan tak mampu membohongi diri bahawa masa adalah penyukat yang istimewa dalam hayat kita. Apa pun masa yang telah diberi itu dirasakan cukup untuk Puan melaksanakan motto Allah SWT kepada kita iaitu "Manusia adalah khalifah Allah di dunia ini". Selamat Bersara Puan. Puan telah pun dimadah oleh masa bahawa tugas memimpin telah pun tiba dipenghujungnya. Puan adalah istimewa kerana telah dipilih Allah SWT untuk melaksanakan amanah-Nya. Akhirulkalam, terima kasih kerana memberi tunjuk ajar yang baik kepada saya dan teman-teman. Semoiga diredhai Allah dalam semua detik kehidupan Puan di masa mendatang.
Terima Kasih untuk segalanya.

Rabu, 21 Julai 2010

Aku kini menjadi tempua


Sulit dan menyulitkan. Aku sedang membina puisi khas untuk seseorang. Aku mengajak minda memberikan yang terbaik. Tapi sulit, ilham aku tumpul. Sebait dihasilkan aku tidak puas lalu aku rombak dan rombak lagi. Akhirnya idea yang mahu aku tumpahkan tak kesampaian. Kembali aku mulai lagi. Sebait, tidak puas. Aku kembali merombak dan rombak lagi. Lalu akhirnya aku kembali meranjut lagi. Bina lagi bait pertama, rombak lagi. Kembali lagi membina yang baru. Begitulah aku sehari-hari hingga melarut ke seminggu. Akhirnya didepan aku tetap kertas kosong yang baru. Ilham aku menghilang. Kisah aku untuk membina puisi ini seperti tempua yang merajut sarangnya hingga sukarnya manusia mencari puncanya. Apa pun aku perlu mengajak minda bersama ilham daripada langit untuk menyiapkan puisi yang diamanahkan. Jadi kini aku berkelana dalam gelap untuk mencari ilham untuk tugasan ini. Yang teman lihat adalah jasad yang bergerak, tapi minda aku lebih daripada 60 % sedang bergulir mencari perkataan pertama untuk aku mulai bait puisi tersebut. Itulah sebenarnya lorong gelap yang menghantui aku. Hasilnya kesulitan ini mengajak aku untuk menemani malam hingga melarut. Kini teman aku adalah tempua yang mahu membina rajut pertama untuk sarangnya.

Apa pun esoknya aku masih mahu tersenyum.


Terima kasih Allah.


Walallahua'lam.

Khamis, 15 Julai 2010

Meneliti Niat Yang Terpatri

Jutaan maaf pada pembelek blog ini kerana jarang-jarang menulis. Kali ini aku ingin meminta sedikit fikir daripada pembaca untuk memikirkan perkara yang mahu aku catatkan. Kita sebagai insan sering bertanyakan masa untuk melakukan sesuatu dan juga adakah aku boleh mendapat hasil daripada apa yang aku buat. Contohnya kita hendak menanam sebatang pokok lalu kita bertanya apakah aku boleh makan buahnya. Disini kita seolah-olah bertanya apakah aku masih bernafas untuk memakan buahnya. Jadi disini kita memikirkan kepentingan kita serta masa yang ada untuk kita. Begitu juga ada teman bertanya apa yang bakal aku dapat jika menamatkan PHD. Jadi disini kita seolah-olah mementingkan imbalan yang boleh kita peroleh selepas tamat PHD. Kadang-kadang aku bertanya adakah kita belajar hingga PHD kerana wang atau ilmu. Jika untuk ilmu alhamdulillah, jika sebaliknya, tolong betulkan niat anda. Jadi marilah kita kembali kepada apa ukuran Allah SWT dalam memberikan pahala. Firman-NYA "amal yang baik bermula daripada niat". Terpulanglah kepada pembaca untuk menggunakan akal yang sihat untuk menentukan dimana anda berdiri di fana ini.
Walallahua'lam.

Selasa, 13 Julai 2010

Kita dan Sebuah Nilai

Maaf. Papan batu saya kembali meragam. Jadi saya kadang-kadang menganggur daripada menulis blog ini. Sekejab ada sekejab tidak ada. begitulah insan seperti kita yang tidak sempurna dan kena cipta ini. Kali ini pembaca mahu aku ajak berfikir tentang kehidupan yang menghayat ini. Apakah semua benda dalam kehidupan ini boleh diukur dengan satu nilai. Maksudnya begini adakah semua perbuatan yang kita lakukan boleh dinilai dengan wang atau nilai benda lain yang berharga (spt emas, perak atau pun bijih timah). Jika ini berlaku maka akan lahir manusia yang cukup materialistik. Kita bantu orang, selesai sahaja kita meminta upah. Lalu kemanusiaan kita pun semakin merosot dan mungkin menghilang. Dengan ini apa sahaja yang kita lakukan sama ada kecil atau besar pasti akan disudahi dengan upah. Rumusan pertama yang boleh dibuat ialah apa sahaja tugas/kerja yang dicipta oleh manusia akhirnya diukur dengan satu nilai. Bezanya hanya kecil atau besar upah itu. Sebaliknya apa yang dianugerahi oleh Allah SWT tidak pernah diminta sebarang upah. Misalnya Allah SWT meminjamkan kepada kita perasaan cinta, kasih sayang, belas kasihan dan sebagainya tidak pernah DIA meminta upah. Imaginasikan jika semua anugerah ini tidak diberi adakah kita akan dikenali sebagai manusia. Rumusan kedua yang boleh dibuat ialah segala yang dianugerhi oleh Allah SWT tidak pernah diminta bayaran. Kesimpulannya, apakah semua benda yang kita buat, miliki atau memberikan kepada orang lain boleh diukur dengan nilai seperti di atas. Entahlah. Cuba renung-renungkan.
Wassalam

Jumaat, 9 Julai 2010

Kita dan kenangan

Malam merangkak ke dinihari. Dingin dan sepi. Mata tak lagi mahu pejam. Lalu sebagai insan yang semakin merangkak ke tua, aku semakin mencari yang semakin hilang. Mula mencari sejarah lalu yang mula kabur kerana kita terlalu menyediakan diri untuk kejayaan. Aku terkenang teman-teman lama yang sepermainan dulu. Adakah mereka semuanya masih seperti aku. Atau telah dipanggil kembali. Terkenang padang permainan yang kini mungkin tiada lagi. Merindui denai-denai dipinggir kali yang dingin airnya. Lalu hati ingin sekali berpotret dan kemudian menyimpannya sebagai kenangan. Begitulah aku dan mungkin juga orang lain. Kita jarang-jarang menghargai apa yang ada dulu kini kita terpaksa kembali mencarinya kerana kita sebenarnya sebahagian daripada sejarah masa lalu. Sejarah hayat kita sebenarnya tidak pernah padam dalam album kehidupan cuma kadang kala dia disembunyikan oleh masa dan suasana. Ingatlah sejarah dan kenangan adalah musuh kepada mereka yang menghayat tua.
Entahlah. Benar atau tidak hanya tuan tubuh sahaja yang mengetahuinya.
Walallahua'lam.

Jujur dan Kehilangan

Pohon maaf,kalau masih menatap catatan yang semalam. Bukan apa papan batu aku kehilangan enginnya. Jadinya aku adalah penganggur sementara. Tanpa mampu menulis diblog ini. Kini aku meminjam engin orang untuk memutus tali penggangur sementara aku. Itulah kita kadang-kadang kehilangan. Hilang diri, hilang imej, hilang kesukaan dan kadang-kadang kehilangan yang dicintai. Bila kita mempunyai kekuatan dan kuasa janganlah kita anggap kuasa dan kekuatan itu milik kita selama-lamanya. Jadinya apabila kita diberikan dua hak ini, jaga dan berperananlah dengan sewajar dan sejujurnya. Takut nanti hak itu akan memakan diri kita kembali. Sakit dan parah sekali. Kadang-kadang kita menuduh orang lain tidak sukakan kita kerana itu kita disakiti. Sebenarnya semua itu adalah auta manusia sahaja. Itu sebenarnya satu pembalasan. Sesal dan ingin kembali mendapatkan kuasa dan kekuatan itu semula. Sudah tentu gagal kerana selalunya peluang/rezeki yang dianugerah oleh Allah SWT kepada insan hanya sekali. Semoleknya sebelum kita menjatuhkan sebarang kuasa/arahan kita perlu berfikir secara Islami (mungkin bersolat sunat). Berfikirlah banyak kali sebelum melakukan apa pun agar kita tidak berada dipihak yang kesal dengan arahan/kuasa yang kita jalankan. Biar manusia mengatakan kita lambat membuat keputusan tapi jangan mereka menyatakan kita membuat keputusan yang tidak tepat. Renung-renungilah.
Wassalam

Jumaat, 2 Julai 2010

Kadang-kadang Terlupa Aku

Maaf. Terlalu lama tidak menulis dalam ruang yang ada ini. Pelbagai kemungkinan. Biarlah kemungkinan itu bergulir sendiri. Apa yang mahu dikongsi kini ialah tentang aku dan kita. Kadang-kadang kita lupa apabila dipuji. Kadang-kadang kita lupa bila dikeji. Kadang-kadang kita lupa apabila dibeban musibah, kehilangan atau pun rezeki yang melimpah. Jadilah aku dan kita seperti kehilangan diri. Bila aku dan kita menerima pujian, aku dan kita beranggapan aku dan kita tidak boleh ditandingi oleh sesiapa lagi waktu itu. Jadinya aku dan kita hanyut dalam pujian. Sebaliknya, kadang-kadang aku dan kita dikeji lalu aku dan kita membuat tanggapan itulah aku dan kita. Merudum imej aku dan kita akibat daripada kejian itu. Malah mungkin orang yang mengeji itu akan aku dan kita cuba jauhi sedaya mungkin. Begitulah aku dan kita. Apakah aku dan kita cuba membuat koreksi diri. Setelah beristiqamah sudah tentu aku dan kita akan sedar siapa diri aku dan kita. Jadinya kita sentiasa hidup dalam lingkungan dan lindungan Allah SWT, ceria dan menghadapi hidup dengan hala tuju yang jelas. Analoginya begini, aku dan kita sering menganggap kita cukup banyak masalah. Tapi aku dan kita tidak cuba mengukurnya dengan masalah yang ada kepada orang lain. Aku dan kita cuba mengukur masalah dengan orang yang lebih tinggi statusnya daripada kita. Sebaliknya apa yang patutnya aku dan kita buat ialah melihat masalah yang dihadapi oleh mereka yang lebih rendah statusnya daripada kita. Masalah mereka lebih berat. Itulah kata pepatah orang Melayu "bila memandang bulan di langit jangan lupa rumput di tanah". Bulan tidak pernah dipijak manusia malah ia dipuja oleh kita dan pungguk. Tapi rumput dipijak manusia dan pernahkah anda jumpa orang memuja rumput. Nabi juga pernah berpesan apabila membuat perbandingan hidup , usah bandingkan anda dengan orang yang lebih baik kehidupannya daripada anda. Tujuannya mudah agar aku dan kita sedar bahawa kehidupan yang aku dan kita genggami sekarang cukup baik. Bersyukurlah. Namun perkara-perkara begini sering kita lupa dalam meneruskan kehidupan aku dan kita. Sebenar-benarnya rezeki yang melimpah adalah ujian, musibah yang menimpa adalah ujian. Itulah yang kadang-kadang aku dan kita sering lupa.
Entahlah, kadang-kadang terlupa aku.
Wassalam.