Maaf. Terlalu lama tidak menulis dalam ruang yang ada ini. Pelbagai kemungkinan. Biarlah kemungkinan itu bergulir sendiri. Apa yang mahu dikongsi kini ialah tentang aku dan kita. Kadang-kadang kita lupa apabila dipuji. Kadang-kadang kita lupa bila dikeji. Kadang-kadang kita lupa apabila dibeban musibah, kehilangan atau pun rezeki yang melimpah. Jadilah aku dan kita seperti kehilangan diri. Bila aku dan kita menerima pujian, aku dan kita beranggapan aku dan kita tidak boleh ditandingi oleh sesiapa lagi waktu itu. Jadinya aku dan kita hanyut dalam pujian. Sebaliknya, kadang-kadang aku dan kita dikeji lalu aku dan kita membuat tanggapan itulah aku dan kita. Merudum imej aku dan kita akibat daripada kejian itu. Malah mungkin orang yang mengeji itu akan aku dan kita cuba jauhi sedaya mungkin. Begitulah aku dan kita. Apakah aku dan kita cuba membuat koreksi diri. Setelah beristiqamah sudah tentu aku dan kita akan sedar siapa diri aku dan kita. Jadinya kita sentiasa hidup dalam lingkungan dan lindungan Allah SWT, ceria dan menghadapi hidup dengan hala tuju yang jelas. Analoginya begini, aku dan kita sering menganggap kita cukup banyak masalah. Tapi aku dan kita tidak cuba mengukurnya dengan masalah yang ada kepada orang lain. Aku dan kita cuba mengukur masalah dengan orang yang lebih tinggi statusnya daripada kita. Sebaliknya apa yang patutnya aku dan kita buat ialah melihat masalah yang dihadapi oleh mereka yang lebih rendah statusnya daripada kita. Masalah mereka lebih berat. Itulah kata pepatah orang Melayu "bila memandang bulan di langit jangan lupa rumput di tanah". Bulan tidak pernah dipijak manusia malah ia dipuja oleh kita dan pungguk. Tapi rumput dipijak manusia dan pernahkah anda jumpa orang memuja rumput. Nabi juga pernah berpesan apabila membuat perbandingan hidup , usah bandingkan anda dengan orang yang lebih baik kehidupannya daripada anda. Tujuannya mudah agar aku dan kita sedar bahawa kehidupan yang aku dan kita genggami sekarang cukup baik. Bersyukurlah. Namun perkara-perkara begini sering kita lupa dalam meneruskan kehidupan aku dan kita. Sebenar-benarnya rezeki yang melimpah adalah ujian, musibah yang menimpa adalah ujian. Itulah yang kadang-kadang aku dan kita sering lupa.
Entahlah, kadang-kadang terlupa aku.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan