Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Sabtu, 28 Ogos 2010

Pinta-Nya Segugus Kesabaran

Maaf kerana terlalu lambat menyampaikan simpati pada teman. Sebenarnya aku sedang mencari kata mula. Aku kini turunkan buat teman-teman yang diukur tahap kesabaran. Melalui musibah yang diturunkan sebenarnya ada cahaya kebahagiaan. Dalam mendapat kebahagiaan itu kita diminta untuk bersabar. Bersabar itu sukar tapi buahnya cukup manis. Aku mengharapkan teman-teman yang ditimpa musibah, kepayahan atau sesuatu yang memang tidak disenangi banyak-banyaklah bersabar. Bila kita bersabar sebenarnya kita redha dengan apa yang kita lalui dan disinilah Allah SWT kantungkan pahala dalam hidup kita. Kita sebenarnya bukan kehilangan tetapi diambil kembali apa yang dipinjamkan untuk menilai siapakah kita yang sebenarnya. Jadi kita perlu belajar meredhai apa yang berlaku. Buat teman-teman aku bersimpati pada kalian. Banyak-banyaklah bersabar dan berdoa agar kita berada dalam golongan yang dicintai-Nya
Walallahua'alam.

Ahad, 22 Ogos 2010

Merendah untuk Meninggi

Dalam bergaul kita pasti memilih teman. Teman yang kita pilih pasti ada keistimewaannya. Keistimewaan itu daripada dimensi bantuan, kewangan dan juga status. Lalu bila ada insan yang berada diluar daripada kriteria tersebut akan ditolak oleh kita untuk menjadi sahabat. Impaknya kita mempunyai teman-teman yang cukup terhad. Bila teman yang ada merobek hati kita dengan kata-kata yang kesat Sakit hati kita cukup parah. Lalu aku mengambil keputusan untuk bersahabat dengan sesiapa sahaja bermula daripada datuk-datuk hinggalah kepada tukang sapu. Bersahabat cara ini akan membawa keuntungan kerana kita boleh mengetahui cara hidup mereka. Malahan dalam Islam kita mendapat pahala yang besar kerana doa golongan bawahan lebih senang dan ikhlas untuk diterima oleh Allah SWT. Hal ini selari dengan kisah Said al- Nursi. Beliau merupakan seorang pelajar yang sederhana. Satu hari seorang pengemis telah datang kemadrasah Said al-Nursi belajar. Pengemis meminta sedikit makanan kepada pelajar-pelajar madrasah tersebut, seorang pun pelajar tidak sudi menyempurnakan hajat. Said al Nursi bukan sahaja memberikan sebahagian daripada makanan yang ada kepadanya malah duduk makan bersama dengan pengemis itu. Beliau juga berbincang dan tidak rasa jijik dan geli ketika bersama pengemis tersebut. Beberapa hari kemudian, madrasah menyaksikan kelahiran baru Said al Nursi, beliau lebih cerdas, tawaduk dan penuh berhikmah. Akhirnya seluruh Turki Uthamaniyah ,menyaksikan Said al Nursi memimpin gerakan Risalah al-Nur (Risalah Cahaya) ditengah-tengah gelombang sekularisme yang sedang melanda Turki. (Rujuk: Solusi. No 21/2010: hlm 28). Kisah ini membuktikan kita lebih beruntung jika berteman (mengikut kehendak Islam) ramai teman. Mungkin salah seorang teman akan mendoakan kesejahteraan kita. Atau pun melalui kisah di atas dapat diambil ikhtibar bahawa peluang untuk membantu orang lain hanya datang sesekali dalam hidup kita. Cuba penuhinya sebelum kita diserabuti dengan poenyesalan kerana melepaskan peluang itu. Fikir-fikirlah...
Wassalam.

Tukang Gunting, Alam dan Aku

Maaf kerana jarang-jarang menulis. Masalah teknikal. Meminta sejemput kesabaran. Al Kisahnya semalam aku menggunting rambut yang mula berserabai. Tiba giliran aku, tukang gunting pun mula bercerita. Dunia sudah kehilangan estetika. Kemanusiaan semakin hilang. Katanya, manusia tidak lagi belajar daripada alam. Alam telah mengirimi alamat, lama dulu. Alam telah mengajar manusia dengan cara istimewa. Ingat tak kisah Qabil dan Habil. Bila Qabil membunuh Habil bagaimana untuk menyelesaikan kematian ini. Akhirnya alam telah mengirimi burung untuk menunjukkan cara-cara mengkebumikan mayat. Begitu juga kisah Burung Hud-Hud, Labah-Labah. Dalam benak aku, tukang gunting ini bukan sembarangan. Aku melihat di dalam premisnya sarat dengan majalah, terselit diantaranya ialah majalah Solusi dan al Islam. Dugaan aku semakin mantap bila ada temannya menyapa dengan panggilan "cikgu"Setelah selesai aku tersedar bahawa memang manusia sudah bencikan alam. Hingga alam mula marahkan kita. Sekilas renungan aku dan kita sering lupa kenapa Allah SWT mencipta alam. Renung-renungkan.
Wallahua'alam

Isnin, 9 Ogos 2010

Tanpa jawapan

Salam untuk semua. Mungkin aku perlu memohon maaf kerana tidak selalu menulis dilaman ini. Bukan apa kekangan waktu dan kesihatan yang mula melingkari tubuh ini. Maklumlah usia semakin melarut senja. Biar pun begitu aku amat merindui penulisan. Lalu dikesempatan yang ada aku curi-curi menulis. Jadi alkisah isu yang mahu dibawa begini. Apakah satu-satu pengorbanan itu perlu disandarkan dengan kepentingan peribadi. Rasa-rasanya bagi aku tidak perlu. Pernahkah saudara pembaca bertanya kepada isteri atau suami kenapa beliau mengajak kita berjalan-jalan sedangkan masa yang dia ada cukup sedikit. Agak-agaknya apa jawapan yang akan anda perolehi. Jadinya bagi aku bila teman-teman bertanya kenapa berulang begitu jauh , aku tidak ada jawapannya. Apa yang aku boleh katakan itu semua kewajipan kepada aku. Mungkin jawapan ini tepat atau sebaliknya, terpulang kepada para penerimanya. Apa pun aku cukup berterima kasih kepada semua teman-teman atas pandangan dan nasihat agar berhati-hati ketika memandu. Terima kasih. Sampai kapan aku sebenarnya tidak mempunyai jawapan yang tepat. Yang mungkin ada ialah jawapan di atas atau pun jawapan-jawapan yang pelbagai. Sehabisnya aku cuma tersenyum dengan benak yang tidak ada apa-apa jawapan.
Aku sendiri sedang bertanya kepada Allah SWT kenapa aku begini.
Wallahua'alam.

Ahad, 1 Ogos 2010

Titip Rindu Buat Ayah

Jam berdetik di angka 12.00 tgh malam. Sunyi dan hening. Benak kecil terkenang ayah yang telah pergi. Al Fatihah buat ayah dan ibu. Lalu aku pun membelek-belek penulisan yang pernah aku buat untuk seorang ayah. Bertemu. Aku turunkannya untuk ditatap oleh teman-teman.
Sajak Pada Seorang Lelaki Yangku Panggil, Ayah
Tiba satu detik
kembali aku ke desa ini
seperti dulu
senandung unggas malam masih bertelingkah
waktu mentari sedang menaik
garis putih mendada langit
Kau masih bangun mendahului kami
Suara zikir mu masih seperti dahulu - merdu dan sayu
sepatah sepatah menyeru Rabulizzati - tersedu
seperti dahulu
iman mu masih mewaja
pesan mu hidup ini sementara cuma
rajin-rajinlah telaah kitab hidup kalian
kerana harta tidak mampu membeli kematian
kau terus-terusan mengirimi ingatan
apa yang ada sedekahkan
apa yang tiada usaha-usahakan
usah bergetus bila kecewa
sedarlah
katamu kita cuma penerima
sedang DIA milik SEGALA
kini
satu detik yang lain
ku kembali lagi ke desa ini
tapi tidak seperti selalu
tiada zikir,
tiada pesan,
tiada ingatan
senandung unggas masih bertingkah
mentari tetap menaik
garis-garis putih masih memutih
tapi aku di sini
kehilangan sebuah khutubkhanah kehidupan
Merbok, Kedah
2006