Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Ahad, 20 Februari 2011

Melihat Insan Melalui Mata Burung

Mungkin aku akan dituduh gila. Bolehkan insan dilihat melalui mata burung. Aku cuma memilih burung, mungkin kerana ahli sufi banyak menghasilkan karya dengan bertajukkan burung seperti Hamzah Fansuri dengan Syair Burung Pungguk dan Burung Pinggai atau Fariddin al Attar dengan Kisah-Kisah Burung dan yang terdekat M. Nasir dengan lagu Tanya Sama Hud-Hud. Jadinya pemilihan burung mungkin ada keistimewaan tersendiri. Aku cuma blogger kecil. Bagi aku burung dan matanya cuma simbolisme sahaja. Tamsilnya begini, jika kita melihat insan dari mata burung sedang berada diangkasaraya, insan cuma satu titik daripada banyak titik yang terdapat didunia ini. Jika insan dilihat daripada dimensi sisi, insan seperti sekeping kayu balak yang dibelah belum dilicinkan. Cantik atau tidak fikir-fikirkan. Jika dilihat oleh mata burung daripada dimensi bawah (dimensi kaki) insan cuma seperti pohon buluh yang beruas-ruas. Jadinya siapakah insan daripada mata burung. Biar pun kita kaya-raya, kita berilmu, kita berpangkat sebenarnya kita bukan siapa-siapa. Kita ialah apa yang kita lakukan. Lambat laun segala kebaikan dan keburukan akan dapat dilihat oleh mata burung itu.
Biarlah burung malam melihat telatah manusia mengikut matanya.
Wallahua'lam.

Teratai, Katak dan Aku

Tajuk kali ini bunyinya aneh. Mungkin kerana lebih bersifat kehaiwanan. Apa pun bunyinya tajuk itu, aku ingin mengajak pembaca menaakul disebalik coretan ini. Kita sering ditugaskan melakukan sesuatu. Jadi kita melakukannya dengan baik dan berpuas hati dengan hasilnya. Tapi apa yang sering terjadi ialah orang lain yang mendapat tonjolan nama. Umpama lembu punya susu sapi yang dapat nama. Itulah lingkaran hidup insan dibuana ini. Yang pintar akan memakan si bodoh seperti kisahnya SiKaduk (cerita Jenaka Pak Kaduk). Malah bukan daripada segi kerjaya sahaja, banyak kisah-kisah kehidupan yang lain. Namun apabila difikir-fikirkan hidup kita ini tidak semuanya menjanjikan apa yang kita inginkan akan kita dapat. Jika kisah dibawah ini ditenung-tenung, mungkin ada kebenarannya. Di sebuah kolam terdapat bunga teratai yang cantik bunganya. Bersamanya di dalam kolam tinggal juga seekor katak (mungkin yang kacak).Apa yang berlaku setiap datangnya musim teratai akan berbunga dengan menerbitkan madu yang harum baunya. Biar pun tinggal bersama, katak tidak dapat menghisap madunya kerana memang telah ditakdirkan bahawa madu hanya boleh dihisap oleh serangga di luar kolam. Malahan katak juga telah ditabiikan untuk memakan serangga diluar kolam. Jadinya jika disandarkan kepada kisah diatas mungkin benar seperti apa yang aku tuliskan awal tadi apa yang kita inginkan sukar untuk dimiliki. Tapi kena diingat bahawa pada satu masa kita diciptakan dengan keunikkan yang lain.
Jadinya teratai tetap berada dikolam menunggu musim mendatang, katak tetap setia melihat unggunya bunga teratai biar pun tidak boleh meneguk madunya dan aku tetap sedar bahawa setiap ciptaan atas buana ini ada keunikkan sendiri.
Teratai dan katak tetap ada kolam untuk bermain sedang aku menanti waktu untuk bertemu keindahan itu didetik yang lain.
Burung malam kesiangan.
Wallahua'lam

Menyiap Genderang Perang

Selalu culas, jadi maafkan hamba. Kali ini ingin bercerita tentang amanah yang dipertanggungjawabkan oleh KJ. Amanah itu ialah menghidupkan semula Gapura Budaya yang telah hampir setahun ditidurkan. Jadinya genderang perang hamba akan berbunyi semula agar lebu duli JPM akan mengelapkan kembali institut. Apa pun hamba cuma pandai bersilat tetapi senjatanya hanya kepada teman-teman hamba yang lain. Kejayaan Gapura Budaya terletak kepada semua bala tentera JPM kerana yang ingin ditempur kini ialah Sang Bota yang gagah perkasa. Untuk itu bersama kepahlawanan yang ada, minda yang secerdik Sang Kancil perlulah diaktifkan agar Sang Bota tak mampu bernyawa biar pun milik ikan.
Apa pun kepada teman-teman pendekar terima kasih atas kepercayaan yang diberikan.
Burung malam mula melapah idea untuk kembali menghidupkan kembali Setanggi Gapura Budaya.

Khamis, 3 Februari 2011

Mencium Murka Allah

Maaf, selalu lewat mencoret sesuatu di sini. Apa pun yang ada hanyalah rasa hati yang perlu dibaca dengan mata hati atas tajuk kali ini. Benar atau tidak sejarah dunia yang sering bergulir. jatuh bangun sesebuah kerajaan dan perajaan itu bukan sangat diusik oleh faktor luaran tapi lebih kepada parahnya faktor dalaman. Mungkin benar atau tidak, sejarah yang menentukan. Jatuhnya kerajaan-kerajaan Islam kerana faktor orang Islam itu sendiri. Mungkin ada dikusi di sini tapi sejarah telah membuktikan. Jatuhnya kerajaan dan perajaan Umaiyah, Abbasyiah, Uthmaniyah, Idrisiah, Monggol malah Melakaniyah adalah faktor peribadi pemerintah yang terkeluar daripada landasan syariah Islamiyah. Pemimpin-pemimpin / sultan-sultan kerajaan di atas leka dengan kehebatan dunia. Malah kalau benar (bukan catatan golongan orientalis) khalifah-khalifah di atas leka dengan material seperti membina bangunan-bangunan hebat, sukakan hiburan, perempuan-perempuan cantik, membunuh ilmuan Islam dan laqa' dengan dunia. Kini dunia Islam bergolak seperti di Mesir, Sudan, Tunisia, Yaman tidak termasuk yang sedia bergolak ( Afganistan, Iraq dan Iran). Pergolakkan ini mungkin dipengaruhi oleh kuasa luar (AS) tapi sebenarnya peribadi pemimpin telah lama mengadunkan masalah. Husni Mubarak sebenarnya terlalu pro-Amerika hingga menutup jalan untuk ke Palestin. Jadi rakyat mula memberontak, Mesir kacau bilau. Jadi siapa yang menjatuhkan Mesir ?. Anda ada jawapan anda. Dari dulu lagi Ibnu Khaldun dalam karya besarnya al-Muqqadimah telah menyatakan bahawa peribadi pemerintahlah yang menentukan kehebatan sesebuah kerajaan dan perajaan itu. Lalu C.H Carr dalam bukunya What Is History, mencatatkan bahawa sejarah ialah apa yang dicipta oleh manusia. Kalau ditelusuri Sejarah Melayu, pesan Bendahara Paduka Raja kepada Sultan Mahmud "jangan Tuanku mengambil hak orang tanpa kebenaran dan jangan membunuh hamba (rakyat) tanpa usul periksa, nescaya negeri Tuanku akan diterbalikkan" Tapi Sultan Mahmud melanggar wasiat ini. Sultan Mahmud bermukah dengan isteri Tun Biajid dan nyaris ditombak oleh Tun Biajid. Tun Biajid tidak menderhaka kepada Sultan Mahmud, tapi enggan mendatangkan sembah biar pun dititah oleh Sultan Mahmud. Sultan Mahmud membunuh Bendahara Seri Maharaja (Tun Mutahir) kerana fitnah Raja Mendeliar dan membunuh Raja Zainal (adiknya) kerana lebih kacak daripadanya. Akibatnya Melaka diserang Feringgi. Apakah kejatuhan Melaka dan kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam dulu dan mungkin kini boleh diletakkan atas pengaruh luar. Tanpa kedatangan Feringgi sekali pun Kerajaan Melaka tetap jatuh cuma cara dan masanya mungkin agak berbeza. Apa yang berlaku sebenarnya kedatangan pihak luar mungkin berbetulan masa kerajaan-kerajaan ini telah pecah cuma dia (pengaruh luar) penghancur sahaja. Benar atau tidak sejarah itu berulang di Mesir dan kerajaan Islam lain boleh dilihat nanti.
Bagi hamba yang tidak begitu bijak menilai sejarah kisah tadi ada penanda dan petandanya. bahawa Allah SWT memberi alamat bahawa DIA sedang murka kepada insan makhluknya (khususnya orang Islam) tapi orang Islam gagal untuk menciumnya.
Burung malam terlena atas catatan Tun Sri Lanang dan C.H.Carr.
Walallahu'alam, renung-renungilah.