Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Khamis, 3 Februari 2011

Mencium Murka Allah

Maaf, selalu lewat mencoret sesuatu di sini. Apa pun yang ada hanyalah rasa hati yang perlu dibaca dengan mata hati atas tajuk kali ini. Benar atau tidak sejarah dunia yang sering bergulir. jatuh bangun sesebuah kerajaan dan perajaan itu bukan sangat diusik oleh faktor luaran tapi lebih kepada parahnya faktor dalaman. Mungkin benar atau tidak, sejarah yang menentukan. Jatuhnya kerajaan-kerajaan Islam kerana faktor orang Islam itu sendiri. Mungkin ada dikusi di sini tapi sejarah telah membuktikan. Jatuhnya kerajaan dan perajaan Umaiyah, Abbasyiah, Uthmaniyah, Idrisiah, Monggol malah Melakaniyah adalah faktor peribadi pemerintah yang terkeluar daripada landasan syariah Islamiyah. Pemimpin-pemimpin / sultan-sultan kerajaan di atas leka dengan kehebatan dunia. Malah kalau benar (bukan catatan golongan orientalis) khalifah-khalifah di atas leka dengan material seperti membina bangunan-bangunan hebat, sukakan hiburan, perempuan-perempuan cantik, membunuh ilmuan Islam dan laqa' dengan dunia. Kini dunia Islam bergolak seperti di Mesir, Sudan, Tunisia, Yaman tidak termasuk yang sedia bergolak ( Afganistan, Iraq dan Iran). Pergolakkan ini mungkin dipengaruhi oleh kuasa luar (AS) tapi sebenarnya peribadi pemimpin telah lama mengadunkan masalah. Husni Mubarak sebenarnya terlalu pro-Amerika hingga menutup jalan untuk ke Palestin. Jadi rakyat mula memberontak, Mesir kacau bilau. Jadi siapa yang menjatuhkan Mesir ?. Anda ada jawapan anda. Dari dulu lagi Ibnu Khaldun dalam karya besarnya al-Muqqadimah telah menyatakan bahawa peribadi pemerintahlah yang menentukan kehebatan sesebuah kerajaan dan perajaan itu. Lalu C.H Carr dalam bukunya What Is History, mencatatkan bahawa sejarah ialah apa yang dicipta oleh manusia. Kalau ditelusuri Sejarah Melayu, pesan Bendahara Paduka Raja kepada Sultan Mahmud "jangan Tuanku mengambil hak orang tanpa kebenaran dan jangan membunuh hamba (rakyat) tanpa usul periksa, nescaya negeri Tuanku akan diterbalikkan" Tapi Sultan Mahmud melanggar wasiat ini. Sultan Mahmud bermukah dengan isteri Tun Biajid dan nyaris ditombak oleh Tun Biajid. Tun Biajid tidak menderhaka kepada Sultan Mahmud, tapi enggan mendatangkan sembah biar pun dititah oleh Sultan Mahmud. Sultan Mahmud membunuh Bendahara Seri Maharaja (Tun Mutahir) kerana fitnah Raja Mendeliar dan membunuh Raja Zainal (adiknya) kerana lebih kacak daripadanya. Akibatnya Melaka diserang Feringgi. Apakah kejatuhan Melaka dan kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam dulu dan mungkin kini boleh diletakkan atas pengaruh luar. Tanpa kedatangan Feringgi sekali pun Kerajaan Melaka tetap jatuh cuma cara dan masanya mungkin agak berbeza. Apa yang berlaku sebenarnya kedatangan pihak luar mungkin berbetulan masa kerajaan-kerajaan ini telah pecah cuma dia (pengaruh luar) penghancur sahaja. Benar atau tidak sejarah itu berulang di Mesir dan kerajaan Islam lain boleh dilihat nanti.
Bagi hamba yang tidak begitu bijak menilai sejarah kisah tadi ada penanda dan petandanya. bahawa Allah SWT memberi alamat bahawa DIA sedang murka kepada insan makhluknya (khususnya orang Islam) tapi orang Islam gagal untuk menciumnya.
Burung malam terlena atas catatan Tun Sri Lanang dan C.H.Carr.
Walallahu'alam, renung-renungilah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan