Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Isnin, 17 Januari 2011

Aku, Sebatang Galah dan Detik Nasib

Maaf jika tidak akrab menulis di sini. Kontang idea satu kemungkinan. Apa pun roda tidak sentiasa berada di atas. Itulah nasib dalam sehayat hidup ini. Kali ini aku ingin membawa pembaca merenung coretan ini. Semalam aku membelek-belek sebuah akhbar perdana (17/1/2011), ada pegangan hidup yang cukup menjentik hati. Pegangan hidup ini diluahkan oleh mantan CEO JCorp (Tan Sri Mohamad Ali). Apabila ditanya oleh wartawan, kenapa beliau meletak jawatan sebagai CEO JCORP. Jawapannya cukup mudah. Katanya dia tidak mahu mendatangkan masalah kepada teman-temanya semasa proses pengundian dalam AJM nanti. Dia mahu kekal sebagai sahabat mereka yang sama-sama berjuang untuk menaikkan JCORP lebih 20 tahun dahulu. Tan Sri menyatakan dia tidak mahu menjadi seperti sebatang galah, apabila sudah selesai mengait buah, galah akan ditinggalkan begitu sahaja. Bagi Tan Stri biarlah sahabatnya masih bersahabat dengannya daripada dia ditinggalkan begitu sahaja, kalaupun beliau masih memegang jawatan tersebut. Apa yang lebih menarik ialah ,Tan Sri mengatakan "beliau tidak mahu dikafankan oleh kerusi (kuasa) ketika meninggal". Akhirnya apabila ditanya oleh wartawan benarkah JCORP tidak membuat sebarang sambutan perpisahan kepada beliau. Apa yang dijawabnya, "soalan itu bukan untuk saya jawab, tanyalah mereka."
Apabila saya membaca petikan ini ternyata detik nasib kita bukan milik kita. Kita orang besar atau orang kecil nasib kita kadang-kadang baik, kadang-kadang sebaliknya. Apa pun yang terjadi kita perlu cekal dengan amanah yang dipertanggungjawabkan tentang nasib kita bukan kita yang menentukan. Tan Sri adalah salah seorang ahli ekonomi dan usahawan yang cukup berjaya tapi pemergiannya agak suram. Apa pun sebagai insan yang hebat beliau meletakkan hak Allah SWT di atas segalanya. Apakah kita gilakan kuasa daripada memiliki persahabatan. Kalau kita memilih persahabatan sebenarnya kita memilih kemanusiaan yang cukup hebat. Itulah yang dipilih oleh usahawan hebat ini.
Lalu aku tersedar apakah pilihan kita itu tepat atau pilihan orang untuk kita itu tepat. Kadang-kadang kedua-duannya baik dan cemerlang. Kadang-kadang hanya satu yang cemerlang. Apa pun impaknya kita perlu kembali kepada Penentunya. Jika itu aku dan kalian mampu lakukan kita sebenarnya memilih yang paling baik. Kita menjadi insan yang boleh bergerak dalam horizon kedamaian, kebahagiaan, kelapangan dan sering bersyukur seadanya. Barulah aku dan kalian merasakan keindahan hidup ini. Kita tidak akan mempersoalkan kenapa kita dihidupkan atas buana ini. Kita laksanakan apa yang mampu kita lakukan dalam deras arus masa yang tersisa. Soal memberikan penilaian biarlah orang lain yang menentukan. Sejarah tidak akan pernah berbohong tentang apa pun. Jika kita bersahabat dengan mulus, telus dan kudus pasti pada satu masa nanti sejarah kita akan ditakwilkan kembali oleh mereka yang berada disekitar kita biar pun kita sudah berada di alam yang lain.
Aku hanya ingin menjadi galah yang mampu mengait apa sahaja yang dihasratkan oleh insan disekelilingku. Kerana itu sahaja kemampuan yang ada, selebihnya biarlah masa dan sejarah yang membuat penilaian.
Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan