Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Sabtu, 15 Januari 2011

Sekelumit Jasa Yang Dilupakan

10 Jan 2011 selepas Isyak aku dikejutkan oleh bunyi talipon bimbit. Rupanya sahabat dari jauh dihujung talian. Suaranya agak berat, sedih bercampur pilu. Sahabat ini kukenal sewaktu berkerja membaca, memurnikan kurikulum Kesusasteraan Melayu sejak tahun 90-an hingga tahun 2006 (lebih kurang). Orangnya sederhana dalam semua segi. Lebih berumur daripada aku, tapi kalau berkursus dia pasti mencari aku. Bercerita tentang hidup dan kehidupan.
Kali ini ceritanya agak memilukan. Asal mula dia malu untuk bercerita, namun mungkin kerana kepercayaan lalu dia bercerita. Ceritanya begini;
"Aku lewat menapak ke menara gading kerana aku telah dipertanggung- jawabkan untuk mendewasakan semua adik-adikku yang berjumlah sebelah tangan. Itu pesan ayah dan ibu sebelum mereka beralih alam. Aku pernah menjadi penjual burger, dipasar ikan, pasar malam hinggakan tukang cat rumah orang. Dimasa senggang aku melakukan apa yang terdaya untuk dapatkan belanja untuk pendidikan adik-adik. Aku juga terus mencari ilmu dikelas-kelas malam hingga berjaya ke menara gading. Tempoh masanya untuk kesana agak lewat. Tapi aku tetap berjaya dalam usia dihujung tiga puluhan. Kini adik-adik aku sudah menjadi orang hebat. Tapi mereka takut berhadapan dengan abang yang sederhana ini. Mungkin takut aku memohon dana daripada mereka. Pun mungkin mereka enggan mempunyai abang yang hanya menjadi guru ". Suaranya ku dengar penuh hiba.
Lalu sambungnya, " ditakdirkan salah seorang anak aku dapat melanjutkan pelajaran ke U. Dalam keadaan kekurangan belanja aku cuba meminjam daripada mereka. Apa yang aku dapat hanya senyum sinis dan ada yang mengatakan mereka tiada wang. Mungkin kerana rezeki Allah dalam keadaan penat dan tenat anak aku masih boleh ke sana tanpa bantuan saudaranya yang hebat-hebat ". Ada sedikit tawa dihujung talian. Katanya, "sudah satu semester dia berada disana ".
Aku turut bersyukur dan gembira dalam sendu. Kata ku pada sahabat, "usahlah bersedih Allah akan sering menolong engkau. Ini kerana engkau banyak menolong orang lain. Malah aku sendiri mengkagumi engkau. Sambil menyatakan bahawa itulah adat dunia "kita dikasih semasa berada, dilupa orang semasa tiada ".
Lebih kurang 1 jam kami berbual lalu sahabat ini memohon diri dan katanya mungkin sukar untuk bertemu seperti dahulu. Tapi pesannya kalau pulang dan ke utara singgahlah untuk secawan kopi.
Mungkin cerita ini tidak berlaku kepada kita atau pun mungkin akan berlaku kepada kita. Hanya Allah SWT dan masa yang mengetahuinya. Apa yang boleh aku simpulkan disini ialah kita insan yang sering melupai jasa orang kepada kita. Biar yang besar apatah lagi yang kecil. Biar pun orang itu tidak akan meminta gantinya tapi sebagai orang menerima jasa orang lain, apakah terlalu berat untuk senyum dan bertanya khabar.
Dalam hati aku berwaham dengan perasaan apakah dalam hidup insan bergelar manusia ini jasa orang lain perlu dilupakan.
Hubaya-hubaya takut kita di baham oleh jasa yang terhutang. Renung-renunglah.
Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan