Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Selasa, 29 November 2011

Menekuni Titah Daripada Istana

Semalam aku menekuni dua akhbar perdana Utusan Malaysia dan Berita Harian (akhbar 29/11/2011). Bukan untuk meneliti hal-hal tentang persidangan UMNO tetapi meneliti dua titah daripada seorang Raja Muda.Satu titah untuk Majlis Sambutan Maal Hijrah 1433 dan satu lagi untuk syarahan Perdana baginda di UPNM. Di Utusan Malaysia tajuk titah baginda ialah 'Berpijak di bumi yang nyata' manakala di Berita Harian judulnya 'Hang Tuah VS Hang Jebat: Teks Sastera Melayu Klasik di mata Raja Dr. Nazrin'. Kedua-dua titah ini amat menarik dan relevan untuk semua bangsa Melayu beragama Islam dan bangsa Malaysia yang lain. Teks titah yang pertama lebih berlandaskan Sejarah Islam tapi bukan lagi berkisar tentang hijrah Rasulullah SAW daripada Mekah ke Madinah tetapi apa yang disampaikan ialah tentang kepentingan pemimpin dan rakyat menerima realiti, memahami realiti dan bertindak berasaskan realiti. Ucapan baginda "pemimpin diulit mimpi riang sedangkan realiti yang berlaku sangat berlainan. Lalu semakin banyak pemimpin melakukan kesilapan kerana keputusan yang dirumuskan dan arahan yang dikeluarkan disandarkan kepada premis yang palsu. Malah jurang di antara kebenaran dan kepalsuan bertambah luas, jika pemimpin dipagari oleh individu-individu yang berkepentingan." Bagi baginda jika ini berlaku maka rujukannya ialah apa yang telah berlaku kepada Tunisia, Libya, Mesir, Syria dan sejarah kerajaan-kerajaan Islam terdahulu. Apa yang harus dilakukan ialah pada sambutan kali ini kita perlu pemeriksaan dalaman, mengukur kesungguhan langkah, menyukat ketegasan tindakan agar dapat melakukan penambahbaikan agar negara ciptaan kita ialah negara yang ' baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur ' (Ayat 15, Surah Sa'ba).



Teks ucapan baginda yang kedua berkisar kepada kisah Hang Tuah dan Hang Jebat. Dalam teks ini dilihat baginda tidak menyatakan siapa yang kalah dan siapa yang menang. Bagi pihak Hang Tuah beliau bertindak membunuh sahabatnya bukan kerana setianya kepada Sultan sahaja tetapi lebih kepada konsep mempertahankan sebuah kerajaan. Pada masa itu Sultan sebenarnya telah dikalahkan oleh Hang Jebat dan terpaksa mundur ke rumah Bendahara. Jadinya pada masa itu sultan sebenar tidak ada di Melaka. Malah dalam ucapan baginda, Hang Jebat bukan sahaja ingin membunuh sultan tetapi sudah mula mengamuk dan membunuh rakyat, ini amat merbahaya bagi sebuah kerajaan dan perajaan. Biar pun begitu, Raja Dr. Nazrin menyatakan Hang Tuah masih sayangkan sahabatnya, dengan memangku di ribaannya dan berjanji akan memelihara anak Hang Jebat yang bakal lahir. Dalam syarahan ini juga terselit episod Bendahara meyembunyikan Hang Tuah di Hulu Melaka. Bagi Raja Dr Nazrin, Bendahara juga sebenarnya telah menderhaka kepada sultan kerana melanggar titah baginda. Namun bagi tindakan ini, bendahara dikatakan bijaksana kerana ingin memastikan kerajaan Melaka kekal. Bendahara dikatakan bertindak atas dasar waadat Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana di Bukit Siguntang Mahameru iaitu ' raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah'. 'Sanggahan' Bendahara berlandaskan adab dan adat bangsa Melayu iaitu tidak akan mengaibkan nama baik kerajaan secara terbuka.


Makanya daripada kedua-dua titah dan syarahan ini ternyata bahawa Raja Dr. Nazrin ini menyampaikan pesan bahawa dalam menjalankan pemerintahan pemimpin perlu berani menegakkan yang benar biar pun kita tidak popular kerana dengan cara ini negara akan mendapat rahmat daripada Allah SWT. Hal ini pernah berlaku kepada Bendahara Tun Mutahir yang tetap tidak mahu menderhaka kepada sultan biar pun beliau benar.


Apabila membaca titah dan syarahan ini teringat tulisan Prof. Dr. Syed Hussein Alatas (Islam dan Kebudayaan Melayu), bahawa kemiskinan bangsa Melayu ialah kerana mereka semakin jauh daripada ilmu pengetahuan. Bagi mendapat ilmu kita perlu membaca atau Iqra'.


Lalu aku pun bertanya diri mahukah bangsa aku kembali membaca sejarah Islam dan kesusateraan Melayu. Tanpa ilmu takut-takut ' Melayu hilang di dunia' seperti kata Tun Dr. Mahathir, 10 tahun lagi Melayu mungkin hilang di Malaysia'.


Terima Kasih Allah kerana memberi peluang untuk aku membaca sejarah dan sastera.


Wallahua'lam.

Jumaat, 25 November 2011

Belajar Jadi Ibu dan Ayah



Allah jadikan manusia berpasangan - lelaki dan wanita. Setiap jantina itu mempunyai fungsi masing-masing. Lelaki pencari nafkah, pelindung dan juga pelengkap kepada golongan femini. Begitu juga wanita diutuskan untuk menjadi pelengkap lelaki, penyambung generasi, penjaga rumahtangga dan menjadi daya penarik kepada lelaki. Kerana jarang-jarang ditemui wanita mengurat lelaki. Jika berlaku maka kita akan lihat perigi mencari timba. Makanya dunia hampiri hari akhirnya. Biar pun begitu, sudah ditentukan fungsi masing-masing kadang kala perlu juga golongan lelaki menguasai kebolehan wanita dan begitulah sebaliknya. Jika zaman tradisi, mungkin kebolehan wanita tidak perlu dipelajari kerana rata-ratanya wanita berada dirumah. Tapi di zaman pascakolonial ini, rata-rata wanita juga berkerjaya. Contohnya, jika isteri seorang pendidik dan sedang menjalani kursus selama seminggu, kebolehan memasak dan meladeni anak-anak telah dibawa bersama. Hukumnya dapur sudah tentu tidak berasap kerana Sang Ayah tidak tahu memasak. Jadinya sebagai lelaki kita juga perlu belajar untuk menjadi ibu sekali sekala agar anak-anak dapat memberi komen tentang ayahnya nanti. Sebaliknya jika ayah sering keluar kota, Sang Ibu perlu menjadi ayah - menghantar anak-anak kesekolah, kelas tambahan atau mahu berlibur. Lagi pun tidak kira jantina yang mana pun sebenarnya kita perlu belajar menjadi ibu atau ayah kerana pada satu detik kita mungkin ditinggal pergi oleh pasangan kita untuk selama-lamanya. Nah , kan kita akan memegang dua jawatan ibu dan ayah sekaligus.




Apa pun tanggapan, sebenarnya lelaki mahu pun wanita cuma berbeda daripada aspek fizikal sedangkan naluri hampir sama. Hal ini tertolak kepada mereka yang bukan lelaki dan juga bukan wanita (anda fahamilah sendiri). Jika kita belajar jadi ibu atau ayah sebenarnya kita belajar mencari kesempurnaan dalam rumah tangga. Anak-anak akan berbangga kerana mereka memiliki ibu atau ayah yang boleh memenuhi hasrat mereka sekiranya salah seorang daripada mereka tidak ada pada saat tertentu.








Aku kini belajar menjadi ibu daripada bangun pagi hingga lewat malam. Tapi mengasyikan biar pun agak macet.








Belajarlah jadi ibu dan ayah tapi jangan tukar jantina daripada ayah jadi ibu dan daripada ibu jadi ayah. Soram deng.








Terima kasih ibu dan ayah biar telah lama berangkat.












Wassalam.




















Rabu, 23 November 2011

Membeli Waktu

Jika kita fikir-fikirkan betapa hebatnya Allah SWT. Apa sahaja kejadian atau anugerah-Nya kepada kita tidak boleh diukur atau dinilai. Bandingannya dengan kejadian atau anugerah yang diberikan manusia. Boleh diukur, digelar malah kadang-kadang boleh dibeli. Anugerah Allah seperti kasih sayang, benci rindu, sihat sakit hinggakan kepada hidup mati tidak mampu diukur atau dinilai. Anugerah yang satu ini juga tidak boleh disukat iaitu anugerah waktu. Si kaya manakah yang mampu membeli waktu dan berapa harganya ? Jika dalam fana ini waktu boleh dibeli, aku rasa orang kayalah yang akan memilikinya. Mereka akan membeli waktu agar kehidupan mereka akan sentiasa dalam kesenangan dan terus mencari kesenangan dan kekayaan. Malah mungkin waktu kematian juga akan dibeli agar mereka mampu hidup seribu tahun lagi. Jadinya orang miskinlah yang akan mengadap Rabul Jalil sekerap mungkin. Atau pun mungkin negara kaya akan menjalankan perdagangan waktu. Negara ini tidak perlu berperang, hanya perlu membeli waktu milik sesebuah negara yang dibenci hingga waktu tidak ada lagi untuk negara tadi. Akhirnya negara tersebut musnah dengan sendiri. Di sini kita dapat merenung bahawa Allah cukup adil dalam memberikan anugerahnya kepada manusia. Hanya manusia tidak mahu melihat setiap anugerah itu dengan mata hati dan sedar diri siapa kita.


Kalau aku mampu membeli waktu, aku ingin membeli waktu semasa kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak melihat dunia seperti bianglala.


Renung-renunglah.


Wassalam.

Khamis, 17 November 2011

Menunggu Hujan Teduh

Semalam ada sedikit waktu terluang. Makanya aku membawa anak ketiga dan kelima kepasar raya untuk membeli barang dapur. Tomato, cili dan buah-buahan. Sambil membeli aku meminta anak-anak belajar budaya kerja bangsa kita bekerja di premis bangsa asing . Pantas, ramah dan rajin. Itu sikap disiplin bila bekerja dengan bangsa asing. Hasilnya syarikat-syarikat milik asing yang menanam modal disini akan menjadi kaya malah ada yang menjadi syarikat yang hebat. Semasa berada diperut pasar raya itu hujan turun dengan lebatnya. Jadi aku mengajak anak ke kedai mamak untuk minum sementara menunggu hujan teduh. Disini juga budaya kerja golongan ini sukar digugat oleh bangsa Melayu. Sedangkan bangsa Melayu masih leka dengan budaya henonisme (budaya sukakan hiburan), gila mengejar materialisme dan berpacaran. Lalu aku memberitahu dua anakku, jika abang dan adik mahu berjaya belajarlah budaya kerja orang Cina tapi jangan menipu dan minum minuman keras kerana itu diharam oleh agama kita.


Menunggu Hujan Teduh biar pun sekejap namun banyak masa untuk membawa anak-anak melihat realiti kehidupan.


Jadi bergurulah dari alam yang cukup jujur dengan manusia.


Wassalam.







Rabu, 16 November 2011

Secangkir Kopi dan Sejalur Kenangan

Suasana dingin menjadi hangat. Ngantuk mata kembali segar. Kerana seteguk kopi 'O' panas. Itulah kesannya. Bagi insan tertentu secangkir kopi 'O' ada macam-macam kisah. Kisah suka dan duka. Ada manis ada masam. Masing-masing mempunyai kisah. Bagi aku secangkir kopi 'O' itu ada kisah suka dan duka. Pada kopi 'O' itu dapat aku menemui teman baharu atau mengetahui kisah teman-teman lama. Teman penulis dengan kisah penulisannya, teman guru dengan kisah guru, tentang murid dan tentang gaji. Atau pada kopi 'O' aku juga temui kisah duka sahabat yang mungkin kehilangan ahli keluarga, isteri atau pun zuriat mereka. Pada aku secangkir kopi 'O' itu ada sejalur kenangan yang sarat dengan kesedihan. Kesedihan kerana aku ditinggalkan teman kerana mungkin tidak setaraf lagi dengannya. Dia lebih dahulu berkerjaya , kerjaya yang hebat ADO. Aku pada masa itu masih mengganggur. Pada hal semasa menjadi siswa kami amat akrab sama-sama susah dan sama-sama senang. Begitu banyak kisah antara aku dan dia. Masa adalah penentunya. Bila meminum kopi 'O' teringat kisah duka ini. Apabila sejalur kenangan ini hadir dalam kotak fikir, aku terkenang kerana kekayaan, wang, pangkat dan lain-lain kita lupa diri. Sedangkan yang dibawa ialah kain kapan dan amal kita kesana. Secangkir kopi 'O' juga menimbau kembali kenangan bersama ayah. Kekadang aku berbual kosong atau serius dengan ayah sambil minum kopi 'O'. Kami lebih tenang. Malah terkenang hobi ayah yang mengemari minuman ini hingga beliau pergi selama-lamanya. Biar pagi, tengah hari, petang hinggalah ke malam. Itulah sejalur kenangan tentang secangkir kopi 'O'. Ada masam manisnya tentang kisah secawan kopi 'O'.



Masing-masing ada cerita, masing-masing ada kenangan.


Wassalam.


Wassalam.

Ahad, 13 November 2011

Lena Bersama Bulan


Detik waktu kadang-kadang meminta sedikit fikir dari kita. Waktu bergulir bersama simbol-simbol alam. Tanda alam meminta insan mentafsirnya. Usah bertanya ilmu ini pada insan lain kerana memahami tanda alam milik perseorangan. Alam memberi tanda insan cuba fahaminya. Umpama rama-rama masuk kedalam rumah, tanda orang jauh akan datang ke rumah. Bunyi burung hantu atas rabung rumah, tanda nasib tidak baik akan menimpa insan tertentu. Begitu juga jika benda yang dipegang jauh dan pecah, tanda kita akan kehilangan sesuatu. Mungkin benar, mungkin tidak, mungkin tanda dari langit, mungkin juga kurafat. Tapi masyarakat tradisi memegang kepercayaan sebegini. Mungkin ada tanda yang benar, mungkin juga kurafat.

Apa pun, alam memang memberi tanda. Tanda yang benar. Misalnya langit hitam-pekat, tanda hujan akan turun. bagi nelayan tanda ini ribut akan tiba, perlulah mereka mencari pulau untuk berlindung. Jika ke hutan tempat yang sama kita lalui makanya kita sebenarnya sesat. Perlu berdoa untuk mencari jalan pulang. Bagi pesawah, jika angin timur bertiup agak kerap dan bulan bulat cerlang tanda kemarau akan mampir. Jadi perlulah melihat air di sawah takut kekeringan. Jika pohon-pohon kapal terbang (orang utara panggil pohon ini) mengeluarkan bunganya yang putih musim menuai padi hampir tiba.Hal ini sama dengan tempua bersarang rendah. Kenapa tempua bersarang rendah kerana mudah bagi burung ini mendapatkan padi yang sedang mengguning. Tanda ini mungkin menghampiri ketepatan, tapi semua adalah ketentuan dari langit.


Impak daripada tanda-tanda yang dinyatakan ini mungkin ahli bahasa dan sastera dunia telah belajar daripada budaya-budaya yang terdapat di dunia ini. Mungkin tanda ini memainkan peranan yang hebat dalam sesebuah masyarakat. Akhirnya, ahli bahasa dan sastera seperti Y.M. Lotman, de Saussure, Roland Barthes (sekadar menyebut), telah menghasilkan Teori Tanda atau Teori Semiotik. Teori ini dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu ikon, indeksikal dan simbol. Semua kajian menggunakan teori ini beranggapan bahawa apa yang dihasilkan oleh seorang penulis mempunyai tanda-tanda tertentu yang mahu diluahkan kepada pembaca. Tanda itu sebenarnya adalah kejadian yang ternyata wujud dalam masyarakat kita. Benar atau tidak cuba kita selidik karya SN Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan, SN Usman Awang dalam Uda dan Dara, Keris Mas dalam Rimba Harapan, Noordin Hassan dengan Bukan Lalang di Tiup Angin atau Anwar Ridwan dengan Naratif Agosoto. Ada tanda yang ditujukan kepada masyarakat khasnya bangsa Melayu.


Malahan kalau mahu diselidiki, manusia yang lahir kedunia ini kalau tidak semua ada yang telah diberikan tanda - tanda lahir.


Bila memikirkan tentang tanda, aku bertanya bulan. Kenapa pucat didada langit. Bulan diam. Pungguk terus menanti jawapan daripada bulan. Sedang aku lena bersamanya.


Wassalam.

Rabu, 9 November 2011

Memilih Puisi Memilih Sepi


Tajuk ini dipinjam daripada salah satu puisi guru saya iaitu YB Shafie Abu Bakar. Memang hal ini berlaku kerana sepi akan membongkar motivasi kita untuk menulis. Jika tidak menulis jiwa menjadi gelisah dan serba kecelaruan. Apabila menulis tidak kira menulis catatan, mencoret atau membuat contengan, jiwa akan merasa sudah bebas. Jika ditanya kenapa memilih puisi untuk dicoretkan, jawabnya begini;

i. ringkas dan ekonomikal

ii. indah

iii. tidak menuntut waktu yang banyak

iv. boleh memperkatakan tentang dunia/apa sahaja/universal


Hal ini telah diperkatakan oleh Aristotle (384-322 SM) yang telah membandingkan puisi dengan sejarah dengan katanya,


" Poetry is finer and more philosophical than history; for poetry expresses the

universal, and history only the paticular".


Jadinya menulis itu/apa sahaja, penulis hanya hidup bahagia apabila dia selalu mencipta yang baharu, memberikan buah kepada pohon yang tidak pernah tumbuh atau memalitkan warna kepada yang lesi dan pucat. Penulis harus memberi makna kepada penulisannya agar pembaca akan membawa pulang makna tersebut bersama-sama beberapa kalimat yang bukan sahaja indah, tetapi ialah susunan baharu untuk dibawa ke dalam kehidupan.


Jadinya, jika mahu menjadi penulis perlu belajar memilih sepi.




Isnin, 7 November 2011

Menunda Waktu

Tunda. Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga (hlm 1491), bererti tangguh; menghentikan dan meneruskan kemudian, mengundurkan waktu, menangguhkan (pelaksanaan dll sesuatu). Manakala waktu pula ialah, 1 rangkaian atau rentetan saat (yang telah berlalu dan yang akan datang), masa: 5. masa yang memberikan kesempatan untuk (berbuat sesuatu, berehat, dll), kesempatan, peluang, tempoh (Kamus Dewan Edisi Ketiga, 2000:1543). Rumusannya satu pekerjaan yang ditangguhkan dan akan dilaksanakan kemudian apabila mempunyai kesempatan nanti. Manakala tajuk aku ialah menangguh waktu bermaksud aku ingin kalau boleh mengundur waktu agar keinginan yang aku gagal lakukan dahulu dapat aku lakukan. Kalau boleh aku ingin sekali belajar menulis karya secara sistematik. Bukan mahu menjadi penulis besar tapi cuma untuk mendapat ilmu penulisan agar aku mampu memberikan kepada orang lain pula. Mahu juga bertemu dengan penulis-penulis besar negara. Lainnya aku mahu menyatakan kasih dan sayang pada keluarga dengan patah-patah perkataan yang halus, lembut dan mampu mendesak mata hati mereka/pembaca. Tapi waktu itu kini telah dilewati kerana usia semakin menghampiri senja. Cuma yang ada kini hanya ilmu penulisan yang dipelajari, diperoleh daripada lama mengajar Kes. Melayu, membaca tulisan orang lain dan juga teman-teman. Itulah waktu. Berlalu pergi dan akan mengurung kita dengan seribu penyelesalan. Waktu adalah raja yang bertitah tanpa suara.


Wassalam.

Ikhlas dan Sebuah Pertanyaan

Terjadi. Anak aku (darjah 5) bertanya tentang apa itu ikhlas. Itu pun setelah menonton filem "Tentang Bulan". Aku terkebil-kebil. Bagaimana mahu memberi jawapan yang paling mudah untuk kefahamannya. Lalu aku menjawab macam ni, "ibu memasak kepada kita, adakah ibu bersungut kerana terpaksa memasak." Jawab anak aku ibu tak pernah bersungut pun", katanya. Aku teruskan,"adik diminta untuk menolong ibu mengambil periuk untuk memasak, adik bersungut tak." Jawab anak aku, ":kadang-kadang adik bersungut dan marah-marah". Jadi dalam apa sahaja keadaan dan pekerjaan jika seseorang itu diminta untuk menolong, dia tidak bersungut maka dia menolong dengan ikhlas tapi kalau sering bersungut ikhlasnya tidak ada kerana terpaksa membuat pertolongan itu. Ikhlas juga terhapus kalau setiap pekerjaan disertakan dengan agenda yang tersembunyi. Misalnya, Kak Lang membantu guru kerana hendak mendapat markah yang lebih. Ikhlas tidak ada disitu.


Akhirnya aku menyatakan ikhlas ini ialah kita memberi apa sahaja bentuk sama ada pertolongan, bantuan, pekerjaan tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada insan yang kita bantu. Apa yang Kak Lang dapat ialah ketenangan dalam hidup.


Setelah memberi jawapan, aku tersenyum sambil memandang mukanya. Dalam hati aku bermonolog bahawa anak aku sudah dewasa rupanya. Aku jadinya semakin tua.


Wassalam.


Rabu, 2 November 2011

Merungkai Ciptaan Tuhan

Benarlah Firman Allah, " tidakkah kalian lihat bahawa setiap ciptaan-Ku tidaklah sia-sia." Kaitan daripada firman ini, pagi ini (3/11/2011) kita dapat melihat bahawa setiap kejadian itu ada keistimewaannya. Kita lihat dengan jelas bahawa orang yang autisme pun boleh menggegarkan dunia. Kita sendiri melihat kelemahan yang ada sebenarnya tidak menyekat seseorang untuk berjaya. Kita disogokkan dengan da Vinci, Mozart, Isaac Newton, Enstein hinggalah Bill Gates. Mereka dianggap orang yang luarbiasa hingga mampu menggegarkan dunia dengan ciptaan mereka. Tapi kita tidak disogokkan dengan kehebatan dan keluarbiasaan tokoh-tokoh Islam yang secara mandatorinya telah terlebih dahulu menemui hal-hal yang luarbiasa. Peta dunia telah dahulu dihasilkan oleh Ibnu Miskawih sebelum Ptolemy, Ibnu Sina telah memulakan pembedahan ke atas manusia hanya dengan pisau dapur, Ibnu Batutah telah menulis sejarah masyarakat di dunia Arab sebelum orang Barat mengenal ilmu sosiologi dan antropologi. Malahan Syeikh Nuruddin al Raniri dan Bukhari al Jauhari telah menghasilkan Kitab Bustanus Salatin dan Tajus Salatin. Kedua-dua kitab ini membicarakan tentang sejarah ketatanegaraan dan pentadbiran sebelum orang Barat diperkenalkan dengan The Prince oleh Niccolo Machiavelli. Dalam sejarah dunia zaman kegemilangan Islam berlaku semasa dunia Barat masih lagi dalam zaman gelap (Barat masih buta ilmu).








Di sini jika mahu merungkaikan ciptaan Allah, insan yang beragama Islam sebenarnya hebat dan pernah menguasai dan menjadi perintis kepada penemuan ilmu di dunia. Itu hakikat sebenar. Namun atas dasar anglophile dan propaganda Barat, mereka menabik dada bahawa merekalah penemu semua ilmu di buana ini. Dan kita terus-terusan menjadi pengguna kepada ilmu mereka tanpa mahu akui bahawa ilmu itu ditemui oleh ilmuan Islam. Apabila kita sedar maka barulah kita ketahui kenapa golongan Yahudi dan Nasrani dilaknat oleh Allah SWT (kerana kesombongan mereka)






Jadinya dengan ilmu jugalah kita perlu merungkai ciptaan Allah SWT. Ingat ilmu itu daripada Allah SWT kita adalah penggunanya dan gunakanlah untuk kebaikan semua.






Wallahua'lam