Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Ahad, 13 November 2011

Lena Bersama Bulan


Detik waktu kadang-kadang meminta sedikit fikir dari kita. Waktu bergulir bersama simbol-simbol alam. Tanda alam meminta insan mentafsirnya. Usah bertanya ilmu ini pada insan lain kerana memahami tanda alam milik perseorangan. Alam memberi tanda insan cuba fahaminya. Umpama rama-rama masuk kedalam rumah, tanda orang jauh akan datang ke rumah. Bunyi burung hantu atas rabung rumah, tanda nasib tidak baik akan menimpa insan tertentu. Begitu juga jika benda yang dipegang jauh dan pecah, tanda kita akan kehilangan sesuatu. Mungkin benar, mungkin tidak, mungkin tanda dari langit, mungkin juga kurafat. Tapi masyarakat tradisi memegang kepercayaan sebegini. Mungkin ada tanda yang benar, mungkin juga kurafat.

Apa pun, alam memang memberi tanda. Tanda yang benar. Misalnya langit hitam-pekat, tanda hujan akan turun. bagi nelayan tanda ini ribut akan tiba, perlulah mereka mencari pulau untuk berlindung. Jika ke hutan tempat yang sama kita lalui makanya kita sebenarnya sesat. Perlu berdoa untuk mencari jalan pulang. Bagi pesawah, jika angin timur bertiup agak kerap dan bulan bulat cerlang tanda kemarau akan mampir. Jadi perlulah melihat air di sawah takut kekeringan. Jika pohon-pohon kapal terbang (orang utara panggil pohon ini) mengeluarkan bunganya yang putih musim menuai padi hampir tiba.Hal ini sama dengan tempua bersarang rendah. Kenapa tempua bersarang rendah kerana mudah bagi burung ini mendapatkan padi yang sedang mengguning. Tanda ini mungkin menghampiri ketepatan, tapi semua adalah ketentuan dari langit.


Impak daripada tanda-tanda yang dinyatakan ini mungkin ahli bahasa dan sastera dunia telah belajar daripada budaya-budaya yang terdapat di dunia ini. Mungkin tanda ini memainkan peranan yang hebat dalam sesebuah masyarakat. Akhirnya, ahli bahasa dan sastera seperti Y.M. Lotman, de Saussure, Roland Barthes (sekadar menyebut), telah menghasilkan Teori Tanda atau Teori Semiotik. Teori ini dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu ikon, indeksikal dan simbol. Semua kajian menggunakan teori ini beranggapan bahawa apa yang dihasilkan oleh seorang penulis mempunyai tanda-tanda tertentu yang mahu diluahkan kepada pembaca. Tanda itu sebenarnya adalah kejadian yang ternyata wujud dalam masyarakat kita. Benar atau tidak cuba kita selidik karya SN Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan, SN Usman Awang dalam Uda dan Dara, Keris Mas dalam Rimba Harapan, Noordin Hassan dengan Bukan Lalang di Tiup Angin atau Anwar Ridwan dengan Naratif Agosoto. Ada tanda yang ditujukan kepada masyarakat khasnya bangsa Melayu.


Malahan kalau mahu diselidiki, manusia yang lahir kedunia ini kalau tidak semua ada yang telah diberikan tanda - tanda lahir.


Bila memikirkan tentang tanda, aku bertanya bulan. Kenapa pucat didada langit. Bulan diam. Pungguk terus menanti jawapan daripada bulan. Sedang aku lena bersamanya.


Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan