Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Selasa, 30 Mac 2010

Jiwa Dalam Karya

Meminjam ucapan Dato' Baha Zain ketika menerima anugerah Ijazah Kehormat daripada Universiti Sains Malaysia (Berita Harian, Selasa 30 Mac 2010 hlm 26-27) iaitu, "tetapi saya tidak mempunyai banyak pilihan lagi kecuali mengemukakan fikiran yang polos dan dekat dengan hati." Ucapan ini sebenarnya panjang tetapi yang cukup menarik bagi aku ialah fikiran yang polos dan dekat dengan hati. Itulah bagi pengarang-pengarang besar, karya yang dihasilkan amat dekat dengan pembaca. Mungkin kerana niat mereka menulis memang untuk memberi faedah kepada pembaca bukan untuk mencari nama. Natijah daripada sikap inilah karya-karya penulis kita cukup hebat. Sikap yang dipilih ini telah menyebabkan karya-karya mereka seolah-olah mempunyai jiwa. Maksud jiwa disini ialah pembaca tidak jemu-jemu membacanya. Sekadar contoh kita tidak jemu-jemu membaca puisi indah karya SN Usman Awang iaitu 'Guru oh Guru' dan 'Ke Makam Bonda', puisi SN A. Samad Said dengan puisinya ' Tamu Senja', atau Imam novel karya SN Abdullah Hussain. Jiwa juga hadir dalam lagu-lagu yang disiarkan dalam radio tempatan seperti lagu 'Terasing' nyanyian Allahyarham Sudirman Hj Arshad atau lagu 'Jeritan Batinku' nyanyian Tan Sri P. Ramlee. Begitu juga dalam filem, jiwa juga hadir untuk memantapkan filem. Lihat saja filem Ibu Mertuaku, Penarik Beca buah tangan Tan Sri P. Ramlee mampu menumpahkan airmata penonton biar pun berulangkali ditontoni. Ringkasnya dapatlah dikatakan jiwa dalam karya mampu membawa penonton tenggelam bersama-sama karya tersebut. Jiwa dalam karya mampu menguasai emosi kita seperti sedih, pilu dan amarah. Begitulah apabila kita menghasilkan karya dengan jiwa bukan untuk elemen-elemen lain. Karya itu akan menjadi malarsegar sampai bila-bila. Itulah panahan jiwa dalam karya yang kita depani dari dulu hingga sekarang.
Wassalam

Isnin, 29 Mac 2010

Mata Ayah

Lepas Maghrib. Malam tadi. Aku menerima SMS daripada kampong. Tapi tanpa apa-apa catatan. Hati tiba-tiba menjadi walang, gelisah dan resah. Denyut nadi bertukar cepat. Takut di kampong sudah di landa sedih pilu. Akal berputar ke hospital atau .... Kerana ayah sedang sihat tapi dalam keadaan sakit. Sakit terkawal. Sihat orang tua. Lalu aku gelisah dan mula meneliti kehebatan ayah. " Seorang lelaki yang kekar dulunya. Tidak pernah bersemuka doktor atau tidur di katilnya. Cukup sihat. Mampu menoreh kebun getah 1 lot sendirian. Kerjakan sawah 3-4 relong sendirian. Cuma aku yang masih kecil hingga remaja kadang-kala membantunya seperti menoreh untuk dapatkan sedikit ongkos bagi membeli keperluan sendiri. Seingat aku keistimewaan beliau juga ialah matanya. Sampai sekarang masih mampu membaca al-Quran tanpa kacamata. Dia masih seperti dahulu ketagihan kopi 'O' yang pekat kurang manis. Ayah amat kuat berkerja hingga mampu menyekolahkan kami 6 adik beradik. Keistimewaan beliau yang amat aku kagumi ialah mampu mengasuh kami tanpa ibu (al-Fatihah). Ibu pergi sewaktu usia aku 9 tahun. Beliau berkahwin kembali setelah didesak oleh anak-anak ketika aku tahun 2 di universiti. Jadi dia menduda lebih kurang 12 @ 13 tahun. Itu dulu. Kini keadaan beliau seperti yang aku catatkan di atas. Antara sihat dan sakit, silih berganti. Maklumlah usia sudah ditebing senja.

Ahad, 28 Mac 2010

Lonek dan 1 JPM


Isu hari ini agak unik setelah lama berdiam diri. Lalu di sini aku meminta maaf kepada mereka yang sering menyelak blog ini. Unik bukan apa di Lonek melalui apresiasi aku ternyata keakraban, kekitaan dan kekuatan JPM lahir dengan jelas. Tanpa selindung. Masing-masing melakukan apa yang terdaya dan semampunya mengikut kepakaran masing-masing. Biar pun penat dan keletihan tapi warga JPM masih mampu berdiri dengan kukuh. Setiap kekuatan itu terpamer melalui senyuman biar pun kadang-kadang dalam emosi kecewa. Teman-teman faham dengan situasi itu. Bagi aku terlalu sedikit penglibatan mungkin di awal dan akhir sahaja. Itulah dalam kehidupan kita banyak pilihan tapi yang terpaksa dipilih hanya satu biar pun kadang-kadang terpaksa melemparkan apa yang kita sukai. Ringkasnya kejayaan di Lonek sebenarnya menuntut banyak pengorbanan. Pengorbanan material dan spiritual. Yang aku lihat pergorbanan spiritual warga JPM cukup hebat. Pergorbanan rindu kepada famili, pengorbanan waktu dan yang cukup istimewa ialah pengorbanan idea. Pengorbanan idea dan sifat tolak ansur itulah yang menjadikan JPM seperti sebuah rumah agam yang cukup kuat, teguh, mantap dan cantik dipandang. Itulah bagi aku, kehadiran aku seperti sabut sekejap tenggelam dan sekejap timbul mungkin menyusahkan teman-teman. Aku mohon maaf pada semua. Apa yang ada ialah aku berusaha mengisi masa yang ada agar ia cukup berkualiti walau pun tidak mampu menggantikan masa yang berlalu disitu. Semoga teman-teman sedia memaafkan. Selebihnya aku kagum dan rasa cukup istimewa bila mampu berada didalam kalangan warga itu.

Itulah kita warga JPM mampu menjadi madu yang cukup manis bila diminum dan menjadi batu yang keras jika terjemur di bahang matahari.


Terima kasih teman-teman kerana memahami siapalah aku.


Wassalam

Isnin, 22 Mac 2010

Pujangga Tak Bernama

Semalam aku menonton filem Melayu lama di slot Teater Lagenda (TV 2-9.30 mlm). Slot ini menayang kembali filem-filem lakonan Tan Sri P. Ramlee. Filem yang ditayanglkan pada kali ini berjudul Hang Tuah. Filem yang berkisar pada kehebatan dan kesetiaan Hang Tuah kepada sultan dan Melaka. Filem ini menarik kerana filem Melayu pertama yang diwarnakan dan juga filem yang memenangi anugerah di Pesta Filem Asia Pasifik. Hal ini bukan yang mahu dibicarakan kali ini tetapi sumber asal filem ini yang mahu diisukan. Melihat kepada filem ini, bermakna sumber asalnya iaitu Hikayat Hang Tuah juga hebat. Hikayat ini hebat kerana kehadirannya sebagai naskah klasik telah kerap kali dikaji hingga ke peringkat PHD ( sekadar contoh Mana Sikana menilai hikayat ini untuk BA, MA dan PHDnya). Unsur-unsur didalamnya dikaji baik secara interteks, parodi mahu pun secara per se . Namun dalam kehebatan karya ini sehingga sekarang pujangga yang menukangi karya ini tidak diketahui namanya. Walau pun tak bernama terasa kita perlu mengucapkan jutaan terima kasih kerana kehadirannya menyebabkan kita mampu mendapat ijazah yang rendah mahu pun yang tinggi.
Sebenarnya karya-karya pujangga tidak bernama ini bertimbun-timbun dalam khazanah. Berbagai-bagai genre sama ada puisi atau prosa. Kita tidak mengetahui sehingga kini siapakah penulis yang menghasilkan puisi di bawah;
Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.
atau pun unsur runs/perulangan di bawah:
Yang capik datang bertongkat
Yang buta meraba-raba
Yang tua leka bertanya
Yang tarambil lintang
Yang jarak tolak-menolak
Yang pendek tinjau-meninjau
Yang kurap mengekor angin
Manakala pada genre prosa kita disediakan dengan banyak karya baik untuk hikayat, epik, undang-undang hinggalah sastera rakyat. Semua karya-karya ini tidak diketahui pujangganya. Oleh itu kita hanyalah pengguna sahaja/pengkaji bukan masyarakat pencipta. Ringkasnya pujangga Melayu cukup hebat kerana dia dan karyanya adalah milik masyarakat. Mungkin apa yang penting ialah karyanya dikaji dan mendapat pengajaran daripadanya.
Aku terkedu kerana mampu berada di sini kerana ada karya-karya yang dipelajari dulu, kini dan mungkin selamanya adalah karya-karya pujangga tak bernama.
Terima kasih para fakir Melayu daripada tak bernama hinggalah pada Tun Seri Lanang.
Wassalam

Ahad, 21 Mac 2010

Anekdot Musim Libur

Musim cuti sekolah telah tamat semalam. Kini aku dan teman-teman kembali berkerjaya. Musim libur ini mempunyai anekdot-anekdot sendiri, baik sebagai kenangan mahu pun hanya berlalu begitu sahaja. Jadi terpulang kepada kita untuk menyerap dan menilai anekdot yang kita lalui. Aku juga mempunyai anekdot-anekdot sendiri.


Anekdot I


Membaca akhbar Berita Harian (BH) aku terkesima dengan kisah penemuan arkeologis USM tentang relau besi oleh masyarakat purba di Kampong Sungai Batu. Jika penemuan ini terbukti benar maka Lembah Bujang akan menjadi tempat terawal manusia tinggal di Asia Tenggara. Anekdot ini mengusik aku bukan kampong ini terletak berhampiran dengan kampong leluhur aku (lebih kurang 5 km), tetapi kerana bidang arkeologi ini memang kegemaran aku. Aku sebenarnya ke UM kerana bidang ini tetapi tak kesampaian kerana pensyarah cuti ketika aku berada di tahun 2 dan 3. Langsung untuk memuaskan hati aku, aku membuat tesis BA dengan tajuk arkeologi di Lembah Bujang ini. Aku sebenarnya jika pulang ke leluhur, pasti melintasi kawasan cari gali ini. Mungkin nanti aku akan singgah dan mencoretkan sambungannya.


Anekdot II


Lanjutan daripada kisah di atas, aku mula kembali mencari rencana BH tentang penemuan tapak carigali yang sedang distrukturkan semula oleh pihak Muzium Negara. Tapak ini terletak di Kampong Pengkalan Bujang (lebih kurang 10 km daripada rumah kediaman aku. Tapak ini dipercayai tapak sebuah masjid. Sewaktu aku singgah (tahun 2007- Mei) kata para pencari gali tapak tersebut yang belum dijumpai ialah dinding arah kiblatnya sahaja. Kolah, tangga dan ruang untuk beribadat sudah ditemui. Dinding arah kiblat penting kerana dinding ini akan membezakan antara ruang ibadat agama Hindu-Buddha. Apa yang mengukuhkan perspektif ini ialah letaknya berhampiran dengan sungai (tempat berlabuh para pedagang dan juga terdapat sebuah kubur Sultan (Sultan Alauddin Syah - kemungkinan sultan Kedah ke 4 -beragama Islam ). Tapak ini dipercayai telah hadir disitu pada abad ke 11 atau 12 M. Jika benar tapak ini sebuah masjid bermakna sejarah Malaysia khususnya tentang kemasukan agama Islam perlu diubah. Dalam buku sejarah sekarang Melaka dianggap kerajaan Melayu pertama menerima Islam di Semenanjung Tanah Melayu. Jadi sejarah kemasukan agama Islam perlulah dipelajari bermula di Kedah. untuk ini kita perlu tunggu dan lihat kerana kerja-kerja ekskavasi tapak ini memakan masa yang lama.


Anekdot III


Rasukan daripada dua rencana di atas aku terusik untuk mencari kembali sejarah diri ini. Lalu timbullah rasa bahawa sebenarnya aku dilahirkan di kawasan yang hebat dengan tamadun bangsa aku sendiri. Sebenarnya kawasan-kawasan ini sebenarnya tempat aku bermain, mengail dan juga mencari buah nipah di bulan puasa. Akibat daripada rasukan itu juga aku memilih untuk kembali ke tempat aku mula mengajar dan berkarya. Aku kembali ke Felda Semenchu, Kota Tinggi Johor. Aku singgah di Sekolah Menengah (R) Kebangsaan Semenchu yang sewaktu aku sampai masih dikelilingi tanah merah. Padangnya tanpa rumput di sana sini. Sebagai guru peneroka kami (18 orang guru-8 orang guru tetap, selebihnya guru sandaran) mula menhijaukan kawasan sekolah. Tapi yang menjadi nostalgia ialah surau yang didirikan dengan kutipan derma penduduk seluruh Johor (dikutip oleh guru-guru) masih kekal ditempatnya. Sekolahnya pun sudah hebat dengan dewan serba guna yang besar. Di samping itu aku turut mencari sahabat-sahabat lama. Mungkin musim libur jadi aku sukar untuk bertemu mereka. Apa yang mengejutkan melalui perbualan dengan peneroka yang aku kenali ramai sahabat seangkatan di sekolah tersebut telah ke alam baqa kerana sakit jantung, darah tinggi, buah pinggang dan ada yang berpindah ke sekolah di sekitarnya sebagai orang besar (PK I , PK Hem dan Pengetua). Apabila terkenang anekdot-anekdot ini terasa bahawa aku perlu berterima kasih kepada Allah SWT kerana masih mengizinkan aku bernafas lagi.


Ringkasnya anekdot-anekdot ini aku tulis untuk tatapan teman-teman kerana kita tidak boleh lari daripada mengenang masa silam. Kenangan-kenangan ini tak perlu dibayar dan tak boleh dibeli dengan nilai apa pun. Kenang-kenangan ini adalah petunjuk bahawa kita semakin tua. Jongkang-jongkit (sejenis permainan) kita sekarang berada pada kedudukan di bawah dan menjadi teka-teki sama ada akan ke atas semula.

Khamis, 18 Mac 2010

"Akulah Helang," kata Belalang.

Tajuk untuk penulisan kali ini bunyinya agak pelik. Cerita ini aku petik daripada Dewan Budaya September 1996 (ruangan segaris tinta :hlm 23). Bukan apa hanya untuk berkongsi dengan teman-teman untuk dijadikan renungan atau panduan hidup. Cerita ini adalah seperti di bawah:-
Di tempat tiada helang, kata belalang akulah helang.
"Barang di mana tempat yang tiada orang yang mengetahui atau tiada orang yang arif,maka orang yang bodoh pun mengaku dirinya pandai."
Arakian tersebutlah kisah di sebuah desa nun jauh di hujung negeri. Warganya hidup dalam serba mencukupi. Tiada yang perlu dirisaukan tentang hidup yang harus ditempuh dari hari ke hari. Tiada pernah kedengaran orang yang kelaparan, pokoknya semua perut sentiasa berisi.
Seisi desa itu hidup dalam kelompok sendiri. Tiada yang berpergian menjadi dagang senteri atau menjadi orang kuat negeri atau menjadi orang bijak berperi. Kebanyakannya hidup sebagai petani yang dari musim ke musim hanya berbakti kepada bumi yang selalu diharapkan dari situlah melimpahnya rezeki untuk menjadi mata pencarian demi sesuap nasi anak-anak dan isteri.
Hendak dijadikan cerita, maka terjadilah bencana yang tidak pernah diundang. Banjir memusnahkan padi di bendang, menghapuskan kerbau dan kambing di kandang, merenggut segala yang disayang, hatta nyawa manusia pun ada yang melayang. Tidak pernah terjadi bencana sedemikian malang. Namun itulah sejarah yang diharapkan oleh warga desa itu agar tidak berulang.
Maka sugul dan sedihlah setiap warga desa. Apa yang dapat diharapkan lagi pada yang tiada. Hendak menuai, dimana padinya ?Hendak menjual kerbau dan kambing dimanakah ternakannya ? Hendak menziarahi pusara yang terkorban dalam banjir besar dimanakah pusaranya ?
Maka berpakatlah ketua desa dengan anak-anak buahnya, mencari akal untuk cuba menghindar agar banjir besar itu tidak berulang lagi. Diputuskanlah permuafakatan itu bahawa perlu dicari orang luar yang pandai untuk mengatasi masalah itu. Sesudah mencapai kata sepakat tampillah seorang lelaki separuh baya,warga desa itu juga.
"Usahlah membuang masa dan tenaga untuk mencari orang luar membantu kita." kata lelaki itu. "Di desa kita ini tidak kurang dengan orang yang mampu mengatasi masalah itu."
"Siapa ?" tanya ketua desa.
Dengan megah lelaki itu pun berkata, "Hamba sanggup berikhtiar. Usahlah Tuk Ketua dan warga desa menaruh curiga terhadap hamba. Hamba tahu bagaimana banjir itu dapat kita atasi.Hamba sebenarnya mempunyai pengetahuan tentang hal ini. Cuma selama ini hamba sengaja berahsia."
Tuk Ketua dan warga desa pun tersenyum ceria, percaya bahawa lelaki separuh baya itu memang hebat orangnya.
Maka seluruh warga desa pun mengerah tenaga menebang pohon-pohon sasa di puncak dan di kaki bukit untuk dijadikan benteng di tebing sungai. Berpekan-pekan lamanya mereka berganding bahu melakukan seperti yang disarankan oleh lelaki separuh baya itu. Maka selesailah sudah pekerjaan itu, terbinalah benteng atau tembok di tebing sungai setinggi orang dewasa.
Selang beberapa bulan kemudian tibalah musim hujan. Berhari-hari turunnya tidak berhenti-henti. Air dari bukit meluncur laju ke arah sungai, bertali arus, tidak dapat ditahan-tahankan lagi. Dalam waktu yang singkat sahaja desa itu ditenggelami air, lebih parah daripada banjir besar yang melanda musim lalu. Warga desa kelam-kabut, segera menyelamatkan diri ke desa seberang. Mereka menumpang di desa itu.
"Hamba dan seisi desa ini berasa sedih dengan musibah yang menimpa desa tuan hamba," kata ketua desa seberang. "Mengapa ditebang pohon sasa di puncak dan kaki bukit itu semata-mata untuk dijadikan benteng penahan banjir ? Bukankah elok kalau sungai di tempat tuan hamba itu digali lebih dalam agar dapat menampung air yang lebih banyak ? Sepatutnya perkara ini harus dibawa berunding dengan orang yang arif, bukan dibawa berunding dengan orang yang mengaku bijak walhal sebenarnya dia cuma belalang yang menjadi helang di tempat yang sememangnya tiada helang."
Renung-renunglah ceritera ini untuk dijadikan kitab hidup kita.
Wassalam.

Isnin, 15 Mac 2010

Aku, Kenduri dan Zapin

Cuti. Sinonim dengannya ialah majlis kenduri. Tak kiralah kenduri apa. Kenduri kahwin, kenduri cukur jambul, kenduri doa selamat dan juga kenduri kerana kejayaan dan anugerah. Apa yang mahu dikongsi kali ini ialah tentang kenduri kahwin yang aku hadiri. Sebelum aku bersama isteri ke sana, andaian yang aku buat sudah tentu kenduri ini sama dengan kenduri-kenduri kahwin yang lain ( budaya Parit Sulong la ). Mestinya makan daging lembu, ayam dan hadirin dihidangkan dengan lagu-lagu 60-an dan terkini oleh DJ yang disewa khas oleh tuan rumah. Apabila sampai persepsi aku ternyata meleset (mungkin 60 %) kerana kenduri ini agak berlainan sedikit. Apa yang dijuadahkan ialah makanan daripada kulit lembu yang di gulaikan dengan nangka, sup tulang, acar limau, ulam-ulaman (pucuk gajus, tenggek burung dan kacang panjang mentah) bersama sambal belacan dan ikan asin goreng. Apa lagi bersama nasi putih panas aku memakannya dengan cukup selera. Yang lebih menarik ialah sambil aku dan tetamu lain sedang makan, kami dihidangkan dengan live band zapin yang terdiri daripada 6 hingga 7 orang anggota. Mereka hanya menyanyikan lagu-lagu zapin sahaja. Apa yang aku rasa ialah alunan iramanya sangat sesuai dengan tetamu yang hadir (rata-ratanya golongan dewasa dan tua). Aku tenggelam dengan iramanya, sopan dan tidak kalang kabut seperti kenduri yang pernah aku hadiri sebelum ini. Hinggakan terbit daripada mulut aku, "jika aku sorang datang, mungkin aku ingin terus mendengar irama-irama zapin seterusnya". Asyik, merdu dan estetik sifatnya. Inilah budaya Melayu.
Wassalam

Khamis, 11 Mac 2010

Sepi Itu Indah

Isu yang mahu di bawa pada kali ini ialah kesepian. Kesepian itu adalah rasa sunyi, rasa sifar/infiniti/kosong dan kadang-kadang membawa kepada ketakutan. Hal ini berlaku mungkin kepada mereka yang berada di dalamnya tidak mahu berfikiran positif. Kesepian kalau diterima dengan keadaan positif ia merupakan suasana yang kadang kala diperlukan oleh makhluk yang bernama manusia. Kita mungkin lupa dalam istilah bahasa Arab ia boleh di samakan dengan kata khalwat atau beruzlah. Secara positifnya Nabi Muhammad memerlukan situasi ini untuk melupakan komunitinya yang berantakan. Komuniti yang parah dengan segala macam masalah moral seperti minum arak, berzina, membunuh manusia, merompak malah anak boleh mewarisi isteri/ibunya sendiri apabila ayah/bapanya meninggal dunia. Inilah masyarakat yang berada disekeliling Rasul kita. Menoleh kepada kita, masyarakat disekeliling kita juga mula mengalami kesakitan moral dengan suami membunuh isteri, membunuh anak, haruan makan anak dan sebagainya. Apabila masyarakat kita sakit maka kita juga merasa tempiasnya. Oleh itu kita perlu beruzlah dan mengkoreksi diri. Bukan untuk kita membetulkan masyarakat banyak tetapi berusaha membetulkan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Dengan bersunyi-sunyi itu kita mampu melihat kembali diri kita. Siapakah kita sebenarnya. Jika semalam tidak baik, esok kita perlu berusaha untuk memperbaikinya. Begitulah seterusnya. Jadi di sini juga aku ingin bertanya apakah selama ini kita sudah memberi hak kepada diri sendiri. Jalan terbaik untuk kita ialah dengan beruzlah. Sekali gus kita mampu menjadi lebih baik untuk keluarga, untuk masyarakat dan untuk agama. Justeru itu kesepian atau kesunyian itu bukan sesuatu yang menakutkan sebaliknya ia perlu untuk menurunkan stress diri. Langsungnya kan sepi itu indah.
Wassalam.

Selasa, 9 Mac 2010

Merajut Salah Semalam

Kadang-kadang kenangan silam datang tiba-tiba. Lalu kita mengimbau perkara-perkara baik dan buruk yang telah dilakukan. Dalam perjalanan hayat yang masih tersisa ini kita mula sedar akan kesalahan yang dibuat. Maka kita pun mula merajut kesalahan itu dengan berbuat kebaikan sebanyak mungkin. Kita mula memberi kepada diri dengan kebaikan seperti pergi ke surau, bertahajud dan beristiarah. Untuk masyarakat kita mula melibatkan diri dengan aktiviti sosial seperti gotong royong, kenduri kendara atau ada kematian. Di harapkan rajut kita itu akan diterima Allah SWT dan diampunkan kesalahan yang lalu. Apa yang penting ialah kita akan terus merajut kesalahan semalam dengan kebaikan kita hari ini. Hal ini penting agar spritual kita berada dalam keadaan tenang di dunia dan akhirat. Marilah kita sama-sama berusaha merajut kesalahan lalu dengan cara istiqamah. Teruslah merajut hingga ke akhir hayat kita. Renungilah siapa kita dahulu dan siapa kita yang sekarang.
Wallahua'lam

Mengukur Usia dengan Matahari

Petang semalam aku sempat berjogging di Pantai Saujana. Lebih kurang 6.25 hingga 7.15 petang. Senario pantai yang putih dan jajaran pepohonan rhu gemalai ditiup angin. Sejuk dan menyegarkan. Matahari telah memaksa diri untuk beredar demi ketibaan malam yang tidak begitu lama lagi.Apa yang mahu aku bicarakan ialah jika usia kita boleh disukat dengan perjalanan matahari, maka dimanakah usia kita. Adakah usia 30-an dan 40-an masih belum tengahari atau diukur dengan perjalanan jam baru sampai pukul 12.00 tengahari. Atau pun usia itu berada di pukul 2.00 dan 3.00 petang. Jadi apabila dikira dengan perjalanan jam waktu pukul 12.00 tengahari atau pukul 2.00 petang maka usia kita untuk berakhir cukup singkat. Jika pukul 12.00 tengahari dikira ke pukul 7.00 petang kita hanya ada 7 jam sahaja. Tapi jika dikira dari pukul 2.00 petang kita cuma ada lebih kurang 4 jam sahaja. Gambaran yang diberi ini bukannya secara tuntas kerana ada manusia yang menutup mata sebelum jam tersebut. Oleh itu jika dirujuk kepada peredaran matahari dengan usia kita, makanya umur kita terlalu singkat. Di sini kejadian alam itu adalah guru untuk kita belajar. Belajarlah daripada alam yang tidak pernah menipu. Fikir-fikirlah.
Wassalam

Isnin, 8 Mac 2010

Orang Kecil Orang Besar

Sebenarnya manusia atau orang itu sama sahaja. Tetapi status tersebut berbeza apabila manusia sendiri menentu status seseorang. Misalnya raja zaman dahulu bukan raja asalnya tetapi kerana rakyat yang memberikan status itu maka raja pun mula hidup seperti sekarang. Hal ini boleh dirujuk kepada peristiwa Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba. Kisah wa'adat antara mereka ini ditulis dengan jelas oleh Tun Seri Lanang dalam Kitab Sejarah Melayu. Akhirnya tradisi ini dilaksanakan dalam sistem pentadbiran kita. Jadi isu yang mahu dikongsi kali ini ialah kisah orang kecil dan orang besar. Kita mulakan dulu dengan orang besar. Mereka akan diberi berbagai-bagai keistimewaan. Disambut, diiringi disendukkan makanan dan sebelum balik diiringkan dengan cenderamata/cenderahati. Makanan mereka dihidang dan disendukkan. Makan dalam keadaan selesa. Tapi keistimewaan mereka sebenarnya akan membatas pergerakan mereka. Tidak boleh ketawa keterlaluan, tidak boleh kedapur untuk memilih juadah yang diingini dan kadang kala tidak dapat bertemu dan bertepuk bahu dengan teman-teman rapat. Keterbatasan ini juga berlaku kepada personaliti mereka seperti berpakaian, cara duduk di bahagian hadapan penonton. Ini kerana mereka menjadi fokus kepada orang ramai. Jadi disini menjadi orang besar juga menyukarkan kehidupan. Hinggakan pulang ke rumah hanya tinggal sendirian kerana untuk berteman juga perlu dilihat statusnya. Manakala orang kecil pula di masa keramaian tidak dipedulikan. Mereka boleh bergerak bebas dan boleh berjuadah apa yang diingini. Yang mahu dijaga ialah sahsiah diri. Boleh ketawa bila-bila sahaja (dalam keadaan terkawal). Bila pulang kita boleh bersahabat dengan siapa sahaja.Namun keterbatasan pula ialah orang kecil tidak berada di tempat yang selesa ketika menjamu selera. Pulang tanpa diiringi dan tanpa cenderahati. Pulang sendiri-sendiri. Maksudnya di sini orang kecil tidak menjadi tontonan sesiapa.
Apa yang mahu dikongsi bersama teman-teman ialah sebenarnya kita tidak sempurna dan hanya mampu memilih satu sahaja status dalam satu-satu masa. Di sini juga aku ingin bertanya kepada sahabat ialah yang mana lebih anda suka menjadi orang besar atau orang miskin. Buatlah pilihan yang anda suka tapi ingat bahawa apa yang kita lakukan disini akan disoal kemudian hari.
Selaras dengan hadith Nabi SAW, "setiap gembala akan ditanya tentang apa yang digembalakan"
Bagi aku, aku pun tidak mampu memilih antara orang kecil atau orang besar. Biarlah aku hidup secara sederhana sahaja.
Wassalam.

Ahad, 7 Mac 2010

Ilham,penulisan dan aku

Menulis adalah sebahagian daripada kehidupan aku. Aku menulis tanpa mengira waktu tapi larut malam lebih dominan. Jadi ada teman-teman di sekolah dulu bertanya bila kau menulis. Jawabnya, "aku menulis waktu selepas pukul 12 malam/ dinihari". Aku menulis apa saja. Kadang-kadang aku cuma menghasilkan contengan yang aku sendiri tak faham. Maknanya di sini aku mesti menulis. Tanpa menulis hidup aku hari itu kosong tanpa sumbangan. Tapi untuk menulis mestilah membaca. Jadi membaca adalah satu syarat kepada mereka yang mahu menulis. Selepas ada ilmu kita kadang-kadang diserahkan oleh Allah SWT dengan ilham. Ilham datang tanpa duga. Misalnya aku menulis sajak pertama dalam Berita Harian dengan judul "Yang Ada Di Sini". Sajak ini dihasilkan semasa aku mula mengajar di Semenchu, Kota Tinggi, Johor. Ilham itu diserahkan oleh Allah SWT kerana kawasan itu tercicir daripada kemudahan yang asas. Yang ada di sini hanya debu dan anak berperut buncit/ janji kosong YB waktu pilihan raya, iaitu akanku bawakan kesihatan dan pendidkan kepada kalian/selepas itu wajah YB ingat-ingat lupa oleh mereka. Yang ada hanya debu dan jalan berbatu. Ilham hanya datang sekali sahaja kalau tidak dipungut ia akan hilang. Jadinya kita terpaksa tunggu lagi. Apabila ilham berpusu-pusu datang kita tidak mampu menulis, jadi kita bakal menjadi terbeban. Mahu dikeluarkan tidak boleh (laptop rosak atau tenaga letrik tiada), tidak dikeluarkan ia tepaksa dihimpun dibenak diri. Makanya kita terbeban. Rumusannya apa yang anda mahu tulis ada disekeliling anda. Usah pedulikan komentar orang. Ingat menulis adalah anugerah dan hasilnya adalah ibadah. Teruslah menulis kerana ia adalah terapi kepada kita yang berada di dalam arus dunianya (berkerjaya guru, pensyarah mahu pun wartawan).
Terima Kasih Allah kerana mengilhami aku dengan keindahan alam melalui kata-kata.
Wassalam.

Aku hanya ingin ke puncak

Geram. Perasaan ini terjadi apabila melihat teman-teman menyertai sirkit pendakian gunung di Negeri Sembilan. Geram bukan kerana mereka berjaya ke sana. Tapi geram kerana kemampuan diri untuk mendaki terbatas. Terbatas mungkin kurang nafas kerana kurang berjogging kini. Terbatas mungkin kerana faktor usia. Tapi keterbatasan ini mungkin kerana kecederaan ligamen lutut yang meninggalkan kesan yang cukup besar. Ligamen lutut yang koyak semasa bermain bola dengan skuad guru daerah Port Dickson cukup menyakitkan. Lutut ini akan terasa berdenyut bila berdiri dan berjalan terlalu lama walaupun tidak bengkak. Kadang kala akan meletup sendiri apabila tersalah bengkok. Jadinya aku hanya mampu melihat gunung-gunung di tanah air amnya dan di Negeri Sembilan khususnya melalui pancaindera mata sahaja. Untuk mendakinya agak sulit. Walau bagai mana pun aku masih ingin ke puncak untuk melihat kepulan awan melingkari rimba dengan hiasan siulan beburung dan redup dipayungi bayangan hijau pepohonan. Dengan usia dan fizikal mungkin tidak Tapi aku masih mampu ke puncak sana hanya dengan kata. Yang penting aku hanya ingin ke puncak.
Waallahu'alam

Khamis, 4 Mac 2010

Perihal Orang Melayu

Kali ini mari kita teliti dua laporan/tulisan yang dihasilkan oleh dua orang penulis. Pertama tulisan yang di hasilkan oleh Ibnu Batutah pengembara daripada Tangier, Morocco. Laporan ini aku baca hasil daripada tulisan Ross E. Dunn dalam bukunya Pengembaraan Ibnu Batutah-Musafir Islam. Dalam perjalanannya ke Cina, tokoh ini telah singgah di Samudera Pasai yang ketika itu diperintah oleh Sultan al Malikus Zahir. Ibnu Batutah mencatatkan bahawa beliau dilayan seperti raja. Namun apa yang menarik ialah beliau dikehendaki memakai sarung dan berbaju Melayu semasa mengadap sultan. Sultan amat berminat dengan ilmu agama dan di istananya terdapat ramai ulama yang diberi layanan istimewa. Laporan kedua adalah tulisan Frank Swettenham yang pernah menjadi Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Bukunya yang berjudul The Malay Sketches telah diterjemahkan oleh seorang penulis yang bertugas di Universiti Malaya iaitu Zubaidah Ibrahim dengan judul Perihal Orang Melayu. Laporan ini ditulis berdasarkan peristiwa-peristiwa yang dilihat ketika melawat Negeri-Negeri Melayu. Apa yang menarik dalam semua bab (22 bab) yang ditulisnya ialah tentang kelekaan, kepercayaan dan hiburan orang Melayu. Kelekaan orang Melayu ini dapat dilihat kerana mereka membiarkan bangsa lain terlibat dalam hal-hal yang berkaitan dengan ekonomi seperti melombong bijih timah dan berniaga. Apa yang orang Melayu suka ialah pekerjaan yang bermusim seperti menjadi penoreh getah dan nelayan. Bila tengkujuh turun mereka tidak perlu bekerja. Pada kepercayaan pula Frank Swettenham menulis bahawa orang Melayu percaya kepada hantu raya dan takutkan harimau. Hingga mereka takut untuk keluar malam dan untuk keluar bekerja. Manakala hiburan merupakan fokus utama bangsa Melayu tanpa mengira status. Kepentingan hiburan ini menyebabkan istana mempunyai kumpulan tarian sendiri. Hal ini disebut oleh beliau kerana dia telah dijemput oleh istana untuk menyaksikan tarian joget. Pesta ini berlangsung hingga larut malam. Jadi bangsa Melayu katanya leka membuang masa. Jadi setelah direnung-renungkan bahawa masyarakat Melayu sudah berubah daripada bangsa yang suka akan ilmu kepada bangsa yang suka berlibur. Tidak hairanlah bangsa Melayu sejak dari zaman dahulu memang leka membuang masa. Saya juga teringat tulisan Abdullah Munsyi ( Hikayat Pengembaraan Abdullah ke Kelantan, Terengganu dan Pahang- suka menyabung ayam) dan Za'ba ( Mandi Safar di Pantai Tanjung Keling, Melaka - perbuatan kurafat dan The Poverty of Malays - perangai yang malas) bahawa bangsa Melayu suka berhabis untuk berhibur daripada mengutamakan pendidikan. Apabila direnungkan apakah tanggapan anda terhadap bangsa Melayu. Adakah dapat kita menuding jari 100 % kepada sikap orientalis Frank Swettenham. Teliti-telitikanlah isu ini.
Wassalam

Dan Malam, Apabila Ia Berlalu

Allah menciptakan berbagai-bagai nikmat kepada yang diciptakan. Salah satu nikmatnya ialah malam. Nikmat ini diberikan kepada manusia, haiwan, flora dan fauna serta kepada mereka yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Malam yang diberi kepada insan ialah selama 12 jam sehari. Tapi daripada 12 jam itu berapa banyak masa yang digunakan secara cukup berkualiti. Berkualiti dikira mengikut Islam iaitu 1/3 untuk diri, 1/3 untuk tidur dan 1/3 untuk Allah SWT. Isu ini aku timbulkan kerana sekarang insan mula menderhakai alamiah kejadian. 1/3 untuk tidur itu aku lihat telah dilawan dengan insan mula menghabiskan masa itu dengan bermain futsal, badminton atau pun ada yang leka berhibur. Jadi tidak salahlah kalau alam ciptaan Allah dan Allah SWT sendiri mula murka kepada insan. Malam telah bertukar menjadi siang. Di tambah pula 2/3 malam tidak kita gunakan secara berkualiti. Malam untuk diri tidak kita gunakan sebaik mungkin. Kita tidak gunakan untuk berfikir tentang kejadian kita. Apa yang kita fikir ialah bagaimana untuk menimbunkan kekayaan, biar pun insan disekeliling kita dahagakan kasih sayang. Malam untuk Allah semakin menipis kepada kita. Kita tidak selalu bertahajud, berhajat atau berwirid kepada-Nya. Yang ada kepada kita ialah menjamu mata dengan rancangan liburan di TV. Jadi tanyailah diri kita adakah masa malam kita digunakan dengan cukup berkualiti. Takut nanti kita disoal kerana kufur nikmat. Awaslah masa akan membunuh kita secara senyap. (sejurus membaca novel SN Abdullah Hussain- mungkin novel terakhirnya)
Wassalam.

Selasa, 2 Mac 2010

Terima Kasih, Teman

Aku tak mampu bersuara lunak
kerana terima kasih itu terhenti dikerongkongku
lalu suaraku hilang dikunyah gementar
ingin terima kasihku disampaikan
tapi lenyap dimerdu tawa
lalu aku kehilangan semua
sayangku
kasihku
dan terima kasihku
padamu teman.

3/3/2010
Kamar Budaya
IPG,Kampus Raja Melewar.

Lembut Dalam Bahagia

Usia sebenarnya tidak boleh disembunyikan. Tanda-tandanya tidak mampu ditutupi oleh sesiapa pun insan di dunia ini. Kita mampu menutup wajah yang semakin cantik walau pun sudah banyak umur. Tapi kita tidak boleh tutupinya di kawasan anggota yang lain. Mungkin di kelopak mata yang mula kehitaman biar pun ia tiada kedutan. Mungkin di kawasan pelipis yang mula menurun ke arah dagu kita. Rambut boleh disembunyikan di bawah tudung atau songkok yang cantik tapi tidak mampu menyembunyikan reroma kita yang mulai keperangan. Mampukah kita menyembunyikan ketuaan kita. Jawabnya tidak mampu bukan. Ini cuma halwa untuk akal kita agar terus berfikir. Apa yang mahu di bicarakan kali ini ialah tentang lembut dalam bahagia. Bagi aku bahagia itu sebenarnya tiba dalam keadaan yang tenang, damai dan dengan penuh kelembutan. Bahagia kita kerana senario di sekeliling kita mendamaikan. Kedamaian itu kemudainnya dengan lembut mencuri masuk ke naluri dan mata hati kita. Kelembutan ini kemudiannya terpancar melalui sirna cahaya yang berada di wajah kita. Jadi ringkasnya usia kita akan menjadi muda bila kita dilingkungi oleh kelembutan kebahagiaan. Tak payahlah kita mati-matian memudakan wajah kita dengan berbagai-bagai kaedah moden, sedangkan alam telah menyediakan ruang yang cukup istimewa kepada kita untuk muda. Alamiah telah sediakan kebahagiaan sebagai penawarnya.
Wassalam.

Isnin, 1 Mac 2010

STPD dan Terima Kasih

Jika daripada Seremban ingin ke Telok Kemang melalui jalan lama pasti anda akan melalui Sekolah Tinggi Port Dickson (STPD). Salah sebuah sekolah Inggeris yang dibina oleh penjajah Inggeris. Di sinilah aku menghabiskan sebahagian daripada umur aku sebagai pendidik. Kurang lebih 17 tahun. Di sinilah aku belajar segala selok belok bidang pendidikan, sebagai anggota masyarakat dan juga terlibat dalam mesyuarat dengan pihak swasta. Dalam bidang pendidikan sempat juga aku menjadi KB, belajar menyusun jadual waktu dan relief, berhadapan dengan kerenah pelajar dan guru-guru serta terlibat dalam bidang pembangunan sekolah. Sebagai anggota masyarakat aku terlibat dengan mesyuarat PIBG dan kerenah ibubapa. Manakala mensyuarat dengan pihak swasta bila kita dijemput ke premis mereka. Mesyuarat mereka pendek tapi cukup padat dengan penyelesaian. Jika kita hendak sumbangan,mereka panggil kita dan berikan penerangan, kemudian jika lulus mereka keluarkan peruntukan/cek dengan kadar segera. Jika tidak lulus mereka terus cakap dalam mesyuarat tersebut. Mudah, jelas dan padat.
Di sini juga aku mendapati berbagai-bagai ragam teman daripada berbagai negeri dan daerah. Jadi rumusannya, STPD telah mengajar aku untuk mengenali siapa diri aku dan siapa disekeliling aku - sekadar kawan, teman atau sahabat.
STPD aku berterima kasih padamu.
Wasssalam.

Gambar dan 1001 cerita

Kata orang gambar ada 1001 cerita. Begitu juga gambar dalam album-album lama, ada berbagai-bagai cerita - sedih, sayu, gembira dan sarat dengan kenangan. Jadi gambar yang aku simpan juga sarat dengan berbagai-bagai cerita. Setelah membuka album aku terkesima dengan dua tiga gambar dalam simpanan. Gambar pertama ialah gambar hitam-putih ketika aku bersekolah di tingkatan 3. Berseluar pendek putih, berbaju putih dan sarung kakinya sampai kelutut. Macam manager estet, ranggi. Gambar kedua ialah ketika menjadi penuntut di UM. Agak ranggi juga tetapi berjeans pusam, berambut panjang dan berselipar jepun sahaja. Badan kurus dan agak cengkung. Tirus. Gambar ketiga rasanya gambar yang betul-betul teruja dan membawa perasaan sedih. Gambar ini di ambil waktu di Pulau Pangkor (sekitar tahun 1995/6) ketika melakukan tugas dengan PPK. Tugasan memasukan bahan sastera ke dalam subjek bahasa Melayu. Dalam gambar ini bukan sahaja aku tetapi ada Basri , Aminhad dan Ismail Sarbini. Gambar ini membawa kesedihan dan kesayuan kerana Ismail Sarbini penulis sastera kanak-kanak yang terkenal telah pun dijemput kembali menemui Maha Pencipta. Beliau meninggal kerana ketumbuhan dalam otak. Sayang dunia kreatif Ismail Sarbini sedang memuncak naik, tetapi Allah lebih sayangkannya. Apa yang terkedu ialah beliau adalah seorang insan yang baik dan cukup santun tutur katanya. Gambar ini akan menjadi kenangan selama-lamanya buat aku. Al-Fatihah buatmu. Itulah kehidupan kita yang bernama insan. Tanpa boleh di duga tentang apa yang bakal terjadi pada detik hadapan.
Wallah'ulam

Puisi dan Tamsilnya

Tanpa sebarang kerja di malam minggu lalu, aku pun membelek-belek buku yang telah lama aku tinggalkan diam di rak. Aku pun tertarik kepada buku Dr Abdul Hadi W.M yang berjudul Kembali ke Akar Kembali ke Sumber. Buku ini merupakan esei-esei kajian beliau tentang sastera Indonesia. Terdapat dua tulisan yang menarik hati iaitu tentang Laron pada Mati: Kata Chairil Anwar dan satu lagi ialah tentang Amir Hamzah dan Wayang. Kedua-dua tulisan ini membuktikan bahawa puisi mereka mentamsilkan kepada kehidupan kita. Chairil menulis puisinya yang berjudul Lagu Siul. Di sini aku turunkan bait puisi tersebut:
Laron pada mati
Terbakar di sumbu lampu
Aku juga menemu
Ajal di cerlang matamu
-------------------------
------------------------- (hlm 145)
Tamsil yang di berikan oleh penyajak ini lebih bersifat sufi. Ini kerana laron (kupu-kupu) sebenarnya tidak mampu menjauhkan diri daripada lampu/pelita/temaram. Biar pun kupu-kupu akan terbakar hangus kerana kepanasan namun itulah tempat paling menarik untuk kupu-kupu bermain. Tamsilnya (ibarat) penyajak menyatakan bahawa kehidupan manusia juga begitu. Biar pun perkara-perkara yang tidak baik itu berdoasa tetapi manusia masih ingin melakukannya. Dosa itu akan membakar kita nanti tetapi kita tetap ingin keseronokan. Akhirnya kita seperti kupu-kupu hangus,berdosa dan menderita hasil daripada perbuatan kita sendiri.
Dalam buku yang sama ditemui juga puisi yang bersifat tamsil ini. Tapi bukan tulisan Amir Hamzah sebaliknya karya Omar Khayam penulis Parsi abad ke-12. Penulisnya menggunakan citraan/imej simbolik wayang seperti yang terdapat dalam bukunya Rubaiyat Omar Khayam. Beliau menulis:
Kita adalah wayang dan langit dalangnya
Ini bukan kiasan tapi kenyataan
Sesaat kita diberi peran di layar ini
Lalu kembali ke kotak satu persatu dan di lupakan (hlm 150)
Tamsil yang boleh diangkat daripada puisi ini cukup jelas bahawa, dunia adalah pentas kehidupan kita. Kita adalah pelakon/peran yang diberikan kehidupan yang sementara. Yang pasti kita akan kembali kepada Yang Maha Esa seorang demi seorang dan kemudiannya dilupakan. Itulah tamsil daripada dua bait puisi yang menarik ini. Ini juga bermakna bahawa penulis-penulis Islam lebih dahulu menyatakan kehidupan di dunia ini hanya sementara. Kita adalah pelakonnya. Bukan di mulai oleh Shakespeare.
Apa yang penting marilah kita sama-sama merenungi kehidupan kita yang terus berinsut pergi hari ke hari. Usia semakin bertambah dan bermakna umur kita semakin pendek dan dekat di alam baqa.
Wassalam.