Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Jumaat, 25 Jun 2010

Yang Tinggal Hanya Kenangan

Isu kali ini agak peribadi sifatnya. Mungkin kerana kehilangan ayahanda yang tersayang. Namun itulah ketentuan yang telah ditentukan. Apa yang mampu aku sebagai anak lakukan ialah berdoa agar rohnya ditempatkan dikalangan mereka yang beriman. Sebenarnya aku telah kehilangan punca asalku, aku telah yatim piatu sebenarnya. Mungkin kehilangan ibu kurang dirasai kerana aku masih lagi kecil. Tapi kehilangan ayahanda tersayang lebih merobek jiwa. Sebagai yang dicipta, aku redha dipinjamkan ayahanda selama kurang lebih 85 tahun. Terima Kasih Allah. Kerana Engkau kirimi seorang lelaki yang kupanggil ayah yang cukup istimewa, bertanggungjawab dan lipur lara yang cukup mengasyikkan. Aku kehilangan semua. Apa pun kenangan yang cukup ialah pada satu pesanan beliau, "di mana-mana kau berada ingatlah, kalau mahu jadi ayam, jadilah ayam sabung yang sentiasa menang. Tapi kalau tidak mampu jadilah kupu-kupu yang menghiasi malam."
Terima kasih ayah kerana memberikan kuliahmu kepada aku tentang kehidupan, biarpun engkau tidak pernah mempunyai ijazah.

Sabtu, 12 Jun 2010

Belajar Dari Alam

Rentetan daripada blog sebelum ini lalu aku turunkan puisi yang judulnya seperti di atas

belajar dari pantai dan laut
kerana mereka telah lama kahwin
dengan ijab setia
sehidup semati
biar pantai berubah wajah
laut tetap tiba sehingga senjakala

belajarlah dari rimbun pohon
setiap kali dibuang kayu
pasti buah maharanum di balasnya
kan ia berbudi

belajar dari pungguk
tidak kenal jemu
terus memujuk bulan
sedang dia pasti bulan tidak ke riba
hingga bulan kesiangan

belajar dari karang
yang lama tenggelam di laut dalam
seteguh sesetia musim
biar ada yang berubah
sahabatnya tetap sang ikan
bebas ke mana-mana

belajarlah dari alam
tentang hidup dan kehidupan
yang cukup jujur
usah belajar tentang hidup dan kehidupan dari manusia
kerana mereka jarang benar jujur pada diri

Port Dickson
23. 6. 2002

Sekian- renung-renungilah.

Cerita aku tentang Laut

Isu kali ini adalah rentetan riwayat Abang Mie Lob kita. Dia dapat lagi ke KT dan ke laut. Tahniah ikan manyak busat. Tapi aku ingin melihat laut daripada sisi yang lain pula. Kata ulama' apabila hati resah, gelisah, walang dan sedih, ziarahi laut. Lihatlah laut. Laut mampu memberikan ketenangan jika kita berfikir dengan matahati. Warna airnya biru, tanda ketenangan. Luas, tenang namun banyak tingkahnya. Daripada laut kita boleh belajar tentang hidup. Biar pun laut nampak tenang tapi sebenarnya ia bergelora/segara. Begitulah hidup insan biar pun tenang kadang-kadang bergelora, kadang kala cukup ganas. Laut lebih banyak memberi daripada menerima. Dia memberi apa sahaja protein kepada kita - ikan kecil, ikan besar malahan juga memberi barang-barang asesori rumah yang cantik (cengkerang siput, lokan, lala dan kayu-kayu reput). Apa yang lebih hebat laut dapat menentukan status seseorang ada yang besar ada yang kecil (tawkey, peraih dan nelayan). Itulah laut ciptaan Illahi. Tapi apa yang diterima laut ialah sampah sarap, tumpahan minyak dan juga maksiat sipengunjung dipersisir pantainya. Satu lagi yang boleh dipelajari daripada laut ialah kesetiaannya kepada pantai. Laut tidak pernah tidak menghantarkan ombak untuk menyapu pantai di darat. Jadinya mahu mengumpamakan kesetiaan jadilah macam laut yang terus setia kepada pantai . Kalau anda tidak percaya tanyalah kerikil dan ikan. Mereka lebih jujur daripada manusia yang kadang-kadang tidak jujur kepada diri sendiri.
Walallahua'lam - aku tengah penin (baca loghat Kedah no. ) untuk siapkan artikel Sinarama.

Khamis, 10 Jun 2010

Aku, Kasut dan Tukangnya

Isu kali ini meminta menungan. Siapa dan apa status kita. Dalam cuti ini kerana tidak ada tugasan yang menghambat, aku membawa kasut-kasut lama (lebih lima tahun) untuk dibaiki. Bukan apa kasut-kasut ini ada yang dibeli ketika berada di tempat-tempat yang dilawati. Ada yang dibeli melalui wang yang diperoleh setelah menukangi sesuatu, ada yang diberi. Malah ada yang diberi teman sebagai kenang-kenangan. Kasut-kasutnya biar pun lama tapi tahan menungkah masa, cuma tapaknya yang perlu ditukar. Lalu aku pun ketemu tukang kasut yang ada di bandar BP. Aku berkitar dibandar, akhirnya aku kembali ke tukang kasut yang usianya antara 55 hingga 65 tahun. Sebaya bapa saudaraku, mungkin. Terdetik dalam hati, kenapa pakcik ini masih melakukan tugas begini. Berada di kaki lima sebuah kedai, sebuah peti peralatannya dan sebotol air kosong (1.5 liter) dan digigit hawa panas. Orangnya masih kuat dan melakukan kerja-kerja membaikpulih kasutku dengan tekun, cermat dan cantik jahitannya. Aku berbual dengannya. Setelah itu aku pun bertanya, kenapa pakcik melakukan kerjaya ini. Jawabnya cukup mudah, 'tidak mahu menyusahkan anak-anak'. Berapa ramai anak pakcik, "6 orang dan semuanya berjaya." Sambungnya, "inilah hidup nak, bila berjaya mereka enggan menjengah pakcik dan ibu mereka dikampung. Di kampung serba kekurangan." Hati aku diruntun sedih. Takungan air mata aku lihat dimatanya. Dia diam hingga usai kasutku dibaiki. Aku membayar upah atas kerjanya sambil mengucapkan salam. Sambil menerima upah, dia berpesan, "nak ingatlah kadang kala kejayaan yang dicapai membunuh keimanan seseorang." Aku melangkah meninggalkan pakcik tukang kasut yang menjadi guru aku tentang sebuah kehidupan. Dalam benak aku tertanya-tanya siapa aku dihati orang tua aku.
Wassalam.

Ahad, 6 Jun 2010

Aku, Sepi dan Teman-Teman


Kali ini tiada isu yang besar. Sesekali sepi tanpa kerjaya aku jadi binggung. Teringat teman-teman yang ceria dan pandai mengusik. Bukan salah detik waktu atau sesiapa. Aku memilih untuk tidak mengajar KDC kerana lokasi aku yang jauh. Biarlah teman-teman yang memberesnya. Jadinya aku keliru, tanpa sebarang tugasan. Apa pun itu pilihan yang aku telah buat. Kepada teman-teman selamat bertugas dan bahagia dalam lindungan Allah SWT selalu. Bagi mengisi ruang-ruang tanpa tugasan aku membantu isteri ditempat kerjanya. Setakat ini baru aku tahu bersendirian itu kadang kala meresahkan. Diam aku cuma bila tidur. Sedangkan jaga aku, aku ingin mengisinya dengan kepuasan. Kepuasan menulis, kepuasan membantu orang lain atau pun mungkin aku akan melukis kembali. Itu pilihan-pilihan yang aku ada setakat ini. Mungkin berlaku mungkin tidak. Entahlah. Walau apa pun aku perlu mengucapkan terima kasih kepada teman yang melingkari hidup aku selama satu semester ini. Memahami kegilaan aku yang kadang-kadang menyukarkan teman-teman atau pun kadang-kadang menyusahkan pergerakan teman-teman (terutamanya pada hari Isnin dan Khamis). Malahan kadang kala menjadi pemarah yang melukai banyak hati. Biar apa pun yang berlaku aku adalah manusia yang tidak sempurna. Jadinya aku pohon maaf pada semua teman-teman yang mungkin merasa tidak selesa bila bergaul. Itulah aku, terimalah seadanya. Temanmu ini kadang-kadang timbul kadang-kadang tenggelam. Buat teman-teman kalian adalah garam dan gula kehidupan aku dan JPM.


Walallahua'alam