Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Khamis, 10 Jun 2010

Aku, Kasut dan Tukangnya

Isu kali ini meminta menungan. Siapa dan apa status kita. Dalam cuti ini kerana tidak ada tugasan yang menghambat, aku membawa kasut-kasut lama (lebih lima tahun) untuk dibaiki. Bukan apa kasut-kasut ini ada yang dibeli ketika berada di tempat-tempat yang dilawati. Ada yang dibeli melalui wang yang diperoleh setelah menukangi sesuatu, ada yang diberi. Malah ada yang diberi teman sebagai kenang-kenangan. Kasut-kasutnya biar pun lama tapi tahan menungkah masa, cuma tapaknya yang perlu ditukar. Lalu aku pun ketemu tukang kasut yang ada di bandar BP. Aku berkitar dibandar, akhirnya aku kembali ke tukang kasut yang usianya antara 55 hingga 65 tahun. Sebaya bapa saudaraku, mungkin. Terdetik dalam hati, kenapa pakcik ini masih melakukan tugas begini. Berada di kaki lima sebuah kedai, sebuah peti peralatannya dan sebotol air kosong (1.5 liter) dan digigit hawa panas. Orangnya masih kuat dan melakukan kerja-kerja membaikpulih kasutku dengan tekun, cermat dan cantik jahitannya. Aku berbual dengannya. Setelah itu aku pun bertanya, kenapa pakcik melakukan kerjaya ini. Jawabnya cukup mudah, 'tidak mahu menyusahkan anak-anak'. Berapa ramai anak pakcik, "6 orang dan semuanya berjaya." Sambungnya, "inilah hidup nak, bila berjaya mereka enggan menjengah pakcik dan ibu mereka dikampung. Di kampung serba kekurangan." Hati aku diruntun sedih. Takungan air mata aku lihat dimatanya. Dia diam hingga usai kasutku dibaiki. Aku membayar upah atas kerjanya sambil mengucapkan salam. Sambil menerima upah, dia berpesan, "nak ingatlah kadang kala kejayaan yang dicapai membunuh keimanan seseorang." Aku melangkah meninggalkan pakcik tukang kasut yang menjadi guru aku tentang sebuah kehidupan. Dalam benak aku tertanya-tanya siapa aku dihati orang tua aku.
Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan