Malam. Satu Elemen Alamiah Kurniaan Allah SWT kepada makhluknya. Bagi sesetengah insan malam adalah rezeki (seperti pencuri, penyamun, gro, perempuan kabaret dan seiring dengan nya). Malam adalah ketakutan kepada mereka yang penakut. Malam adalah satu detik istirahat kepada mereka yang bekerja keras disiangnya. Malam adalah satu detik yang sukar kepada pemikir yang mahu melihat kenapa malam itu dikirimi Pencipta. Malam adalah satu detik pemisah antara hari ini dan esok yang segalanya berkemungkinan. Berkemungkinan kita tidak lagi melihat mentari lagi. Umpamanya kita bangun esoknya, indera lihat kita telah dibutakan. Atau mungkin nafas kita sudah diambil kembali oleh peminjamnya. Detik pemisah antara kita dengan mereka yang pernah kita mesrai tanpa sempat memohon maaf segala dosa-dosa yang telah diciptakan. Detik pemisah antara umur yang semakin mendekati kubur kerana usia yang semakin bertambah. Jadinya, pabila senja dikelambu malam ada seribu satu kemungkinan yang sukar untuk diceritakan insan. Lalu bagi penulis malam adalah satu bait puisi yang sukar ditafsirkan;
Malam kelam membenar
aku adalah pemburu
yang kehilangan sasar
lalu malam
adalah kehilangan yang menakutkan.
Kamar Budaya JPM
26/10/2010
Walahualam