"Orang semenda dengan orang tempat semenda
bagai timun dengan durian
mengolek luka kena golek pun luka"
Begitulah kata adat di atas, bahawa orang tempat semenda /berkodim itu perlu bertingkah laku dengan tepat. Ini penting agar kita (orang luar) tidak dituduh kurang ajar. Segala tindakan kita biar pun benar akan dilihat tidak benar kerana kita akan dituduh tidak kenal adat (itu yang dimaksudkan golek luka kena golek juga luka)
Apa yang mahu dibicarakan kali ini ialah tentang adap. Adap dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah cara seseorang berkelakuan dalam sesuatu situasi tertentu / pergaulan (2005: hlm 7). Jadinya aku sebagai orang jauh juga terikat dengan adap. Perlu berkelakuan mengikut suasana biar pun kadangkala situasi yang ada tidak begitu serasi dengan jiwa aku. Sebagai orang jauh aku terpaksa masuk kandang kambing mengembek" kalau tidak aku dituduh bertindak seperti Lebai Malang yang selalu menongkah arus. Malah mungkin juga aku dituduh orang yang devian / songsang arus atau pun juga dituduh orang yang tidak beradap. Jadinya aku terpaksalah memilih-milih dalam bertindak atas individu atau situasi tertentu agar tidak dikatakan orang yang sering songsang dengan situasi. Jadinya aku lebih suka memilih untuk berdiam daripada mencampuri hal orang lain. Pilihan ini aku buat agar minda aku tidak dikusutkan dengan masalah dan agar hati tidak dihitamkan oleh perasaan syak dan walang. Atau pun mungkin aku akan mengelak diri daripada berada dalam situasi yang tidak perlukan keterlibatan aku. Aku menghindar diri sehingga situasi itu selesai. Bukan aku takut menghadapi masalah tapi aku takut dituduh tidak beradap/kurang ajar. Selebihnya aku takut menjadi mentimun yang digolek luka menggolek pun luka.
Jadinya biarlah aku memilih jalan kedua agar hubungan sesama insan akan terus berkekalan dan juga aku tidak mahu dimurkai Allah kerana aku menipunya menyatakan semua orang Islam adalah saudara aku, nanti.
Wallahua'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan