Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Selasa, 28 Jun 2011

Cendekia Melalui Karya Sastera 1

Culas dalam menulis. Maaf sahaja yang diminta pada sesiapa pun yang membaca blog ini. Bukan apa burung malam sedang melebarkan sayap sambil menelaah hidup dan kehidpan. Disamping itu burung malam sedang mengunyah novel Faisal Tehrani (baru) yang berjudul Sebongkah Batu di Kuala Berang serta novel Andrea Hirata yang bertajuk Padang Bulan serta Cinta di Dalam Gelas. Kedua-dua novel cukup baik untuk ditelaah. Faisal membawa cara baru dalam menulis novelnya dengan bercerita setiap peristiwa diwahanakan melalui sepasukan penuntut Akademik Seni Islam diarahkan untuk mengkaji semula Kedatangan Islam di Tanah Melayu dengan cara membuat dokumentari-filem tentang kemasukan Islam sama ada dari Arab, Cina atau dari Jawa. Wahana doku-filem ini jarang-jarang dibawa oleh pengarang kita. Manakala Andrea Hirata (penulis novel Lasykar Pelangi) menghidangkan kisah-kisah kitaran hidupnya di kampung halamannya,tetapi dihasilkan ketika dia berada diluar negeri. Kisah cinta dan keazaman penulis ini yang mahu memiliki gadis Tionghua yang cukup jelita. Sedangkan dia agak jelek. Selain itu penulis ini cukup bijak menggunakan bahasa. Gayabahasanya cukup indah umpama gayabahasa yang dihasilkan oleh Pramoedya Ananta Toer. Sekadar contoh;




"Di tebing danau, kami duduk saling berpeluk tubuh, memandangi anak-anak belibis berenang berbaris-baris dan lingkar terang pelangi. Saban senja, selama musim hujan, seseorang memindahkan syurga dari langit ke kampung kami " ( Padang Bulan. 2011: 27)




Pada petikan ini ternyata pembaca akan bertemu dengan gaya bahasa hiperbola (memindahkan syurga dari langit),inversi (lingkar terang pelangi) dan suasana kampung yang indah melalui naratifnya (pembaca boleh berimaginasi tentang suasana tersebut).




Jadi bagi aku sebenarnya karya sastera boleh membijaksanakan pembaca. Faisal Tehrani misalnya mengajak pembaca untuk berfikir kembali tentang kedatangan Islam ke Tanah Melayu yang sampai sekarang masih kabur dari mana. Manakala Andrea juga mampu membijaksanakan pembaca dengan penggunaan gayabahasanya yang cukup istimewa. Bagi mereka yang tidak mahu belajar daripada karya sastera yang dihasilkan sama ada klasik atau moden, bagi aku golongan ini sebenarfnya egois dan tolol. Lalunya kita akan marah kepada orang lain kerana mereka menguasai dunia dengan belajar daripada penulisan atau sebagainya. Hal ini selari dengan firman Allah SWT " tidak AKU ciptakan sesuatu itu dengan sia-sia kecuali bagi orang tidak mahu berfikir". Apakah kita boleh marahkan Sir Isaac Newton yang menemui teori tarikan graviti ( kalau benar ) kerana melihat daun jatuh kebumi. Allah yang jatuhkan daun ke bumi bukan. Beliau mengkajinya hingga menerbitkan teori ini (kalau benar dia penciptanya).




Rumusnya, apa yang boleh dikatakan bahawa karya sastera sebenarnya penulisan yang tidak kosong. Banyak yang boleh dipelajari seperti peraturan hidup, kemahiran menulis kreatif, pemikiran sesuatu bangsa, kosmos/gestald/budaya sesuatu bangsa. Jadi mari kita fikir sejenak kenapa Laksamana Hang Tuah menyatakan "tak Melayu hilang di dunia" dalam Hikayat Hang Tuah.




Maaf coretan kali ini meminta pembaca membaca secara cendekia agar kita sama-sama mengembalikan kehebatan bangsa Melayu seperti diabad ke 15. 16 dan 17. Marilah kita mencari kecerdikan bangsa Melayu dalam persuratan Melayu. Renung-renunglah.




Wassalam.






Sabtu, 18 Jun 2011

Kekaguman, Keterujaan dan Ketololan

Tanggal 17/6/2011 aku memasukkan diri dalam Program Baca Puisi Riong, Tsunami Kemanusiaan sebagai penonton bertempat di UTHM, Batu Pahat. Tepat jam 8.30 mlm aku dah tiba dan bersedia untuk memamah puisi-puisi yang bakal diluahkan. Aku kesana kerana beberapa faktor;-


1. untuk kembali mengajak minda yang mula menjauhkan diri daripada bahasa-bahasa puitis.


2. untuk melihat secara dekat penyanyi hebat yang kaset awalnya hingga yang terbaru aku


miliki iaitu Suhaimi Mior Hassan dan pelakon hebat Wan Hanafi Su dan jemputan lain.


3 untuk kembali bertemu dengan bekas pensyarah KM aku ketika di UKM iaitu Ghaffar


Ibrahim (AGI)


4. mengajak diri untuk merasai kembali suasana kampus yang telah lama ditinggalkan.




Hampir 5 jam aku berada di dalam majlis itu aku mendapati:-


1. budaya mencintai sastera dan budaya agak menipis dikalangan para penuntut IPT sekarang, mereka lebih menantikan Ana Rafali untuk menyanyi, selepas itu kebanyakannya mula mengosongkan kerusi yang diduduki tadi.


2. ada ketololan kerana segelintir audien masih menyatakan bahawa apa ada pada majlis seperti ini. Kehadiran kami kerana terpaksa. Sedangkan kalau nak dibandingkan mereka tidak perlu memandu kerana kebanyakan tinggal didalam kampus.


3. ada jemputan yang tidak memenuhi kehendak tema bila melontarkan puisi mereka,sekadar membaca (mungkin) tapi puisinya sedap didengar tapi polos dari segi tema dan program.




Apa pun aku melahirkan kekaguman kepada pensyarah aku, walau pun usia sudah menjejak 70 tahun (rasanya) tapi ngaumannya masih seperti dahulu. Bertenaga dan cukup berjenaka puisinya. Tapi sarat dengan nasihat. Keterujaan aku kepada Suhaimi, orangnya cukup simple - berbaju kemeja cekak musang putih , berblazer tapi suaranya mengasyikkan (sama dengan kaset) bila menyanyikan lagu Kalau Berpacaran (duet bersama Ana), Misteri Cinta dan Epilog Cinta dari Bromley. Suhaimi ada kelas tersendiri. Aziz Desa juga hebat kerana masih mampu melontarkan bait-bait puisi SN Usman Awang ( Anak Jiran Tionghua) biar pun bertindak sebagai pengacara pada malam itu. Jemputan-jemputan lain juga hebat tapi perlu lebih fokus dan konsentrasi serta memilih puisi yang lebih tepat dengan temanya. Apa pun aku hanyut dalam bait-bait puisi Seloka Buang Anak- AGI dan Epilog Cinta dari Bromley. Setelah usai majlis aku bertemu sifu -AGI dan bertanya khabar sambil mengucapkan tahniah atas bacaan puisi serta atas penerimanya sebagai SEA Write Award baru-baru ini. Yang tololnya masih ada orang Melayu yang tidak menghargai warisan budayanya dengan melontarkan kata apa itu sastera dan sastera tidak boleh memajukan orang Melayu. Dalam benakku hanya timbul kata-kata " masih ada umat Melayu yang tidak belajar daripada kisah Kaduk, Pandir dan Lebai Malang.




Aku malam itu bermimpi bertemu Pak Kaduk, dan Kaduk menyatakan bahawa aku diperbodohkan oleh bangsa Melayu sendiri. Sebenarnya aku tidaklah sebodoh mana kerana tergadai tanahku masih kepada bangsa Melayu. Sedangkan kini tanah Melayu tergadai kepada bangsa lain. Siapa lebih bodoh adakah aku atau Melayu kini. Lalu disahut Pandir Melayu sekarang lebih teruk kerana mereka dijadikan rusa untuk mengail. Sedangkan aku menangkap rusa untuk umpan pancing aku. Dalam basa-basi mimpi itu aku lena dengan nyedarnya.




Wassalam.

Selasa, 14 Jun 2011

Aku,Sebuah Rumah dan Himpunan Kenangan

Sebenarnya riwayat ini lebih bersifat personal. Apa pun aku terpaksa mengajak pembaca menilai bahawa dalam fana ini apa yang kita sayang mungkin ada hadnya. Atau pun mungkin apa yang kita sayang sebenarnya bukan milik kita. Umpama pepatah orang tua-tua "buah hati kekasih orang". Malah kadang kala apa yang kita ingini terhalang kerana sebab-sebab lain. Hal ini yang mahu aku bawa pembaca untuk merenung kisah Aku, Sebuah Rumah dan Himpunan Kenangan. Kisah ini lebih bersifat nostalgik, sedih, pilu atau pun hampa. 1 Jun 2011 aku terpaksa menerima hakikat bahawa rumah kesayangan keluarga berpindah milik. Rumah ini cukup istimewa kerana beberapa sebab;

1. rumah pemula aku dan isteri miliki bila dunia kerjaya membenarkan kami membelinya.

2. rumah ini berada berhampiran pantai peranginan Port Dickson yang cukup aku senangi

alamnya.

3. rumah ini menerima kesemua lima zuriat kami.

4. rumah ini menjadi saksi bagaimana kami mengharungi kehidupan.

5. rumah yang melihat aku memulakan kerjaya penulisan kreatif dan melanjutkan pelajaran

6. rumah yang sering menerima teman-teman yang singgah dipantai PD.

7. rumah yang aku bermalam sewaktu bertugas di IPG, Kampus Raja Melewar.

8. jiran-jiran disekeliling yang cukup memahami.


Namun kesayangan aku cukup terhad kerana rumah itu biar pun banyak menyimpan kenangan tapi dari segi akta/undang-undang ialah milik isteri aku. Jadinya apabila dia menjualnya aku cuma mampu memberikan cadangan agar jangan dijual. Bagi aku rumah ini banyak menyimpan kenangan kerana aku melihat pembinaannya daripada kerja-kerja menolak tanah hinggalah diduduki. Aku bersama anak-anak yang mewarnakan bilik-bilik mereka. Malah aku melihat senja di PD diatas bumbung rumah tersebut. Rumah itu juga yang menerima aku sehingga mampu bertugas di Negeri Sembilan selama lebih kurang 21 tahun. Aku orang sains sosial yang melihat sesuatu itu berdasarkan kepentingan kejiwaan. Manakala isteri aku orang angka, dia melihat sesuatu berdasarkan keperluan semasa. Baginya rumah itu tidak berpenghuni jadi rumah itu perlu dijual agar wangnya boleh digunakan untuk tujuan-tujuan lain.


1 Jun 2011 merupakan mimpi ngeri yang menakutkan aku. Rumah itu biarpun tidak besar tapi didalamnya telah terhimpun berbagai-bagai kenangan yang sukar untuk dibeli dimana-mana. Ini kerana bagi aku kenangan tidak sama dengan foto dalam album. Foto cuma sekadar gambaran satu-satu peristiwa detik itu.Tapi kenangan adalah gambaran yang lebih meluas sifatnya iaitu sebelum, semasa dan selepas satu-satu peristiwa berlaku. Atau istilah ringkasnya ialah plot atau alur peristiwa. Jadi aku kehilangan satu benda yang cukup istimewa dalam hidup iaitu kenangan. Bagi mengelakkan konflik famili aku dengan luluh hati mengosongkan rumah tersebut biar pun aku cukup pilu waktu itu. Malam terakhir aku dirumah tersebut (31 Mei 2011) , bersendirian dan tak mampu aku melelapkan mata dengan sempurna. Semasa menutup pintu pagarnya, linangan air mata tertakung dikelopak dan ada esakan di rongga dada. Aku terlalu sedih. Payah untuk aku gambarkan. Jam 10.30 kunci rumah bertukar tuan dan aku bersalaman dengan teman yang akrab (Cikgu Norsyah) ada sendu antara kami. Katanya sukar lagi bertemu aku. Sebelum aku bertolak pulang terselit keinginan kalaulah aku Ali Baba Sikaya Raya aku sanggup membeli rumah ini daripada isteri aku. Disinilah had dan kemampuan yang aku ada, terpaksa melepaskan rumah dan himpunan kenangan. Payah sudah aku untuk melihat bulat bulan didada laut PD.


Mungkin coretan ini terlalu nostalgik dan melankolik sifatnya, tapi itulah kadang-kadang dalam hayat kita ada yang mampu dimiliki secara total (biar pun hanya sementara -semua milik Allah), kita adalah penumpang insan lain ( milik ahli keluarga yang lain) tapi kenangan yang mendatang sukar untuk dilupakan. Disini juga harus disedari bahawa persepsi insan terhadap sesuatu peristiwa, benda dan apa sahaja adalah berbeza. Berbeza mengikut umur, pendidikan dan status insan itu sendiri. Apa pun kenangan adalah penting untuk memacu aku bertingkahlaku dalam kehidupan. Maaf kerana terlalu emosi disini.


Burung Malam Merindui Indah Malam di Pantai Port Dickson.


Wassalam.




Isnin, 13 Jun 2011

Kesakitan dan Sayang

Sakit mengusarkan insan. Kadangkala tidak boleh bangun kerana sakit pinggang, tak mampu bernafas kerana selsema dan sakit-sakit lain. Bila kita sakit baru kita tahu perlunya insan lain untuk membantu kita. Jadi disini barulah kita tahu orang sayangkan kita atau tidak. Lebih penting sayang Allah kepada kita semakin menebal kerana orang yang diberikan kesihatan yang tidak begitu baik sebenarnya dikaffarahkan Allah untuk membersihkan dosa-dosa kita yang mungkin telah dilakukan dahulu.. Jadi sabarlah dengan ketentuan yang telah diutuskan kepada kita. Ingatlah kalau kita tidak sakit mungkin kita sering lupakan-Nya. Dalamsakit kita melihat apa yang sudah, sedang dan akan berlaku. Serentak itu kita membaca takdir hayat kita dengan matahati bahawa siapa aku dalam dunia fana ini. Buat teman-teman yang sedang sakit makanya bawa bersabar dan ingatlah bahawa Allah sayangkan anda.


Kesakitan adalah resam kehidupan bagi burung malam sebagai pengembara.


Wallahua'lam

Khamis, 2 Jun 2011

Burung Malam Mencari Mimpi

Burung malam bukan kehilangan bulan tapi kehilangan mimpi-mimpi indah. Yang sering mamper ialah mimpi-mimpi ngeri yang amat menakutkan. Mimpi memang teman tidur, tapi kalau selalu disegah mimpi ngeri bermakna hidup akan menjadi maha kalang kelibut. Siangnya burung malam tak mampu terbang tinggi kerana tidurnya sering terganggu. Pabila gagal terbang tinggi makanya coretan dalam blog ini sukar diisi. Kalau terhasil pun coretan yang pudar malah kadang kala tidak begitu bernilai- kosong. Sebenarnya burung malam berada ditransisi perubahan antara mimipi ngeri dan mimpi indah.


Maafkan hamba siburung malam.


Wallahua'lam.