Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Selasa, 14 Jun 2011

Aku,Sebuah Rumah dan Himpunan Kenangan

Sebenarnya riwayat ini lebih bersifat personal. Apa pun aku terpaksa mengajak pembaca menilai bahawa dalam fana ini apa yang kita sayang mungkin ada hadnya. Atau pun mungkin apa yang kita sayang sebenarnya bukan milik kita. Umpama pepatah orang tua-tua "buah hati kekasih orang". Malah kadang kala apa yang kita ingini terhalang kerana sebab-sebab lain. Hal ini yang mahu aku bawa pembaca untuk merenung kisah Aku, Sebuah Rumah dan Himpunan Kenangan. Kisah ini lebih bersifat nostalgik, sedih, pilu atau pun hampa. 1 Jun 2011 aku terpaksa menerima hakikat bahawa rumah kesayangan keluarga berpindah milik. Rumah ini cukup istimewa kerana beberapa sebab;

1. rumah pemula aku dan isteri miliki bila dunia kerjaya membenarkan kami membelinya.

2. rumah ini berada berhampiran pantai peranginan Port Dickson yang cukup aku senangi

alamnya.

3. rumah ini menerima kesemua lima zuriat kami.

4. rumah ini menjadi saksi bagaimana kami mengharungi kehidupan.

5. rumah yang melihat aku memulakan kerjaya penulisan kreatif dan melanjutkan pelajaran

6. rumah yang sering menerima teman-teman yang singgah dipantai PD.

7. rumah yang aku bermalam sewaktu bertugas di IPG, Kampus Raja Melewar.

8. jiran-jiran disekeliling yang cukup memahami.


Namun kesayangan aku cukup terhad kerana rumah itu biar pun banyak menyimpan kenangan tapi dari segi akta/undang-undang ialah milik isteri aku. Jadinya apabila dia menjualnya aku cuma mampu memberikan cadangan agar jangan dijual. Bagi aku rumah ini banyak menyimpan kenangan kerana aku melihat pembinaannya daripada kerja-kerja menolak tanah hinggalah diduduki. Aku bersama anak-anak yang mewarnakan bilik-bilik mereka. Malah aku melihat senja di PD diatas bumbung rumah tersebut. Rumah itu juga yang menerima aku sehingga mampu bertugas di Negeri Sembilan selama lebih kurang 21 tahun. Aku orang sains sosial yang melihat sesuatu itu berdasarkan kepentingan kejiwaan. Manakala isteri aku orang angka, dia melihat sesuatu berdasarkan keperluan semasa. Baginya rumah itu tidak berpenghuni jadi rumah itu perlu dijual agar wangnya boleh digunakan untuk tujuan-tujuan lain.


1 Jun 2011 merupakan mimpi ngeri yang menakutkan aku. Rumah itu biarpun tidak besar tapi didalamnya telah terhimpun berbagai-bagai kenangan yang sukar untuk dibeli dimana-mana. Ini kerana bagi aku kenangan tidak sama dengan foto dalam album. Foto cuma sekadar gambaran satu-satu peristiwa detik itu.Tapi kenangan adalah gambaran yang lebih meluas sifatnya iaitu sebelum, semasa dan selepas satu-satu peristiwa berlaku. Atau istilah ringkasnya ialah plot atau alur peristiwa. Jadi aku kehilangan satu benda yang cukup istimewa dalam hidup iaitu kenangan. Bagi mengelakkan konflik famili aku dengan luluh hati mengosongkan rumah tersebut biar pun aku cukup pilu waktu itu. Malam terakhir aku dirumah tersebut (31 Mei 2011) , bersendirian dan tak mampu aku melelapkan mata dengan sempurna. Semasa menutup pintu pagarnya, linangan air mata tertakung dikelopak dan ada esakan di rongga dada. Aku terlalu sedih. Payah untuk aku gambarkan. Jam 10.30 kunci rumah bertukar tuan dan aku bersalaman dengan teman yang akrab (Cikgu Norsyah) ada sendu antara kami. Katanya sukar lagi bertemu aku. Sebelum aku bertolak pulang terselit keinginan kalaulah aku Ali Baba Sikaya Raya aku sanggup membeli rumah ini daripada isteri aku. Disinilah had dan kemampuan yang aku ada, terpaksa melepaskan rumah dan himpunan kenangan. Payah sudah aku untuk melihat bulat bulan didada laut PD.


Mungkin coretan ini terlalu nostalgik dan melankolik sifatnya, tapi itulah kadang-kadang dalam hayat kita ada yang mampu dimiliki secara total (biar pun hanya sementara -semua milik Allah), kita adalah penumpang insan lain ( milik ahli keluarga yang lain) tapi kenangan yang mendatang sukar untuk dilupakan. Disini juga harus disedari bahawa persepsi insan terhadap sesuatu peristiwa, benda dan apa sahaja adalah berbeza. Berbeza mengikut umur, pendidikan dan status insan itu sendiri. Apa pun kenangan adalah penting untuk memacu aku bertingkahlaku dalam kehidupan. Maaf kerana terlalu emosi disini.


Burung Malam Merindui Indah Malam di Pantai Port Dickson.


Wassalam.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan