Waktu tiba di sini
langit barat berwarna jingga
gumpalan awan berwarna kapas
bersisik melukis dada langit
landskap alam yang mengasyikkan
Waktu tiba disini
semilir angin timur bertiup lembut
menggoyang ilalang berwarna perang
umpama alam berdendang lagu-lagu rindu
memujuk hati yang resah gelisah
Waktu tiba di sini
suria telah separuh tidur
kejora mula menjengah diri
sambil menitip pesan
sebentar lagi raja malam pasti mewajahkan diri
Tapi
aku tidak sempat untuk melabuh rindu
mengait kejora dan menanti naiknya raja malam
kerana detik itu
aku telah lama diulit mimpi tentang esok.
Abd. Rahim bin Ismail
Kamar Budaya,
IPG, Kampus Raja Melewar
Seremban.
Khamis, 29 September 2011
Rabu, 21 September 2011
Menukangi Kesementaraan Kehidupan
Hidup adalah perjuangan. Perjuangan menyelesaikan masalah. Setiap masalah selesai, kita semakin matang. Kehidupan kita semakin indah. Itu bagi insan yang positif menghadapi hidup ini. Bagi mereka yang negatif tentang hidup, kehidupan adalah masalah. Jadinya kehidupan ini adalah bebanan masalah. Hidup mereka sentiasa dalam situasi stress. Dimana kita, di garis positif atau di garis negatif. Justeru itu, aku sedaya upaya mempositifkan masalah agar kehidupan tidak membebankan, di samping berdoa agar Allah sentiasa mengirimi aku bantuan daripada langit. Itulah kita. Kita umpama tukang yang sentiasa meneruskan kerja-kerja menukang biar pun sesekali kita didepani oleh kegagalan sesesuatu ukiran, pahatan mahu pun bekalan asas. Kita kadangkala buntu dengan penyelesaian masalah. Tapi ilham dari langit muncul, masalah selesai. Ilham itu mungkin terus daripada langit, atau pun melalui teman. Jadi kini kita bebas daripada masalah. Namun esoknya kita dihadapkan dengan masalah yang baharu yang memerlukan cara penyelesaian yang baharu. Itulah kitaran kehidupan kita. Maka soalnya, apakah sebenarnya sebuah kehidupan. Ringkasnya kehidupan kita adalah perjuangan menyelesaikan masalah yang dicipta oleh pemilik langit dan bumi. Hasilnya kita kembali sedar bahawa kita sebagai hamba-Nya perlu tuntas dalam sebuah anugerah iaitu, KEHIDUPAN.
Bagi aku, hidup adalah perjuangan dalam menyelesaikan masalah. Kematangan terbina pada setiap penyelesaian yang terhasil. Hiduplah untuk menceriakan mereka dilingkungan, disamping berterima kasih pada keindahan ciptaan alam.
Tukangi kehidupan anda dengan rasa syukur.
Walaahua'alam
Selasa, 20 September 2011
Dibungkus Kabus Rindu
Kabus - anugerah Allah kepada insan yang bangunnya pagi benar.
Rindu - anugerah perasaan yang sukar digambarkan kerana rindu sukar diukur cuma dirasa
oleh naluri.
Bungkus - satu perbuatan membalut apa sahaja sama ada dengan kertas, kain atau plastik.
Kenyataan di atas adalah realiti. Tapi jika difahami secara semiotik, kabus itu adalah satu ikon yang menandakan samar-samar masalah yang melingkari hidup kita. Masalah itu muncul kerana naluri kita tidak cukup stabil tapi insan ini masih rasional dalam tatatindaknya. Rindu kadangkala sukar untuk dikuasai oleh kita. Ia datang tanpa dipohon datang. Sedangkan bungkus adalah sifat kita yang sedang dilingkari satu masalah.
Itulah perasaan yang melingkari hidup aku. Tiba-tiba terkenang kembali kisah-kisah dulu. Kisah tentang sebuah kehidupan yang cukup sukar. Tentang sekawan kerbau yang perlu dikandangkan setiap petang. Tentang kebun getah yang perlu ditoreh setiap pagi untuk sesuap nasi sekeluarga. Tentang sebuah perigi yang perlu dihadap setiap pagi sebelum kesekolah. Tentang serelung sawah yang perlu ditanam dan dituai setiap datangnya musim panen. Tentang sekolah dan guru-guru yang memahami. Dan yang akhirnya tentang rindu pada mereka yang pernah menjadi sahabat, teman, kawan dan mungkin juga pernah dikasihi. Perasaan ini tidak pernah dijemput tapi kadangnya ia datang dan bertamu dalam banyak detik kehidupan aku. Perasaan ini juga tentu lewat dalam kehidupan kalian. Ia datang seperti kabus, membungkus perasaan kita kemudian hilang. Esok-esoknya ia kembali semula.
Apabila kehadirannya tiba, kita pun berekpresi. Kadang-kadang masam, kadang-kadang tersenyum dan kadang-kadang termenung. Apa pun setelah itu kita tersenyum tentang masa lalu. Masa yang tidak mampu dibayar oleh apapun jumlahnya. Lalu aku pun teringat tentang senyum;
Senyum
Sesiapa yang menanam senyum
Dialah yang akan menuai rindu.
Jadinya, rindu sebenarnya satu perasaan yang cukup istimewa kepada mereka yang tahu tentangnya.
Senyumlah kerana ia adalah anugerah daripada langit.
Wassalam.
Isnin, 12 September 2011
Dalam Perjalanan Yang Panjang
Waktu fajar menjengah buana itu aku bangun bersamanya. Usai segala tuntutan aku mulakan perjalanan. Sebuah perjalanan yang kadangkala manis dan kadangkala masam, pahit, kelat dan sebagainya. Itulah perjalanan dan kehidupan. Waktu menghirup udara pagi di atas lebuhraya, bunga kebangsaan dan siantan merah mekar. Embun manik-bermanik didedaunan tumbuhan disisi lebuhraya. Dingin tapi menarik. Namun, bulan pucat dipuncak menara pemancar talipon. Lingkaran merah mengelilinginya. Simbol bimasakti kita sakit. Jadi sebagai manusia kita perlu berfikir tanda-tanda yang dibawa bersamanya. Kalau bulan bisa ngomong sudah tentu ngomongnya jujur. Sejujurnya bulan tidak bisa ngomong, kata lirik sebuah lagu daripada seberang. Bulan bersuara dalam bisu, ikhlasnya, "bumi sudah terlalu hampir dengan nokhtahnya", kata bulan.
Melalui kisah di atas terdapat dua maslahah:-
1. dunia kita sebenarnya sedang nazak hanya doktor bumi dan langit sahaja yang tahu.
2. ikhlas adakah masih total sekarang.
Permaslahan pertama sering dilupakan minda insani. Malah ada yang marah-marah bila bercerita tentang ini. Mungkin manusia kini takut mati dan kalau mampu "mahu hidup seribu tahun lagi, biarpun dia adalah binatang jalan", kata Chairil Anwar (penyair hebat Indonesia). Permaslahan kedua ini yang sukar untuk ditafsirkan. Sukar untuk mencari ikhlas seperti Khalifah Umar Amirulmukminin kerana sanggup memikul gandum untuk seorang ibu tunggal yang hanya memasak batu untuk anak-anaknya. Ibu itu memberitahu bahawa Amirulmukminin tidak melihat keadaan rakyatnya. Umar dengan ikhlas dan bertanggungjawab memikul gandum dan menyerahkan kepada ibu tersebut. Umar tidak memberitahu siapa dirinya yang sebenar. Atau kisah Saidina Ali dan keluarga yang sanggup memberi makanan kepada orang yang kelaparan sedangkan Saidina Ali dan keluarga sedang kelaparan. Masih adakah lagikah ikhlas sebegini.
Ikhlas masih ada tapi persepsi manusia tentangnya yang berubah. Jika kita ikhlas membantu seseorang, terhasil dua persepsi. Persepsi pertama daripada manusia yang melihat aktiviti membantu itu,lalu lahirlah tanggapan bahawa kita cuma menunjuk-nunjuk tentang bantuan itu. Manakala kepada orang yang menerima bantuan juga ada persepsi sendiri. Mungkin kata hati kecilnya, ah aku menerimanya sahaja sedang aku amat membencinya. Jadi masih ada ikhlaskah dalam lingkungan hidup kita.
Aku kembali kepada diri. Lalu menumpahkan indera lihat kepada deretan kuntum-kuntum mekar dipersisir lebuhraya sambil berinterior monolog, kalian lebih ikhlas daripada aku dan mungkin insan-insan lain.
Tersenyum aku melihat sebuah panorama, seekor kelicap sedang mencuri nektar daripada bunga kebangsaan.
Wassalam
Selasa, 6 September 2011
Pesan Dari Langit
Syawal hampir melabuhkan tirainya. Entah-entah ada lagikah syawal untuk tahun mendatang. Hanya yang tahu adalah penciptanya. Siapalah kita untuk berurusan dengan masa dan giliran bulan-bulan yang duabelas itu. Kita sebagai insan yang dicipta hanya perlu melewati bulan-bulan itu dengan sabar, tabah dan mengisinya dengan elemen-elemen kepatuhan. Jika melanggarnya kita menjadi insan yang berdosa dan menidakkan bahawa kita adalah dicipta. Itu sahaja. Apa pun syawal mendatang banyak anekdot tersendiri. Pertama, aku dapat memenuhi tuntutannya dipagi raya sahaja, selebihnya menjadi pemudah kepada insan yang mahu kunjung mengunjungi. Kedua, aku mengurangkan sedikit kuih-muih dirumah sendiri. Ketiga, aku diserang bengkak gusi yang berdenyut-denyut hingga sukar untuk membuka rahang mulut. Anekdot ketiga ini membawa tanda bahawa pesan dari langit telah menyapa. Sedar-sedarlah bahawa siapa kita yang sebenar. Sakit begitu sudah tidak dapat bertahan, bagaimana sewaktu sakratulmaut menegur kita.
Kesakitan ini membawa tanda bahawa kita perlu;
1.sedar bahawa sakit yang mengitari kita terlalu kecil rasanya daripada sakratulmaut.
2.perlu sedar bahawa sakit yang sedikit itu juga milik Allah dan ada insan yang bernoktah nafas
kerana sakit-sakit yang kecil.
3.perlu sedar dan sedar bahawa malaikat maut setiap hari menyemak 70 nama insan untuk
dicabut nyawa mereka.
4.selalu perlu sedar bahawa sakit yang selalu menyapa bermakna umur kita semakin sedikit.
Pesan-pesan dari langit ini banyak petandanya, tapi insan tercipta ini sering gagal memahami tanda yang dilontarkan itu. Lihat-lihatlah diri agar kita berlampu menuju baqa.
Wallahua'lam
Langgan:
Catatan (Atom)