Kabus - anugerah Allah kepada insan yang bangunnya pagi benar.
Rindu - anugerah perasaan yang sukar digambarkan kerana rindu sukar diukur cuma dirasa
oleh naluri.
Bungkus - satu perbuatan membalut apa sahaja sama ada dengan kertas, kain atau plastik.
Kenyataan di atas adalah realiti. Tapi jika difahami secara semiotik, kabus itu adalah satu ikon yang menandakan samar-samar masalah yang melingkari hidup kita. Masalah itu muncul kerana naluri kita tidak cukup stabil tapi insan ini masih rasional dalam tatatindaknya. Rindu kadangkala sukar untuk dikuasai oleh kita. Ia datang tanpa dipohon datang. Sedangkan bungkus adalah sifat kita yang sedang dilingkari satu masalah.
Itulah perasaan yang melingkari hidup aku. Tiba-tiba terkenang kembali kisah-kisah dulu. Kisah tentang sebuah kehidupan yang cukup sukar. Tentang sekawan kerbau yang perlu dikandangkan setiap petang. Tentang kebun getah yang perlu ditoreh setiap pagi untuk sesuap nasi sekeluarga. Tentang sebuah perigi yang perlu dihadap setiap pagi sebelum kesekolah. Tentang serelung sawah yang perlu ditanam dan dituai setiap datangnya musim panen. Tentang sekolah dan guru-guru yang memahami. Dan yang akhirnya tentang rindu pada mereka yang pernah menjadi sahabat, teman, kawan dan mungkin juga pernah dikasihi. Perasaan ini tidak pernah dijemput tapi kadangnya ia datang dan bertamu dalam banyak detik kehidupan aku. Perasaan ini juga tentu lewat dalam kehidupan kalian. Ia datang seperti kabus, membungkus perasaan kita kemudian hilang. Esok-esoknya ia kembali semula.
Apabila kehadirannya tiba, kita pun berekpresi. Kadang-kadang masam, kadang-kadang tersenyum dan kadang-kadang termenung. Apa pun setelah itu kita tersenyum tentang masa lalu. Masa yang tidak mampu dibayar oleh apapun jumlahnya. Lalu aku pun teringat tentang senyum;
Senyum
Sesiapa yang menanam senyum
Dialah yang akan menuai rindu.
Jadinya, rindu sebenarnya satu perasaan yang cukup istimewa kepada mereka yang tahu tentangnya.
Senyumlah kerana ia adalah anugerah daripada langit.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan