Waktu tiba di sini
langit barat berwarna jingga
gumpalan awan berwarna kapas
bersisik melukis dada langit
landskap alam yang mengasyikkan
Waktu tiba disini
semilir angin timur bertiup lembut
menggoyang ilalang berwarna perang
umpama alam berdendang lagu-lagu rindu
memujuk hati yang resah gelisah
Waktu tiba di sini
suria telah separuh tidur
kejora mula menjengah diri
sambil menitip pesan
sebentar lagi raja malam pasti mewajahkan diri
Tapi
aku tidak sempat untuk melabuh rindu
mengait kejora dan menanti naiknya raja malam
kerana detik itu
aku telah lama diulit mimpi tentang esok.
Abd. Rahim bin Ismail
Kamar Budaya,
IPG, Kampus Raja Melewar
Seremban.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan