Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Rabu, 15 Februari 2012

Cerita dari secawan kopi

Secawan kopi sambil menanti waktu pulang. Melihat-lihat blog teman-teman. Ada yang berubah. Ada yang susut dan ada yang tidak berubah-ubah. Sambil melayari blog ketemu blog teman yang sedang berwisata. Simbol tandanya, dia beransur sihat kerana blognya semakin mekar dengan cerita-cerita yang di bawa. Cerita dia yang dipaksa oleh waktu bercuti. Itulah andaian atau terbak aku. Kadang-kadang kita mahu terbang jauh tetapi angin tidak ada. Kalau anginnya ada, talinya pula tidak cukup panjangnya. Rumusnya kita dilihat seperti bebas tetapi realitinya kita tetap terikat. Yang boleh dilakukan ialah terbang sepuas-puasnya sewaktu ada angin dan rehatlah semasa angin tiada. Itulah kudrat yang diberikan kepada kita, gunakannya sebaik mungkin. Buat dia, teruslah menulis kerana derita kita hari ini mungkin menjadi teladan kepada insan lain. Itu sahajalah sedekah kita kepada mereka yang sudi membaca blog kita. Kita bukan ustaz atau ustazah yang boleh mengajar disurau atau masjid, yang mampu kita berikan ialah ilmu yang bermanfaat.


Umpama secawan kopi, mungkin ada orang yang tidak minum kopi tetapi kerana temannya mengajaknya untuk pergi minum kopi, dia mengikutinya. Di sana mungkin ada keperluan teman tadi mengajaknya kesana. Sambil minum, sambil mencerita masalahnya, kita kerana berpengalaman atau memang pernah melaluinya, jadi kita sedaya upaya memberikan cara penyelesaian masalah tersebut. Jika berjaya mengurangkan bebanan yang ditanggung teman tadi bermakna separuh daripada penyakit beliau sudah hilang. Itulah kita dengan penulisan mungkin mampu membantu orang lain untuk meredakan tekanan yang sedang dihadapi. Umpama secawan kopi walau pun kita tidak suka meminumnya tetapi aroma kesegarannya kita sedut hingga kita tersenyum tentang wanginya. Biar hitam pekat kopi itu tapi kesegarannya telah memberahikan jutaan insan untuk meminumnya.


Buat teman yang dipaksa bercuti, tulislah apa pun agar tanda itu akan membantu kami di sini mengikuti perkembangan dari jauh.


Wassalam

Khamis, 2 Februari 2012

Siapa Kita...

Tajuk kali ini mungkin mendatangkan banyak jawapan. Ada yang mengatakan dia manusia, dia insan, dia hamba Alllah dan sebagainya. Jawapan ini semuanya benar khususnya sebagai hamba Allah. Tapi realitinya benarkah kita begitu. Contohnya terlalu banyak;


a. ada insan bangga kerana dia cukup kaya, memiliki apa sahaja yang berstatus kaya (kereta, kediaman, wang dll)

b. ada insan bangga kerana dia memiliki pakej lengkap sebagai seorang yang cantik (wajah dan potongan badan yang menarik)

c. ada insan bangga kerana memiliki ilmu yang tinggi (memiliki PHD dan sebagainya)

d. ada yang bangga kerana mempunyai kekuasaan dan kekuatan (menguasai Jabatan, Kawasan dll)

e. ada yang bangga kerana namanya diingati, disebut-sebut ( dalam media masa dll)


Benarkah mereka cukup hebat kerana;


a. jika mereka bangga kerana kaya, benarkah kerana Qarun lebih kaya daripada mereka. Kunci kekayaan Qarun terpaksa dibawa oleh beratus-ratus ekor unta. Kayakah mereka...

b. jika mereka bangga kerana cukup cantik, benarkah kerana Nabi Yusuf menguasai kecantikan didunia ini hingga mampu melukakan tangan tetamu yang datang ke rumah Zulaikha.Kecantikan mereka cuma 1/3 daripada kecantikan Nabi Yusuf. Cantikkah mereka...

c. jika mereka bangga kerana memiliki ilmu yang tinggi, benarkah kerana Nabi Sulaiman diberikan ilmu yang cukup luas bukan sahaja ilmu di dunia malah ilmu di alam binatang dan jin. Nabi Sulaiman menguasai ilmunya yang luas itu untuk belajar daripadanya sedangkan mereka yang bongkak dan sombong dengan ini sebenarnya mereka tidak menguasai ilmu. Bacalah kisah Sulaiman dengan semut. Berilmukah mereka...

d. jika mereka bangga kerana memiliki kekuasaan dan kekuatan, benarkah kerana Nabi Sulaiman lebih hebat kerana mampu menguasai jin untuk memindahkan istana Balqis ke istana baginda. Malah Nabi Sulaiman mampu menguasai alam dunia, alam haiwan dan alam jin. Berkuasa dan kuatkah mereka...

e. jika mereka bangga kerana nama mereka disebut, benarkah kerana nama Nabi Muhammad SAW telah termaktub di dalam takwim masyarakat dunia dengan Maulidur Rasulnya. Atau adakah mereka sehebat Abu Lahab yang dilaknat oleh Allah dalam al-Quran. Benarkah nama mereka disebut-sebut...


Jadinya, siapa kita sebenarnya cuma Allah sahaja yang boleh menandanya. Kita sebagai hamba-Nya cuma perlu bersyukur dan hidup di dalam keredhaan-Nya. Itu lebih baik, sebenarnya milik kita ialah dua atau lima helai kain putih bersama beberapa keping papan yang di masukkan kedalam liang lahat yang ukurannya 4x7x7= kubur. Apa pun jadilah insan yang baik dan seadanya kerana yang ada kepada kita itu sebenarnya tiada.


Wallahua'lam.


Jumaat, 20 Januari 2012

Menatap Langit Semalam

Kata orang tua-tua "masa semalam adalah kenangan yang tersimpan kemas dibenak kita, sama ada kenangan itu manis mahu pun pahit". Kadang kala setiap kenangan itu meronta-ronta meminta ia dikenangkan semula. Perasaan itu menyebabkan kita tidak mampu menolaknya. Makanya kita adalah penglipurlara kepada cerita-cerita semalam. Kita mula membina plot dan watak-watak yang terlibat sama ada putih mahu pun hitam serta watak pembantunya sekali. Jika ceritanya manis kita mula melihat diri sendiri sedang tertawa,tersenyum malah kadang-kadang kita terbahak-bahak. Di sini airmata gembira mengalir dingin tanpa sedar. Lalu kita mula mencari watak-watak disekeliling kita waktu itu setelah berada didunia realiti/kini. Kita mula menekan angka-angka di talipon, bila suara diujung sana bergema kita pun bercerita panjang tentang kisah-kisah semalam bersamanya. Jika jalan cerita pahit, kita bermuram durja, marah, benci. Kita seboleh mungkin tidak mahu mengingati kembali kisah-kisah semalam yang seperti itu. Malah kita kadang kala terus membencinya hingga saat ini. Kenapa begini. Mungkin kerana watak tersebut telah melukakan hati kita. Dan kita pun membencinya, sebenci-bencinya.


Sepatutnya kita berterima kasih kepada watak-watak di atas ( sama ada hitam, putih atau pembantu) kerana dengan kehadiran merekalah kita berada di tahap ini sekarang. Jika kita berjaya dalam hidup kini kerana bantuan daripada watak putih dan pembantu, kita perlu berterima kasih kepada mereka. Tapi jarang-jarang sekali kita berterima kasih kepada watak hitam walau pun hasil daripada kebencian yang diberinya itu kita telah berusaha dengan kuat untuk berjaya seperti hari ini. Mungkin masa itu kita muda dan belum matang dalam berfikir jadi kita marah, tetapi sekarang mungkin watak ini perlu dihubungi dan diucapkan terima kasih. Misalnya, apakah kita masih marah kepada bekas kekasih yang meninggalkan kita pergi hingga kini. Sedangkan setelah dibanding-bandingkan kekasih kita dulu dengan isteri atau kekasih sekarang, isteri dan kekasih sekarang lebih baik daripadanya. Lalu kita yang matang berfikir akan akur kepada ketentuan yang telah ditentukan. Hubungilah dia agar kita dapat kembali menghubungkan silaturrahim sebagai hamba seperti yang dikehendaki oleh Allah. Hati kita tenang dan kebahagiaan akan melingkari kehidupan kita, dimana sahaja kita berada.


Marilah kita bersama-sama menatap langit semalam dengan hati hari ini.


Burung malam sedang melayang mencari kekasih dulu yang terpaksa berangkat pergi tanpa kata.


Wassalam.

Sabtu, 7 Januari 2012

Bertutur Bahasa Azzawajalla

Tepat jam 9.00 tiba diteratak. Bulan dipuncak bukit dipinggir teratak bersinar terang. Cerah. Burung malam bersahutan sambil bermandikan cahaya terang itu. Dalam sedikit kepenatan aku juga puas. Puas kerana mampu memenuhi undangan teman yang menambah ahli baru dalam familinya. Tahniah. Puas kerana dapat memenuhi hajat teman-teman yang lain. Puas kerana memberi sedikit ilmu pada mereka yang inginkannya. Kepuasan itu sebenarnya tidak dapat dinilai dengan apa pun yang berharga di atas fana ini. Kepuasan juga meruah bila melihat alam malam yang cukup indah. Burung malam terbang rendah seolah-olah menyambut aku pulang untuk pula menjalankan tugas sebagai ketua famili. Sebenarnya aku puas begini. Paginya aku menjadi pengembara mencurahkan sedikit ilmu yang ada, mengenal hati-budi-tipu-daya dunia. Malamnya aku menjadi apa yang telah diamanahkan Tuhan. Sedang alam memberi tanda bahawa belajarlah sedikit daripada aku agar engkau bakal mengenali siapa dirimu. Alam bertutur bahasa Azzawajalla. Memberi tanda pada insan seperti aku bahawa semua yang berlaku adalah sementara. Mungkin esoknya waktu aku tiba diteratak, aku tidak bertemu bulan dan burung malam. Ini kerana esoknya mungkin hujan mencurah dan malam terlalu dingin. Dan aku hanya berkurung didalam teratak menanti hujan berhenti. Burung malam enggan melayah rendah takut sayapnya kuyub oleh hujan. Esok-esoknya bulan kembali dan hilang semula. Burung malam mungkin tidak lagi melayah rendah kerana hayatnya tidak panjang. Dan aku mungkin juga tidak lagi menjadi pengembara yang menanti terbitnya bulan dan merasa desir angin daripada sayap burung malam kerana bahasa Azzawajalla telah terakur ke atas aku. Siapa tahu.


Kalau pun tidak aku masih menanti bulan dan terpukau dengan layahnya burung malam.

Buat sesiapa pun kita adalah pengembara yang telah ditentukan waktunya dibuana ini.


Wassalam.


Selasa, 3 Januari 2012

Sesekali Ditegur Bulan

Setiap peristiwa, kejadian, transformasi dan perubahan yang berlaku pada alam adalah tanda kepada mereka yang mahu menjadikannya sebagai ikhtibar atau nota tinta merah dalam kehidupan masing-masing. Pada yang tidak endahkan kejadian tersebut, hidupnya berjalan begitu sahaja tanpa titik hingga kenafas terakhir. Setiap tahun kita didatangi oleh berbagai-bagai perubahan baik yang nyata dan trajis mahu pun yang tanpa sedar. Tanah runtuh, banjir, kebakaran, kemalangan dan yang seiringan dengannya. Bila dilihat, didengar kepada insan tertentu terus akan tersedar bahawa Allah SWT telah mengirimi tanda bahawa insan mula terkeluar daripada lingkungan kehendak-Nya. Hal ini adalah yang nampak. Perubahan yang tidak disedari ketibaannya itulah yang sukar untuk ditafsirkan. Kehilangan, perpisahan, ketinggalan dan keseorangan atau perubahan-perubahan yang seiringan kadangkala sukar untuk ditafsirkan. Bagi yang mahu mengajak akal dan matahatinya berfikir maka simbol-simbol tersebut juga menjurus kepada perjalanan hidup yang bakal ditempuh pada masa depan. Begitulah kita sebagai insan yang dicipta.


Pada akhir tahun ini banyak perubahan yang telah berlaku dibuana ini. Kejatuhan kuasa-kuasa Timur Tengah hinggalah kepada kejadian banjir yang dahsyat di Siam meminta akal yang waras untuk memikirkan tanda-tanda dari langit. Itu yang nyata. Tahun Baharu 2012 dan Awal Muharam merupakan tanda-tanda yang simbolik sifatnya. Ia perlu ditakwil dengan akal dan matahati dalam mencari jawapannya. Apa pun yang dikirimi dan dalam apa sahaja bentuknya sama ada kongkrit atau abstrak jawapannya adalah sama iaitu mahu manusia sedar bahawa insan perlu menjadi hamba yang taat kepada perintahnya. Kedua insan perlu sedar bahawa dunia sudah terlalu bangka, bila-bila boleh diambil pulang.


Bagi aku, perubahan terus berlaku dan sering ditegur bulan agar ingat-ingat perubahan yang berlaku padanya ada tanda-tanda pada aku untuk berfikir. Fikirlah tanda-tanda yang aku bawa kata bulan.


Wassalam.

Apabila Hilang ...

Maaf terlalu sedikit menulis waktu cuti ini. Berbagai kemungkinan yang mengurung. Tapi biarlah Maha Pencipta dan tuan tubuh sahaja yang mengetahui. Jika diluahkan berbagai tafsiran akan berlaku. Biarlah begitu sahaja. Apa yang lebih penting ialah tulisan-tulisan yang dinukilkan ini dapat membantu menghilangkan stress atau mungkin sebagai satu pengalaman. Itu sahaja. Kali ini cuba kita berusaha menilai sesuatu itu dengan matahati bukan sahaja dengan akal. Hal ini dapat dirujuk kepada kisah sewaktu Nabi Ibrahim AS sedang dibakar oleh Namrud yang kejam. Datang seekor burung kecil secara berulang-ulang membawa air. Dia diketawakan oleh burung-burung besar bahawa apa yang dilakukan itu sia-sia. Api tidak akan terpadam engkau yang keletihan, kata burung besar kepada burung kecil. Namun jawab burung kecil, aku tidak mahu dipersoalkan oleh Allah SWT nanti kerana tidak melakukan apa-apa sedangkan aku mampu melakukan sesuatu. Terbelalak burung besar dengan jawapan yang cukup hebat itu.


Itu satu kisah yang hebat daripada sejarah dan alam. Bagi kita yang boleh berfikir denga rasional, setiap sesuatu yang berlaku disekeliling kita sebenarnya mempunyai pengajaran yang cukup besar. Umpamanya bila kita memiliki sesuatu misalnya seorang teman yang baik, tetapi pada satu detik beliau telah melakukan sesuatu perkara yang menyakiti hati kita, kita jadi marah maka kita meninggalkannya. Pada satu saat yang lain kita berasa bersalah atas tindakan tersebut. Ingin kembali bersahabat kita berasa malu sedangkan batin kita amat memerlukan persahabatan daripadanya. Jadinya kita seperti kata orang tua-tua semasa berada tak diumpamakan, semasa tiada diburu semata. Ambillah iktibar bahawa jagalah semasa berada kerana apabila hilang barulah kita sedar bahawa sesuatu itu amat berharga. Lakukanlah apa yang sepatutnya untuk mengembirakan insan-insan disekeliling kita kerana kita tidak tahu bila kita akan berangkat daripada sisi mereka.


Wallahua'alam