Kata orang tua-tua "masa semalam adalah kenangan yang tersimpan kemas dibenak kita, sama ada kenangan itu manis mahu pun pahit". Kadang kala setiap kenangan itu meronta-ronta meminta ia dikenangkan semula. Perasaan itu menyebabkan kita tidak mampu menolaknya. Makanya kita adalah penglipurlara kepada cerita-cerita semalam. Kita mula membina plot dan watak-watak yang terlibat sama ada putih mahu pun hitam serta watak pembantunya sekali. Jika ceritanya manis kita mula melihat diri sendiri sedang tertawa,tersenyum malah kadang-kadang kita terbahak-bahak. Di sini airmata gembira mengalir dingin tanpa sedar. Lalu kita mula mencari watak-watak disekeliling kita waktu itu setelah berada didunia realiti/kini. Kita mula menekan angka-angka di talipon, bila suara diujung sana bergema kita pun bercerita panjang tentang kisah-kisah semalam bersamanya. Jika jalan cerita pahit, kita bermuram durja, marah, benci. Kita seboleh mungkin tidak mahu mengingati kembali kisah-kisah semalam yang seperti itu. Malah kita kadang kala terus membencinya hingga saat ini. Kenapa begini. Mungkin kerana watak tersebut telah melukakan hati kita. Dan kita pun membencinya, sebenci-bencinya.
Sepatutnya kita berterima kasih kepada watak-watak di atas ( sama ada hitam, putih atau pembantu) kerana dengan kehadiran merekalah kita berada di tahap ini sekarang. Jika kita berjaya dalam hidup kini kerana bantuan daripada watak putih dan pembantu, kita perlu berterima kasih kepada mereka. Tapi jarang-jarang sekali kita berterima kasih kepada watak hitam walau pun hasil daripada kebencian yang diberinya itu kita telah berusaha dengan kuat untuk berjaya seperti hari ini. Mungkin masa itu kita muda dan belum matang dalam berfikir jadi kita marah, tetapi sekarang mungkin watak ini perlu dihubungi dan diucapkan terima kasih. Misalnya, apakah kita masih marah kepada bekas kekasih yang meninggalkan kita pergi hingga kini. Sedangkan setelah dibanding-bandingkan kekasih kita dulu dengan isteri atau kekasih sekarang, isteri dan kekasih sekarang lebih baik daripadanya. Lalu kita yang matang berfikir akan akur kepada ketentuan yang telah ditentukan. Hubungilah dia agar kita dapat kembali menghubungkan silaturrahim sebagai hamba seperti yang dikehendaki oleh Allah. Hati kita tenang dan kebahagiaan akan melingkari kehidupan kita, dimana sahaja kita berada.
Marilah kita bersama-sama menatap langit semalam dengan hati hari ini.
Burung malam sedang melayang mencari kekasih dulu yang terpaksa berangkat pergi tanpa kata.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan