Tepat jam 9.00 tiba diteratak. Bulan dipuncak bukit dipinggir teratak bersinar terang. Cerah. Burung malam bersahutan sambil bermandikan cahaya terang itu. Dalam sedikit kepenatan aku juga puas. Puas kerana mampu memenuhi undangan teman yang menambah ahli baru dalam familinya. Tahniah. Puas kerana dapat memenuhi hajat teman-teman yang lain. Puas kerana memberi sedikit ilmu pada mereka yang inginkannya. Kepuasan itu sebenarnya tidak dapat dinilai dengan apa pun yang berharga di atas fana ini. Kepuasan juga meruah bila melihat alam malam yang cukup indah. Burung malam terbang rendah seolah-olah menyambut aku pulang untuk pula menjalankan tugas sebagai ketua famili. Sebenarnya aku puas begini. Paginya aku menjadi pengembara mencurahkan sedikit ilmu yang ada, mengenal hati-budi-tipu-daya dunia. Malamnya aku menjadi apa yang telah diamanahkan Tuhan. Sedang alam memberi tanda bahawa belajarlah sedikit daripada aku agar engkau bakal mengenali siapa dirimu. Alam bertutur bahasa Azzawajalla. Memberi tanda pada insan seperti aku bahawa semua yang berlaku adalah sementara. Mungkin esoknya waktu aku tiba diteratak, aku tidak bertemu bulan dan burung malam. Ini kerana esoknya mungkin hujan mencurah dan malam terlalu dingin. Dan aku hanya berkurung didalam teratak menanti hujan berhenti. Burung malam enggan melayah rendah takut sayapnya kuyub oleh hujan. Esok-esoknya bulan kembali dan hilang semula. Burung malam mungkin tidak lagi melayah rendah kerana hayatnya tidak panjang. Dan aku mungkin juga tidak lagi menjadi pengembara yang menanti terbitnya bulan dan merasa desir angin daripada sayap burung malam kerana bahasa Azzawajalla telah terakur ke atas aku. Siapa tahu.
Kalau pun tidak aku masih menanti bulan dan terpukau dengan layahnya burung malam.
Buat sesiapa pun kita adalah pengembara yang telah ditentukan waktunya dibuana ini.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan