Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Ahad, 30 Mei 2010

Rajut Kasih : Kecaian-Kecaian Fragmen


Rajut Kasih: Sebuah Prolog

Seremban-Batu Pahat- Kuala Terengganu -Kota Bharu semuanya bandar di negara kita. Semua orang tahu bandar-bandar ini. Malah ada yang telah melihat neon-neonnya berkilauan di waktu malam. Dingin panas udaranya telah pun disedut dalam-dalam. Indah dan mengasyikkan. Di bandar-bandar inilah rombongan Hari Keluarga JPM yang sekian kalinya bermukim. Namun isu yang mahu diketengahkan bukan keindahan bandar-bandar ini tapi keindahan manusia dan kemanusiaan yang hadir sewaktu berlangsungnya hari itu. Mungkin bagi insan lain hal-hal begini tidak diendahkan, tapi bagi aku hal-hal begini menjadi renungan diri yang kuat. Hasilnya berlakulah kecaian-kecaian kenangan dalam kehidupan yang terus bergerak hingga tiba noktahnya. Kenangan-kenangan ini mampu menjadi teladan dalam kehidupan. Bagi aku kecaian-kecaian itu dapat dibahagikan kepada beberapa fragmen;


Rajut Kasih: Fragmen Teman-Teman

Aku merenung setiap ahli keluarga yang menyertai program kali ini. Ada keistimewaan, kasih sayang yang wujud cukup erat antara ahli keluarga masing-masing. Mesra, akrab dan ceria. Semua ahli keluarga mengikut apa sahaja yang diingiini oleh keluarga tersebut. Hinggakan setiap keluarga membawa pulang apa yang keluarga itu rasakan perlu. Mungkin kain baju, makanan atau pun mungkin keperluan lain. Ibu dan ayah ceria dan anak-anak gembira. Jadinya rajut kasih kita yang semakin longgar kembali bertaut. Itulah hasil yang tersembunyi daripada program ini.


Rajut Kasih: Fragmen Diri

Aku merenung diri aku sendiri. Bersemangat hingga mampu memandu kenderaan dalam tempoh masa yang cukup lama. realitinya cukup meletihkan. Lebih kurang 4 hari aku memandu bermula daripada Bahau, Seremban, Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu. Jika tidak kerana rajut kasih antara teman-teman dan keluarga mungkin aku tidak mampu untuk memandu secara maraton ini. Namun rajut kasih seperti ini ada keistimewaan kerana ia memberikan tenaga dan motivasi yang hebat kepada aku. Aku kurang letih malah cukup bersemangat untuk melibatkan diri dalam semua aktiviti yang dirancangkan oleh teman-teman. Diri semakin kepingin untuk terus melibatkan diri dalam program yang bakal mendatang.


Rajut Kasih: Fragmen Hubungan Sesama Insan

Hubungan sesama insan berlaku tanpa sedar. Aku dan teman dapat bertemu dengan mereka yang sanggup berkorban untuk memberi sedikit yang mereka ada. Lalunya aku dan teman-teman menerima pengorbanan itu. Hubungan itu berlaku mungkin antara teman-teman dengan teman-teman lama. Aku ketemu teman lama di Kelantan (teman yang menjadi JU Kesus.Melayu dulu). Hubungan masih seperti dulu, dia mempelawa ke rumahnya tapi aku menolak. Jadi kami hanya minum-minum di warung sambil berbual tentang hidup dan kehidupan kini. Hubungan aku dan beberapa orang teman juga begitu (akrab) juga masih mampu minum malam di restoran berdepan hotel kediaman. Berbicara tentang program besok dan yang mendatang. Aku dan teman-teman juga bertemu dengan mereka yang sebelum ini tidak dikenali. Lalu berlaku hubungan aku dan teman-teman dengan ipar-duai Azmi serta mereka disekelilingnya. Mesra, santun dan akrab.


Rajut Kasih: Fragmen Detik

Fragmen ini sukar untuk dikendalikan. Kenapa ? Detik yang hadir kepada kita adalah ketentuan yang telah ditentukan. Jika mengikut jadual detik yang ada di sana memang terlalu singkat. Itu ukuran kita sebagai insan yang punya nafsu dan keghairahan. Bagi golongan hawa mereka tidak berkesempatan membeli barang yang masih diingini. Lalu mereka mengeluh detik yang ada terlalu singkat. Bagi kaum adam mungkin mengeluh kerana tidak puas melihat panorama hidup yang cantik dan menarik. Mungkin tidak mengeluh tapi runtunan jiwa pasti mahu kembali semula ke sini dengan detik yang lebih panjang. Apa pun alasan yang diomongkan detik untuk kita di sana untuk program ini cuma 2 hari 1 malam sahaja. Bagi memuaskan hati perlulah dirangka detik baru ke sana. Tapi detik dan kepuasan pasti tidak mampu dipenuhi jua kerana kita adalah insani yang diciptakan dengan nafsu yang tidak tahu bila bakal berhenti meminta. Justeru itu kita hanya mampu mengisi sedikit ruang nafsu dan detik yang dikirimkan -Nya. Itu saja.


Rajut Kasih: Fragmen Keluarga

Program kali ini mampu mengikat kasih sayang yang lebih erat antara ahli keluarga. Kita mampu tidur bersama anak-anak yang sebelum ini tidur berasingan di ruang bilik masing-masing. Berhimpit namun cukup istimewa. Ruang yang sempit itu mengajar kita dan ahli keluarga bertolak ansur. Bantal dan tilam yang sempit mampu dihuni oleh empat lima orang ahli keluarga tanpa rungutan. Kalau di rumah ruang bilik masing-masing adalah hak masing-masing. Di ruang yang sempit itu kita masih lagi bermimpi yang indah-indah. Sarapan yang sedikit mampu dijamah bersama tanpa rungutan. Sebenarnya apa yang kita peroleh daripada program ini ialah baja yang menyuburkan hubungan kekeluargaan. Baja itu menjadi rajut kepada hubungan kekeluargaan yang mungkin sedikit lowong.


Rajut Kasih: Sebuah Epilog

Lalunya fragnen ini meluahkan emosi bahawa rajut kasih perlu disuburkan. Biar sukar tapi ia adalah baja yang terus membesarkan daun-daun kasih dan akar pencengkam harmoni rumahtangga. Benar atau tidak ini adalah perspektif aku. Terpulang pada tanggapan masing-masing. Akar dan baja milik kita, apa yang perlu kita lakukan ialah menyuburkan pohon-pohon kasih sayang itu. Jadinya rentetan sebegini perlu diteruskan. Usah bertanya kepada orang lain ( orang luar) untuk tujuan murni ini kerana kata pepatah " lain ladang lain belalang".


Wassalam.



Isnin, 24 Mei 2010

Protes dalam Sastera

Kali ini kita berbicara tentang protes dalam sastera. Protes kalau mahu ditakrifkan ialah sangahan atau tidak bersetuju dengan sesuatu isu , kejadian dan sebagainya. Kamus Dewan Edisi Ketiga mencatatkan penyataan tidak setuju dengan sesuatu dasar (usul dan lain-lain), sanggahan, sangkalan, tentangan (hlm; 1059). Protes juga hidup di dalam karya sastera tetapi sanggahan ini disampaikan oleh penulis secara alegori atau perlambangan. Dalam karya-karya sastera hal ini dapat ditemui dengan cukup jelas. Apa yang menarik kadang kala penulis menghadirkannya dengan cukup indah. Dalam karya sastera tradisional seperti Sejarah Melayu unsur protes ini cukup banyak ditemui. Salah satu daripada contohnya ialah puisi di bawah;
Carik baju raja,
Dilompati todak,
Bukan disengaja,
Sebab akal budak.
Di sini secara alegorinya, Tun Seri Lanang menyanggah ketidakcerdikan seorang raja di Singapura yang gagal menyelesaikan masalah Todak Melanggar Singapura. Sebagai pemimpin sepatutnya masalah ini dapat diselesaikan dengan mudah. Tetapi raja ketika itu hanya memerintahkan rakyatnya berkubukan betis. Masalah ini makin menjadi parah kerana lebih banyak rakyat yang mati. Dengan kebijaksanaan seorang budak yang meminta berkubukan batang pisang masalah ini dapat diselesaikan dengan mudah. Unsur perlambangan juga di hasilkan oleh Tun Seri Lanang ke atas Sultan Mahmud Syah yang kaki perempuan. Perlambangan ini ditunjukkan oleh penulis dengan kegilaan baginda untuk berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang. Puteri itu sebenarnya belum pasti wujud tetapi Sultan mahmud sudah ghairah/berahi untuk memilikinya. Hingga wujud kritikan melalui catatan ini,
--------------------------
-------------------------------
Adakah gila padamu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.
Adakah kita perlu menyediakan semua bahan untuk memasak, sedangkan burung sebagai bahan utamanya masih lagi bebas terbang. Begitulah kecerdikan intelektual bahasa dan sastera, sehingga menyampaikan sindiran,kritikan dan sanggahan terhadap sesuatu yang tidak disukai dengan penuh adap. Bukan sahaja karya-karya lama, isu ini juga hadir dalam genre sastera Melayu moden. SN Usman Awang menulis drama Tamu Bukit Kenny dengan penuh sindiran. Kala Dewata dengan dramanya Atap Genting Atap Rumbia. Shahnon dengan novel Ummi dan Abang Sheikul dan penulis-penulis besar yang lain. Jadi janganlah membuat persepsi bahawa dunia sastera ialah dunia khayalan. Siapa yang berkhayal kita atau penulis. Tepuk dada tanyalah diri. Benar atau tidak. Renungi diri tanya matahati.
Wallahua'lam

Sabtu, 22 Mei 2010

Interteks dan Intertekstualiti: Satu Catatan Awal

Isu kali ini lebih bersifat intelek. Hal ini dibawa kerana terdapat kekeliruan fahaman antara dua istilah ini. Istilah ini sering wujud apabila kita mempelajari sastera. Bukan untuk dihuraikan secara mendalam tetapi cukuplah sekadar kita sama-sama belajar dan cuba memahaminya.Sebenarnya dua istilah ini amat berbeza biar pun kehadirannya mungkin berlaku serentak dalam sesebuah kajian sastera. Interteks bermaksud suatu korpus teks yang meliputi nukilan teks atau segmen teks sosiolek dan jaringan teks budaya, yang terdiri daripada leksikon, mungkin juga sintaksis, yang sama dengan teks yang masih kita baca (Umar Junus:1996,127) Interteks secara ringkasnya ialah kehadiran perkataan, frasa atau bahagian dalam karya-karya yang mengelilingi atau mendahului karya yang sedang dicipta. Manakala dalam sesebuah teks terdapat beberapa buah teks merupakan pengertian kepada intertekstualiti. Konsep ini boleh diertikan bahawa ketiadaan kebebasan sesebuah karya daripada karya yang terdahulu. Hal ini berlaku kerana seorang penulis telah membawa karya-karya lain sebelum ia menghasilkan karya sendiri (Rahman Shaari:1987,42-43). Menurut Julia Kristeva (penulis Perancis), 'semua teks terhasil kerana cantuman petikan dan teks-teks itu adalah serapan dan tranformasi teks-teks lain'. Ringkasnya menurut Teori Intertekstualiti tidak ada sebuah teks pun yang sungguh-sungguh mandiri, dalam erti bahawa penciptaan dan pembacaannya tidak dapat dilakukan tanpa teks-teks lain. Tokoh awal yang memperkenalkan teori ini ialah Mikhail Bakhtin pada tahun 1926. Kemudian teori ini terus dikembangkan oleh beberapa orang tokoh seperti Julia Kristeva, Roland Bathes, Jonathan Culler, Michael Riffaterre dan juga tokoh pengkaji sastera dirantau sebelah sini seperti A. Teeuw, Umar Junus dan Mana Sikana. Jadi diharapkan para pembaca akan cuba memahami apa itu interteks dan intertekstualiti agar dapat kita sama-sama menambah ilmu kajian sastera yang berlegar bebas di sekeliling kita.
Wallahua'lam.

Jumaat, 21 Mei 2010

Post Hoc Ergo Propter Hoc: Falasi dan kita 2

Frasa di atas berasal daripada bahasa Latin yang boleh diterjemahkan sebagai "selepas itu,maka oleh sebab itu"atau dalam bahasa Inggeris "after this, therefore because of this." Inilah kesilapan yang paling kerap kita lakukan. Kesilapan berfikir jenis ini sentiasa melibatkan dua kejadian iaitu satu adalah sebab dan yang satu adalah akibatnya. Tapi tidak semua kejadian mempunyai kaitan sebab dan akibat. Semakin kedua-dua kejadian itu berlaku tidak lama antara satu sama lain, semakin kita sangka kedua-duanya adalah yang satu disebabkan oleh yang satu lagi. Misalnya sebuah keluarga berpindah ke rumah baru. Tidak lama kemudian anaknya jatuh sakit dan meninggal dunia. Lalu orang akan menyatakan bahawa rumah tersebut penyebab kepada kematian anak tersebut. Atau satu keluarga mengambil anak angkat tetapi kemudiannya si suami atau si isteri naik pangkat,maka orang percaya itu tuah anak pangkat Hal ini juga seperti "terkenan" dalam masyarakat Melayu. Falasi-falasi seperti di atas lambat laun mampu membawa manusia yang mempercayainya kepada kepercayaan yang karut marut. Memang ada juga jenis dua kejadian kerana sebab dan akibat seperti selepas makan kita kenyang atau selepas makan ubat batuk kita mengantuk. Falasi jenis post hoc, kaitan ini tidak ada. Renung-renunglah untuk kitab hidup kita.
Walallahua'lam.

Selasa, 18 Mei 2010

Falasi dan kita

Catatan kali ini hanya ingin mengajak pembaca sama-sama berfikir tentang satu perkara. Perkara yang mahu dikongsi kali ini ialah tentang kesilapan pada cara kita berfikir. Dalam perkataan yang mudah keadaan ini dinamakan falasi. Terdapat banyak falasi yang kita lakukan dalam kehidupan kita sehari-hari. Kebanyakan daripada falasi itu, kita sendiri pun tidak tahu bahawa ia satu kesilapan. Kita menyangkakan apa yang fikir dan bentangkan itu betul. Perkara ini akan menjadi bertambah rumit bila falasi kita tidak diketahui kesalahannya oleh orang yang mendengar. Mereka turut sama menyatakan apa yang kita fikirkan itu betul. Misalnya kita sering membuat tanggapan begini, " oleh kerana saya tidak menerima apa-apa bantahan , ini bermakna semua ahli menyokong saya." Hal ini dianggap falasi kerana tidak ada bantahan/bukti. Bukan kerana fikiran yang telah dibentangkan itu betul. Jadinya, dalam hidup kita akan wujud falasi kerana berbagai-bagai faktor. Faktor masa, faktor keakraban, faktor kepentingan peribadi dan juga mungkin faktor saudara. Natijah daripada falasi ini, aku pun tertanya-tanya benar atau tidak setiap keputusan yang kita buat itu benar-benar betul atau atas sebab-sebab lain.
Walahua'lam

Sabtu, 15 Mei 2010

Bahlut dan Lasykar Pelangi: Pantulan Jiwa Guru

Malam minggu semakin berinsut ke fajar. Indera lihatku masih enggan bertaut. Masih bugar seperti aku telah tidur untuk 24 jam sebelumnya. Zuriatku yang berlima jumlahnya telah lama dikunyah mimpi-mimpi indah. Jadi malam menjadi terlalu sepi. Dalam udara sedikit meruapkan panas yang meleket tubuhku, aku telah usai membaca novel Faisal Tehrani yang baru dibeli sewaktu menjalankan KPKI di Segamat baru-baru ini (6/5/2010). Novel ini dijudul oleh penulisnya sebagai BAHLUT. Aku tidak mahu menitipkan sinopsisnya di sini. Apa yang mahu aku nukilkan untuk tatapan ialah kisah guru-guru di perkampungan orang asli yang begitu kental dengan semangat untuk melakukan islah kepada golongan ini. Hingga sanggup kehilangan nyawa dan insan-insan yang tersayang. Jadi mahu menjadi guru yang baik perlulah mencuri sedikit detik yang ada untuk membaca novel ini. Novel ini hampir sama jiwanya dengan novel Lasykar Pelangi karya Andrea Hirata. Dua novel menghidangkan semangat dan jiwa guru yang cukup hebat. Oleh itu untuk bakal guru bacalah dua novel ini. Daripada pelajar yang miskin dan seadanya, watak-watak ini kemudiannya menjadi hebat kerana asuhan guru. Isu ini aku bawa kerana berbetulan bila fajar 16 Mei muncul, masyarakat seluruh tanah air akan menyambut Hari Guru. Sebelum indera lihatku memberat, aku bertanya pada aku. Adakah aku guru, murabbi atau mursyid. Aku lena tanpa ketemu jawapannya.
Selamat sejahtera untuk guru-guru yang menjadikan aku insan berakal dan berilmu. Untuk semua guru di tanah air, selamat menjadi guru yang sebenarnya guru.
Sekian, wassalam.

Tanpa dia siapalah kita, kini

Kembali ke zaman sebelum kita berada di takah ini. Siapa kita. Manusia lain tak kenal kita, bukan. Lalu kita pun menulis baca. Kita jadi intelektual. Siapa yang mengajar dan mendidik kita. Tentu mulanya daripada seorang guru. Dia mendidik kita tanpa mengira status, jantina dan juga potensi. Apa yang dia ajar itulah yang menjadi cahaya dalam hidup kita dari dulu hinggalah kita masih bernafas. Jadinya apa yang kita jadi sekarang bermula daripada seorang guru. Baik guru yang kita suka mahu pun kita benci. Jadinya kerjaya guru cukup hebat kerana kerjaya ini mampu menjana apa sahaja kerjaya manusia. Guru bukan lilin tapi cahaya yang cukup hebat. Jika guru diumpamakan cahaya makanya tanpa cahaya, matahari akan mendung tanpa cahaya, malam akan gelap tanpa cahaya bulan dan keindahan langit tidak mampu dikagumi manusia tanpa cahaya. Itulah guru sama ada guru formal/bersijil atau pun guru informal. Mereka adalah cahaya yang telah menyuluh jalan jehidupan kita. Usah pelekehkan kerjaya ini kerana mahu jadi apa sahaja sebenarnya dimulai oleh seorang guru. Bacalah sajak SN Usman Awang "Guru Oh Guru" dengan mata hati bukan mata benda.Terima kasih guru.
Selamat Hari Guru Buat Mereka yang bergelar GURU.
Wasssalam

Jumaat, 7 Mei 2010

Kesakitan Yang Manis

Pengalaman yang indah ketika menulis nota Penulisan Kreatif. Pengalaman menghasilkannya manis. Manis kerana aku meneliti buku-buku yang sebelum ini lebih banyak diam dirak. Kedua aku mendapat kepuasan setelah mampu menghasilkan nota walau pun tak seberapa. Tapi pokoknya aku mendapat kepuasan. Ketiga puas apabila nota tersebut mampu dihuraikan dalam KPKI walau pun tidak begitu menyeluruh. Maksudnya tidak sempat untuk memberikan cara-cara untuk menghasilkan penulisan. Pengalaman ini sakit tapi cukup manis.
Wallahua'lam

Khamis, 6 Mei 2010

Biduk Yang Pulang

Isu kali ini perlu dihadap dengan imiginasi. Isu kali ini perlu ditatap dengan iringan simbolik. Lebih kurang macam kita tatap buah tangan penyair besar kita Hamzah Fansuri Syair Perahu. Kadang-kadang biduk aku ingin keseberang. Biduk aku mesti melintasi kiambang yang memenuhi laluan. Binaan biduk aku begini. Tubuhnya daripada egois. Kemudianya amarah dan layarnya api. Aku pun melayarkan biduk aku. Jadi kiambang pasti terputus kerana laluan biduk aku. Kiambang yang cantik rosak, terkoyak dan kadang-kadang terlerai. Aku sampai ke seberang. Tapi bila tersedar aku sebenarnya tersesat dan tersasar daripada sasaran. Aku bersama biduk terpaksa pulang. Aku jadi malu untuk melalui laluan yang sama. Sebabnya aku terpaksa memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang memiliki tempat itu. Bersama biduk egois, amarah dan api aku pulang kembali ke tempat asal aku. Sebelum belayar semula aku terpaksa berfikir sesuai atau tidak biduk aku itu diguna kembali. Aku terpaksa memikirkan lagi, lagi dan lagi. Agar biduk aku bakal pulang ke air nanti tidak lagi memusnahkan kiambang yang berada di biru air. Biduk dan aku perlu mencermin di air agar biduk dan aku selamat di segara alam.
Wassalam.

Isnin, 3 Mei 2010

Kita, Mereka dan Sejemput Rezeki

Kali ini aku ingin membawa pembaca berfikir tentang rezeki, emosi dan kekecewaan. Hidup yang kita harungi ini penuh dengan halangan. Halangan kerana manusia, alam dan juga Allah SWT. Kadang-kadang hidup kita terlalu sukar untuk memperolehi sesuatu yang dihajati. Ada sahaja halangannya. Hingga apa yang kita hajati itu telah terlepas daripada genggaman. Allah SWT telah menentukan itu bukan hak kita. Emosi kita terganggu tapi jika kita redha detik yang terdekat kita boleh menerimanya. Di sini kita adalah insan yang terpilih untuk satu ujian oleh Allah SWT. Lalu iman kita semakin bertambah. Buktinya kita semakin kuat bekerja dan semakin kuat bersembahyang sunat dan fardu. Yang menjadi masalahnya ialah bila manusia mula menyekat kita untuk pergi lebih jauh. Jadi segala usaha kita tidak dipandang oleh manusia lain. Jadi dengan kuasa yang ada manusia itu lebih mementingkan nepotisme, dikriminasi dan bias. Ingat kisah seperti ini telah berlaku di zaman Muawiyah bin Abu Sufiian lagi. Usahalah bersedih kerana manusia itu tidak sempurna. Redhalah kerana Allah SWT akan memberi rezeki kepada kita melalui jalan lain. Manusia yang cuba menyekat rezeki kita tidak mampu melakukan apa, sebenarnya. Itulah kita. Siapalah kita sebenarnya untuk menyekat hak orang lain. Renung-renunglah untuk kebaikan bersama.
Wassalam.