Kali ini kita berbicara tentang protes dalam sastera. Protes kalau mahu ditakrifkan ialah sangahan atau tidak bersetuju dengan sesuatu isu , kejadian dan sebagainya. Kamus Dewan Edisi Ketiga mencatatkan penyataan tidak setuju dengan sesuatu dasar (usul dan lain-lain), sanggahan, sangkalan, tentangan (hlm; 1059). Protes juga hidup di dalam karya sastera tetapi sanggahan ini disampaikan oleh penulis secara alegori atau perlambangan. Dalam karya-karya sastera hal ini dapat ditemui dengan cukup jelas. Apa yang menarik kadang kala penulis menghadirkannya dengan cukup indah. Dalam karya sastera tradisional seperti Sejarah Melayu unsur protes ini cukup banyak ditemui. Salah satu daripada contohnya ialah puisi di bawah;
Carik baju raja,
Dilompati todak,
Bukan disengaja,
Sebab akal budak.
Di sini secara alegorinya, Tun Seri Lanang menyanggah ketidakcerdikan seorang raja di Singapura yang gagal menyelesaikan masalah Todak Melanggar Singapura. Sebagai pemimpin sepatutnya masalah ini dapat diselesaikan dengan mudah. Tetapi raja ketika itu hanya memerintahkan rakyatnya berkubukan betis. Masalah ini makin menjadi parah kerana lebih banyak rakyat yang mati. Dengan kebijaksanaan seorang budak yang meminta berkubukan batang pisang masalah ini dapat diselesaikan dengan mudah. Unsur perlambangan juga di hasilkan oleh Tun Seri Lanang ke atas Sultan Mahmud Syah yang kaki perempuan. Perlambangan ini ditunjukkan oleh penulis dengan kegilaan baginda untuk berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang. Puteri itu sebenarnya belum pasti wujud tetapi Sultan mahmud sudah ghairah/berahi untuk memilikinya. Hingga wujud kritikan melalui catatan ini,
--------------------------
-------------------------------
Adakah gila padamu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.
Adakah kita perlu menyediakan semua bahan untuk memasak, sedangkan burung sebagai bahan utamanya masih lagi bebas terbang. Begitulah kecerdikan intelektual bahasa dan sastera, sehingga menyampaikan sindiran,kritikan dan sanggahan terhadap sesuatu yang tidak disukai dengan penuh adap. Bukan sahaja karya-karya lama, isu ini juga hadir dalam genre sastera Melayu moden. SN Usman Awang menulis drama Tamu Bukit Kenny dengan penuh sindiran. Kala Dewata dengan dramanya Atap Genting Atap Rumbia. Shahnon dengan novel Ummi dan Abang Sheikul dan penulis-penulis besar yang lain. Jadi janganlah membuat persepsi bahawa dunia sastera ialah dunia khayalan. Siapa yang berkhayal kita atau penulis. Tepuk dada tanyalah diri. Benar atau tidak. Renungi diri tanya matahati.
Wallahua'lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan