Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Sabtu, 22 Mei 2010

Interteks dan Intertekstualiti: Satu Catatan Awal

Isu kali ini lebih bersifat intelek. Hal ini dibawa kerana terdapat kekeliruan fahaman antara dua istilah ini. Istilah ini sering wujud apabila kita mempelajari sastera. Bukan untuk dihuraikan secara mendalam tetapi cukuplah sekadar kita sama-sama belajar dan cuba memahaminya.Sebenarnya dua istilah ini amat berbeza biar pun kehadirannya mungkin berlaku serentak dalam sesebuah kajian sastera. Interteks bermaksud suatu korpus teks yang meliputi nukilan teks atau segmen teks sosiolek dan jaringan teks budaya, yang terdiri daripada leksikon, mungkin juga sintaksis, yang sama dengan teks yang masih kita baca (Umar Junus:1996,127) Interteks secara ringkasnya ialah kehadiran perkataan, frasa atau bahagian dalam karya-karya yang mengelilingi atau mendahului karya yang sedang dicipta. Manakala dalam sesebuah teks terdapat beberapa buah teks merupakan pengertian kepada intertekstualiti. Konsep ini boleh diertikan bahawa ketiadaan kebebasan sesebuah karya daripada karya yang terdahulu. Hal ini berlaku kerana seorang penulis telah membawa karya-karya lain sebelum ia menghasilkan karya sendiri (Rahman Shaari:1987,42-43). Menurut Julia Kristeva (penulis Perancis), 'semua teks terhasil kerana cantuman petikan dan teks-teks itu adalah serapan dan tranformasi teks-teks lain'. Ringkasnya menurut Teori Intertekstualiti tidak ada sebuah teks pun yang sungguh-sungguh mandiri, dalam erti bahawa penciptaan dan pembacaannya tidak dapat dilakukan tanpa teks-teks lain. Tokoh awal yang memperkenalkan teori ini ialah Mikhail Bakhtin pada tahun 1926. Kemudian teori ini terus dikembangkan oleh beberapa orang tokoh seperti Julia Kristeva, Roland Bathes, Jonathan Culler, Michael Riffaterre dan juga tokoh pengkaji sastera dirantau sebelah sini seperti A. Teeuw, Umar Junus dan Mana Sikana. Jadi diharapkan para pembaca akan cuba memahami apa itu interteks dan intertekstualiti agar dapat kita sama-sama menambah ilmu kajian sastera yang berlegar bebas di sekeliling kita.
Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan