Malam minggu semakin berinsut ke fajar. Indera lihatku masih enggan bertaut. Masih bugar seperti aku telah tidur untuk 24 jam sebelumnya. Zuriatku yang berlima jumlahnya telah lama dikunyah mimpi-mimpi indah. Jadi malam menjadi terlalu sepi. Dalam udara sedikit meruapkan panas yang meleket tubuhku, aku telah usai membaca novel Faisal Tehrani yang baru dibeli sewaktu menjalankan KPKI di Segamat baru-baru ini (6/5/2010). Novel ini dijudul oleh penulisnya sebagai BAHLUT. Aku tidak mahu menitipkan sinopsisnya di sini. Apa yang mahu aku nukilkan untuk tatapan ialah kisah guru-guru di perkampungan orang asli yang begitu kental dengan semangat untuk melakukan islah kepada golongan ini. Hingga sanggup kehilangan nyawa dan insan-insan yang tersayang. Jadi mahu menjadi guru yang baik perlulah mencuri sedikit detik yang ada untuk membaca novel ini. Novel ini hampir sama jiwanya dengan novel Lasykar Pelangi karya Andrea Hirata. Dua novel menghidangkan semangat dan jiwa guru yang cukup hebat. Oleh itu untuk bakal guru bacalah dua novel ini. Daripada pelajar yang miskin dan seadanya, watak-watak ini kemudiannya menjadi hebat kerana asuhan guru. Isu ini aku bawa kerana berbetulan bila fajar 16 Mei muncul, masyarakat seluruh tanah air akan menyambut Hari Guru. Sebelum indera lihatku memberat, aku bertanya pada aku. Adakah aku guru, murabbi atau mursyid. Aku lena tanpa ketemu jawapannya.
Selamat sejahtera untuk guru-guru yang menjadikan aku insan berakal dan berilmu. Untuk semua guru di tanah air, selamat menjadi guru yang sebenarnya guru.
Sekian, wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan