Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Sabtu, 29 Oktober 2011

Sebenarnya, bangsaku masih kecil

Lebih kurang seminggu dulu aku mengadakan sedikit bewah. Setelah usai orang rumah menyuruh aku bersama anak keempat menghantar lauk pauk ke rumah teman-temannya.Tidaklah banyak cuma 4 atau 5 buah rumah sahaja. Tiba rumah ke 5 hati aku sayu melihat rumah temannya ini. Rumah ke atau apa. Lamannya penuh rumput-rumput liar. Jalan masuknya cuma lorong larian air hujan. Dinding rumahnya seperti tampalan kain. Pusam dan menunggu tarikat graviti. Semasa laluan aku mengira tidak lebih 10 buah rumah berada di sepanjang lorongan air itu. Semua rumah lebih kurang sama dengan rumah teman anakku. Lantas aku bertanggapan mereka ini golongan-golongan terpinggir. Ada atau tidak ada mereka tiada berkepentingan kepada orang besar. Biar pun orang besar itu sebangsa dan seagama dengan mereka. Jadinya bangsa aku masih kecil sama ada dikecilkan oleh keadaan atau pun mungkin dikecilkan mereka yang berkepentingan.


Sebelum berangkat pulang, aku terkenang kepada kata-kata Bung Hamka bahawa kejatuhan bangsamu adalah kerana bangsamu sendiri. Kata SN Usman Awang bangsa Melayu masih "berjiwa hamba"


Walallahua'lam.

Jumaat, 28 Oktober 2011

Penghibur Yang Pergi

Kisah tauladan ini ingat-ingat lupa oleh aku. Kisah Abu Darda dengan isterinya ( atau mungkin protaganis lain- maaf jika lupa). Kisah bermula begini," satu hari Abu Darda bermusafir , tinggallah isteri dan anak-anaknya. Semasa bermusafir itu, seorang anak Abu Darda telah meninggal dunia. Setelah pulang isterinya tidak menceritakan hal tersebut. Isterinya terus melayan Abu Darda seperti biasa seperti makan minum hinggalah 'bersama'. Setelah selesai semuanya, isteri Abu Darda pun bertanya kepada Abu Darda, "semua milik kita adalah pinjaman semata". Jawab Abu Darda menjawab "ya". Setelah itu barulah isterinya menceritakan bahawa anak mereka telah meninggal dunia.Abu Darda pun marah dan sedih kerana perkara sebegini pun isterinya sembunyikan. Abu Darda pergi bertemu Rasulullah SAW, jawab Rasulullah, "betapa hebatnya kesabaran isterimu, Ya Abu Darda". Kisah ini boleh ditemui dalam tulisan-tulisan kesabaran seorang isteri di zaman Rasulullah SAW.


Tapi yang mahu bicarakan sebenarnya kisah yang aku alami. Kisahnya penghibur aku yang pergi. Begitulah alam telah memberi dan mengambil kembali bila detik itu tiba. Mereka ini sering menjadi penghibur waktu hati gundah, walang, pilu, sedih, rindu dan juga stress. Mungkin inilah kesementaraan yang berlaku kepada kita. Aku memiliki penghibur ini kurang lebih 8 atau 9 bulan. Alam menjadikan mereka indah dan lembut. Namun detik meminta mereka pergi, mereka pun pergi. Aku termanggu. Kesabaran aku diuji. Kepelbagaiaan peribadi membawa keindahan pada pura aku. Apa pun penghibur itu telah jauh berpergian. Keredhaan aku dituntut.Sebagai insan yang juga bersifat sementara ini semua perlu ditelan dengan kebenaran. Kebenaran bahawa maut pasti singgah untuk makhluk yang kena cipta. Selamat bertamu didunia lain penghiburku.


Terima kasih kerana menjadi penghiburku biar pun hanya sementara cuma.


Wassalam.



Selasa, 25 Oktober 2011

Di Kurung Waktu

Waktu libur. Waktu umpama tirai besi. Mengurung minda. Kusut dan mendingin. Serabut dan tak keruan. Hilang dalam detik waktu untuk mencatat sesuatu. Jadinya aku seperti kehilangan minat untuk mencatat sesuatu. Ini yang paling aku takut. Biar sedikit stress ada rakan untuk memotivasikan aku untuk menulis. Sebenarnya hari libur adalah hari aku di kurung oleh waktu. Ilham akan menjauh. Minda tidak ingin berkerja. Lalu aku seperti kodok yang hanya ingin berada dibawah tempurung yang gelap, cuma diterangi oleh satu anggapan bahawa inilah dunia aku. Makanya burung malam pada detik ini seperti formula di bawah;


Waktu O + Ilham O + Minda O = Aku O


Burung Malam sedang menanti ilham turun daripada langit.


Wallahua'lam.

Selasa, 18 Oktober 2011

Yang Ada padaku


indera lihat
indera dengar
indera rasa
lalu
aku lihat besarnya ciptaan-Mu
aku dengar firman-Mu
aku miliki indah alam-Mu
dengan rasa yang entah di mana mursalnya
jadi
yang ada padaku
bukan milikku
yang ada padaku
sebenarnya tiada

Abd.Rahim bin Ismail
Kamar Budaya,
IPG, Kampus Raja Melewar
Seremban.
19/10/2011

Khamis, 13 Oktober 2011

Menukangi Benda Nihilisme

Kata pujangga, "memulakan sesuatu itulah yang susah". Hal ini jugalah yang diketengahkan oleh SN Anwar Ridhwan dalam salah satu cerpennya yang terdapat dalam Antologi Jejak Langkah (untuk teks Kesusasteraan Melayu) ketika aku di Tingkatan 4. Watak utamanya Sabil salah seorang peneroka (kebun getah) yang terpaksa memulakan hidup baru setelah menjadi peneroka. Ketika melawan cabaran (babi hutan, hujan dan orang tengah), Sabil teringat kata ayahnya "memulakan sesuatu itulah yang susah". Setelah bersusah payah Sabil akhirnya berjaya mengubah kehidupannya biar pun masih menghadapi cabaran dan dugaan dalam hidup.


Kini, aku menghadapi masalah yang sama kerana hendak melagang kertas kerja untuk Bengkel Penulisan Puisi. Memang ada teks tentang penulisan kreatif, puisi dan sebagainya tetapi bagaimana mahu memulakan. Ini berlaku kerana beberapa sebab:-


a. Bagaimana mahu memulakan ?

b. Sumber yang ada cuma lisan daripada teman-teman, sumber bertulis berkecaian.

c. Sebenar-benarnya penulisan itu tidak boleh dimodulkan, ia lahir daripada bakat dan

kesungguhan.

d. Aku bukan penulisan besar.


Rumusnya, sumber berada di tahap nihilisme dan fasilitornya juga nihilisme. Jawabnya bagaimana mahu menukangi ilmu yang hebat ini. Aku sendiri kehilangan diri waktu ini.

Setakat ini aku sedang memburu diri dan perkataan pertama untuk tugasan ini.


Teman-teman sekalian, sebenarnya aku sedang berkelana saat ini untuk mencari ilmu itu.



Wassalam.

Rabu, 12 Oktober 2011

Tiga Catatan Perjalanan

Perjalanan 1.


Fajar bangun bersama bangunnya aku. Dingin dan hening. Bunyi burung tukang menghias deria dengar, sayup dan menyedihkan seperti dia kehilangan kekasih. Bulan dikaki langit barat telah mula pucat tapi kejora masih berseri didada langit timur. Usai semua aku mengembara bersama mereka. Terima kasih alam kerana memulakan hariku dengan keindahan yang cukup mengasyikkan. Aku penikmat alam itu.


Perjalanan 2.


Langit timur bersinar cerah. Secerah hidupku. Kerana aku mendapat kasih sayang daripada orang dilingkungan. Biar jauh aku mengembara saban hari tapi hatiku tidak lara, tidak walang. Aku nyenyak tidur tanpa gundah, tanpa gulana. Aku bukan insan hebat kerana sanggup melawan arus. Kata mereka, "jauh sungguh aku berjalan". Bukan itu, apa yang penting hati aku secerah hari-hari yang ku rentasi. Terima kasih Tuhan kerana memberikan kekayaan pada hatiku dengan ketenangan dalam perjalanan ini.


Perjalanan 3.


Langit barat berubah jingga. Lembayung senja telah mula menampakkan diri. Mentari sudah lama condong kearah kiblat. Aku memulakan perjalanan dengan dada langit barat mula dihiasi dengan beburung yang mula pulang ke kediaman. Lambat-lambat terbangnya. Mungkin kekenyangan. Mungkin juga lupa jalan pulang. Sedang aku mengejar setiap detik masa untuk kembali kepangkuan keluarga yang diikasihi. Tiba , azan maghrib berkumandang. Dada langit barat dihiasi benang jingga yang membelah tirus ke kaki langit. Keindahan yang berbalam-balam kelihatan. Alam mengajak insan beristerahat. Indah alam tanpa sesen bayaran. Terima kasih Tuhan kerana meminjamkan indah alammu untukku membijaksanakan diri.


Lalu akupun menjadi insan yang didewasakan oleh alam.


Wassalam.

Isnin, 10 Oktober 2011

Berkelana Dalam Kenangan

Sendirian di Kamar Budaya
aku kehilangan suara
bisu dalam detik berlalu
hanyut bersama titik hujan
berkelana dalam kenangan

waktu-waktu begini
pecah suara anak kecil mencari keli
berebut rezeki bersama kedidi
sebelum pulang disenja hari
waktu-waktu begini, hari hujan lagi
merdu suara ibu mengaji
sambil menanti lembutnya rebusan ubi
untuk disantap bersama nanti
sedang ayah belum pulang-pulang lagi

waktu-waktu begini, hujan masih belum berhenti lagi
aku masih bisu di sini
masih berkelana lagi
sedang mereka telah lama pergi

waktu-waktu begini
hujan masih enggan berhenti
dan aku rupa-rupanya
di sini tinggal sendiri.

Kamar Budaya,
JPM,IPG Kampus Raja Melewar,
Seremban.
11/10/2011



Khamis, 6 Oktober 2011

Keberangkatan

Detik berangkat
tak ditakdir kau menjengah kembangan kenanga
yang mekar kelopaknya
tentu pasti kau akan rindu disetiap jejakmu
tiba waktu berangkat
dah ditulis dalam Loh Mahfuz
kau tak sempat mengulit si kecil yang sedang nyedar tidurnya
pastinya kau akan mengenang senyummanis miliknya
pada setiap menungmu dimana-mana
waktu keberangkatan tiba
kau tak sempat mendengar desir air dikolam kecil
sedang yang meladeninya tangan mungilmu

Jadinya,
pada sebuah keberangkatan itu
adalah sebuah kerinduan dan sebuah kenangan.

Abd. Rahim Ismail
Kamar Budaya, IPG. Kampus Raja Melewar,
Seremban
6/10/2011


Isnin, 3 Oktober 2011

Merenung Masalah Bersama Indera Keenam

Hdup adalah perjuangan menyelesaikan problematik (istilah Indonesia). Natijah daripada kesukaran untuk menyelesaikan masalah membawa insan sering menuduh tidak ada keadilan dalam kehidupan. Hidupnya tidak manis seperti kehidupan insan lain. Kalau hidupnya miskin insan yang miskin itu amat bencikan orang kaya. Kalau seseorang itu lulus dengan ijazah PHD, insan lain akan mengatakan dia sombong. Perkara-perkara diatas sekadar contoh. Mari kita mengubah perspektif kita untuk memandang sesuatu itu bukan problematik tapi anugerah. Kita miskin sebenarnya satu anugerah daripada langit. Anugerah ini secara simboliknya meminta kita berkerja lebih keras untuk keluar daripada kemiskinan itu. Bayangkan jika tanpa anugerah tersebut kita mungkin berada di tahap yang sama sampai bila-bila.


Begitu juga jika kita dihadapkan dengan keadaan kurang sihat atau masalah-masalah lain. Renunglah masalah ini dengan deria keenam. Mungkin dengan adanya keadaan kurang sihat kita lebih dekat dengan Penguasa Langit dan Bumi. Kita lebih menjaga kesihatan kita. Mungkin juga kita mengetahui siapakah rakan, teman dan sahabat. Pun begitu kita dapat melihat kasih sayang yang entah daripada mana tibanya. Positiflah kerana apabila kita melihat dengan indera keenam kita lebih positif, tenang dan lebih berterima kasih dengan sebuah kehidupan. Apa yang penting kita perlu bersabar, bertawakal dan sedar bahawa detik ini, hari ini dan esoknya bukan milik kita. Layarilah kehidupan ini dengan menggunakan indera keenam agar kita rasai keindahan alam ini.


Belajarlah pada hari ini agar kita mampu menuai madunya esok.



Wassalam.