Fajar bangun bersama bangunnya aku. Dingin dan hening. Bunyi burung tukang menghias deria dengar, sayup dan menyedihkan seperti dia kehilangan kekasih. Bulan dikaki langit barat telah mula pucat tapi kejora masih berseri didada langit timur. Usai semua aku mengembara bersama mereka. Terima kasih alam kerana memulakan hariku dengan keindahan yang cukup mengasyikkan. Aku penikmat alam itu.
Perjalanan 2.
Langit timur bersinar cerah. Secerah hidupku. Kerana aku mendapat kasih sayang daripada orang dilingkungan. Biar jauh aku mengembara saban hari tapi hatiku tidak lara, tidak walang. Aku nyenyak tidur tanpa gundah, tanpa gulana. Aku bukan insan hebat kerana sanggup melawan arus. Kata mereka, "jauh sungguh aku berjalan". Bukan itu, apa yang penting hati aku secerah hari-hari yang ku rentasi. Terima kasih Tuhan kerana memberikan kekayaan pada hatiku dengan ketenangan dalam perjalanan ini.
Perjalanan 3.
Langit barat berubah jingga. Lembayung senja telah mula menampakkan diri. Mentari sudah lama condong kearah kiblat. Aku memulakan perjalanan dengan dada langit barat mula dihiasi dengan beburung yang mula pulang ke kediaman. Lambat-lambat terbangnya. Mungkin kekenyangan. Mungkin juga lupa jalan pulang. Sedang aku mengejar setiap detik masa untuk kembali kepangkuan keluarga yang diikasihi. Tiba , azan maghrib berkumandang. Dada langit barat dihiasi benang jingga yang membelah tirus ke kaki langit. Keindahan yang berbalam-balam kelihatan. Alam mengajak insan beristerahat. Indah alam tanpa sesen bayaran. Terima kasih Tuhan kerana meminjamkan indah alammu untukku membijaksanakan diri.
Lalu akupun menjadi insan yang didewasakan oleh alam.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan