Kata pujangga, "memulakan sesuatu itulah yang susah". Hal ini jugalah yang diketengahkan oleh SN Anwar Ridhwan dalam salah satu cerpennya yang terdapat dalam Antologi Jejak Langkah (untuk teks Kesusasteraan Melayu) ketika aku di Tingkatan 4. Watak utamanya Sabil salah seorang peneroka (kebun getah) yang terpaksa memulakan hidup baru setelah menjadi peneroka. Ketika melawan cabaran (babi hutan, hujan dan orang tengah), Sabil teringat kata ayahnya "memulakan sesuatu itulah yang susah". Setelah bersusah payah Sabil akhirnya berjaya mengubah kehidupannya biar pun masih menghadapi cabaran dan dugaan dalam hidup.
Kini, aku menghadapi masalah yang sama kerana hendak melagang kertas kerja untuk Bengkel Penulisan Puisi. Memang ada teks tentang penulisan kreatif, puisi dan sebagainya tetapi bagaimana mahu memulakan. Ini berlaku kerana beberapa sebab:-
a. Bagaimana mahu memulakan ?
b. Sumber yang ada cuma lisan daripada teman-teman, sumber bertulis berkecaian.
c. Sebenar-benarnya penulisan itu tidak boleh dimodulkan, ia lahir daripada bakat dan
kesungguhan.
d. Aku bukan penulisan besar.
Rumusnya, sumber berada di tahap nihilisme dan fasilitornya juga nihilisme. Jawabnya bagaimana mahu menukangi ilmu yang hebat ini. Aku sendiri kehilangan diri waktu ini.
Setakat ini aku sedang memburu diri dan perkataan pertama untuk tugasan ini.
Teman-teman sekalian, sebenarnya aku sedang berkelana saat ini untuk mencari ilmu itu.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan