Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Khamis, 25 Ogos 2011

Alegori dan Lebaran Yang Kendur

Senja Ramadhan akan pulang dan yang pasti malam Syawal bakal menjelma. Satu alegori yang menarik kerana kita adalah pemenang dalam menahan lapar, haus dan elemen-elemen yang membatalkan puasa. Alegori lain kita bakal menyambut kedatangan fajar Shawal dan mempraktikkan kunjung-kunjungan. Itulah lebaran. Lebaran kali ini agak kendur. Kendur kerana bersebab;

1.usia yang mula meminta aku menginjak tua - usia makin berdikit.

2.ahli keluarga yang telah dipanggil pulang-ayah yang telah pulang

3.secara spiritual kita sekadar memenuhi tuntutan lebaran itu sendiri.

4.kita dan kegembiraan hanya bersandarkan kepada umur dan zaman.


Namun yang paling menyesakkan ialah perkara (2) yang menghilangkan kegembiraan sambutan lebaran. Apa pun lebaran tetap mampir sama ada dipinta atau tidak. Apapun mereka yang berpergian tetapkan pergi. Yang ada pasti kita dilingkarinya walau pun kita kehilangan atau tidak. Kita adalah penyongsong masa yang setia, sedang lebaran akan terus melingkari sehingga kita tidak lagi memiliki bulan, matahari dan nafas sendiri.


Pada teman-teman

yang akrab

yang mengenali

yang cuma senyum sambil berlalu

aku pasti

ada hati-hati yang calar

ada hati-hati yang luka

ada hati-hati yang berdarah

waktu bersama

waktu berkecindan

waktu sendirian

ada rasa yang menyakitkan

ada rasa yang menjengkelkan

ada rasa yang menjauhkan


aku dengan rendah hati

memohon dimaafi

pada lebaran ini

agar aku bisa kembali mewangi dihati

milik teman-teman yang manusiawi.


MAAF ZAHIR DAN BATIN


Daripada;


Aku dan keluarga.


Wassalam.



Lebaran Yang Kendur

Selasa, 23 Ogos 2011

Pintu Lailatur Qadar: Perlukah Aku Ketuk


Ramadhan di penghujung dan bakal meninggalkan kita 6 hari lagi. Jadi bertanyakah kita, apakah ada Ramadhan pada kita tahun mendatang. Itu persoalan yang besar. Sudahkah kita penuhi tuntutan pada Ramadhan. Cukupkah sembahyang fardhu kita hingga kini. Usah bertanya tentang Tarawih kerana ia tuntutan sunat. Malam-malam Ramadhan kita penuhi dengan beramal atau lebihkan tidur. Lebih makan daripada berlapar. Sedang hidangan berbuka kita memenuhi meja hingga tiada ruang lagi untuk sebutir cawan. Usah kita beretorik bahawa berbuka dengan tiga biji kurma. Itu bagi aku zaman ini sukar untuk mengakuinya. Itu satu fatamorgana/ilusi. Kerana bulan ini, warung,bazar Ramadhan tumbuh tanpa perlukan hujan. Benar atau tidak aku pulangkan kepada dada masing-masing. Jadinya dengan keadaan yang amat paradoks dengan kehendak Islam perlukah kita berterusan bermimpi untuk mencari pintu Lailatul Qadar. Perlukah kita mengetuknya sedangkan kita amat jauh darinya sewaktu berada di bulan penuh barakah ini. Berbuka dengan cukup banyak juadah, sedangkan yang banyak makan akhirnya ialah tong sampah di pinggir pintu dapur, banyak tidur daripada beramal dan selalu sahaja lupa menunaikan yang fardu. Jadinya, apakah kita tidak malu untuk mengetuk pintu Lailatul Qadar milik-NYA. Malahan kita sedar bahawa siapa kita yang sebenarnya.

Entahlah dimana kita untuk meminta biar pun Allah SWT tetap pemurah kepada makhluknya.


Aku sedang membaca diari diri yang semakin kabur.


Wassalam.

Ahad, 21 Ogos 2011

Oksidentalisme: Apa Obligasi Kita

Oksidentalisme adalah satu pendekatan dan konsep yang dikemukakan oleh beberapa orang tokoh dengan menjadikan Barat sebagai bahan kajian orang Timur. Konsep ini berguna untuk membuka selubung ketidakjujuran Barat terhadap Islam. Konsep ini telah dikemukakan oleh beberapa orang sarjana Islam. Tokoh yang sering menentang Barat dengan ilmu ialah Edward Said (Palestin) yang menghasilkan buku Orientalisme. Karya yang monumental ini telah memberi perspektif positif terhadap Timur dan ketidakjujuran pihak Barat.


Seorang lagi sarjana Islam Profesor Hassan Hanafi (Mesir) menghasilkan buku bertajuk Oksidentalisme: Sikap Kita terhadap Tradisi Barat. Dalam buku ini beliau telah menggariskan tiga agenda besar yang perlu dikembangkan iaitu;

1. sikap kita terhadap tradisi lama.

2. sikap kita terhadap tradisi barat

3. sikap kita terhadap realiti.


Pada hemat beliau, Oksidentalisme perlu diwujudkan untuk keseimbangan ilmiah dan akademik secara dialektikal. Dialektikal bermaksud saling mengisi dan melakukan kritikal antara satu sama lain sehingga terhindar sifat hegemoni dan dominasi dunia Barat terhadap Timur. Ia juga bermakna kita tidak mengambil pendekatan negatif terhadap elemen-elemen baik dan menyumbang yang memiliki faedah berbanding (comparative advantage) yang tinggi dari Barat. Serentak itu kita perlu berupaya menyaring (Filtering abilities) sewajarnya. Ini menjadikan kita lebih intergratif dalam melakukan perimbangan dengan bijaksana.


Seorang lagi tokoh yang hebat menentang ketidakjujuran Barat ialah Profesor Dr. Taha Jabir. Beliau mengemukakan pendekatan eklektif dalam menangani persoalaan intergrasi ilmu. Umat Islam menghadapi dua dilema besar dalam mengembangkan ilmu iaitu:-

1. terus berpegang kepada aliran tradisi yang masih menggunakan metodologi lama yang beberapa hal tidak lagi seiring dengan keperluan masa kini.

2. Umat Islam berhadapan dengan kemajuan ilmu dan teknologi Barat yang sifatnya bebas nilai (value-free) dan amatb utilitarian bentuknya.


Beliau sarankan supaya intergrasi secara eklektik dengan mengambil yang baik daripada Barat dan menemukan dengan nilai-nilai tradisi yang bermanfaat, dimajukan dengan metodologi yang Islami sifatnya.


Tokoh ketiga dan lantang mengecam Barat tentang konsep sekularisasi ialah Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas. Beliau telah menulis buku Risalah untuk Kaum Muslimin yang berbicara tentang kegentingan yang mengharungi umat Islam. Beliau telah menggariskan tiga asas yang menarik:-

1. kekeliruan dan kesilapan mengenai faham ilmu

2. keruntuhan adab dalam kalangan kaum Muslimin

3. pemimpin yang tiada kelayakan memikul tanggungjawab pimpinan yang sah dan tiada memadai taraf kepimpinan yang dikehendaki Islam. Akibatnya terjadilah (i) dan (ii) di atas.


Seorang lagi tokoh yang penting dalam menentang ketidakjujuran Barat ialah Allahyarham Dr. Ismail al-Faruqi. Beliau amat mementingkan pengintegrasian ilmu dan pengilaman ilmu.

Rumusnya, Oksidentalisme perlu bergerak secara selektif yang tinggi terhadap aspek-aspek positif daripada Barat dan dalam masa yang sama perlu diolah kembali mengikut epistemologi ilmu Islam.


Jadi apakah obligasi kita untuk menyokong Oksidentalisme ini ?. Kita perlulah menguasai ilmu bantu yang lain agar kita tidak terus menerima 100% ilmu daripada Barat. Pun begitu kita juga perlu meneliti ilmu dengan kacamata Islam agar kita tidak terus menyokong Orientalisme. Obligasi kita juga sebenarnya perlu keluar daripada kongkongan Barat atau terus menjadi kuda tunggangan pihak Barat.


Renung-renunglah.


Wassalam.

Rabu, 17 Ogos 2011

Orientalisme dan bahayanya

Apa itu orientalisme ? Satu pendekatan yang memberikan dimensi kekaguman orang lain terhadap Barat dan Eropah dengan meletakkan diri mereka sebagai yang terhebat atau supreme. Supreme dalam hiraki kuasa, ilmu, teknologi dan kebudayaan. Sedangkan mereka menanggapi Timur dan Islam sebagai negatif dan mundur dalam semua hal khususnya hal-hal yang berkaitan dengan amalan Islam. Dalam bidang ilmu orientalis memberikan fokus utama dalam bidang bahasa, sastera, hal-hal tamadun dan agama.






Gerakan inji kata Dr. Mahmud Hamdi dalam bukunya Orientalisme:Kesan Pemikirannya Terhadap Tamadun Islam telah menulis,






"Gerakan orientalisme muncul pada kurun pertengahan. Ia dikaitkan dengan gerakan Kristian dan Yahudi serta sesetengah golongan di Eropah yang melakukan kajian tentang Islam dan Timur. Orientalisme bukan sekadar sesuatu tafsiran tentang Islam dan Timur akhirnya terjelma dalam bentuk penjajahan"






Rudi Poret menyatakan bahawa permulaan kajian tentang Islam dan bahasa Arab di Eropah bermula pada kurun ke-12. Pada masa yang sama al-Quran telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan satu kamus bahasa Latin-Arab telah disusun. Najib al-Aqiqi mencatatkan bahawa orientalisme telah wujud sejak 1000 tahun yang lalu,apabila hadir seorang paderi Peranchis (940-1003M) telah belajar di Seville dan Cordova, Andalusia sehingga menjadi pakar dalam bidang bahasa Arab, Ilmu Hisab dan Ilmu Falak. Dia kemudian memegang jawatan Ketua Paderi di Rom dengan gelaran Sylvester II (990-1003). Sejak dari itu beliau menjadi pendukung kepada setiap aktiviti orientalisme menentang Islam.






Terdapat dua aliran pemikiran orientalisme iaitu golongan yang melampau dan golongan yang bersifat objektif dan akademik. Golongan pertama terdiri daripada pendita-pendita yang menganggap perbincangan tentang Islam adalah buntu dan penuh khurafat serta dongeng rakyat. Manakala golongan kedua melihat Islam sebagai gedung ilmu seperti ilmu sains, perubatan, falsafah tetapi tetap mengekalkan bahawa Islam itu dongengan sahaja. Malahan tokoh seperti Roger Bacon (1214-1294) dan Raymond Lull (1235-1316) berpendapat bahawa Gerakan Kristian merupakan satu-satunya jalan yang boleh meluaskan negara Kristian. Mereka juga mencadangkan dalam perhimpunan Gereja di Vienna (1312) supaya penganut Kristian dan bangsa Eropah supaya belajar bahasa Arab. Akhirnya lima buah universiti iaitu Uni. Paris, Oxford, Polonge, Salamanque dan Kurie membuka pengajian bahasa Arab. Selepas Perang Dunia Pertama, gerakan orientalisme bergerak seiring dengan kolonialisme.


Di Asia Tenggara (Indonesia) seorang pengkaji Belanda yang juga bersifat orientalis Snouck Hurgronje (1939) sanggup pergi ke Mekah dan belajar bahasa Arab dengan menukar namanya kepada Abdul Ghaffar. Beliau telah memainkan peranan yang penting dalam dasar penjajahan Belanda di Timur. Begitu juga De Sacy (Peranchis), Lord Curzon (Inggeris). Ignaz Goldzihar seorang Yahudi telah menjadi ketua pakar dalam pengajian Islam di Eropah.


Rumusnya dapat dilihat bahawa puak orientalis cukup bahaya kerana bergerak cergas dalam bidang politik dan ilmu. M ereka membuat tafsiran baru kepada hal-hal yang bersangkutan dengan agama Islam seperti Hadith. Dari segi politik mereka bergerak seiring dengan gerakan Zionisme. Mereka memeberi imej agama Islam sebagai "Mohammedinisme" dan syariat Islam sebagai "Mohammeden Law". Seolah-olah agama Islam itu ajaran ciptaan Nabi Muhammad SAW.


Atas dasar ini orientalisme cukup bahaya kepada umat Islam dan ia perlu dihalang dengan cara intelektual. Oleh itu kini lahirlah gerakan daripada pihak Islam yang dikenali sebagai gerakan Oksidentalisme (akan dibicarakan dalam blog yang akan datang)


Awas gerakan mereka cukup bahaya, hanya dengan iman sahaja kita akan menjadi umat yang cemerlang seperti era Khulafah ar-Rasyidin hingga ke Ottomaniyah.









Isnin, 15 Ogos 2011

Dijaring Indahnya Alam

Jam 5.30 pg. Aku mulakan perjalanan ke Kamar Budaya IPG,KRM. Mungkin waktu-waktu begini teman-teman sedang bersahur atau berdengkur. Itu milik teman-teman. Aku memilih jalan begini. Kerja gila kata teman. Aku cuma senyum. Aku senang begini, tenang memandu sambil memerhati alam. Di atas pundak bulan menjaring aku dengan cahayanya. Bulat dan bersinar. Di kiri-kanan jalan aku dijaring bayangan pepohon yang menghitam. Umpama Sang Bota yang ingin menerkam dan menelan aku. Tegak dan meninggi. Semilir angin bertiup dingin. Sejuk dan mencengkam. Aku diajak membaca bahasa alam. Lalu aku sedar bahawa kata-kata suci dari langit " tidak aku (Allah) jadikan sesuatu itu sia-sia, bagi mereka (manusia) yang mahu berfikir". Melalui jaring alam dalam perjalanan ini aku belajar bahawa aku begini sudah tentu tidak sia-sia. Ada yang boleh aku tangguk dalam perjalanan selama kurang lebih 2 jam ini.


Terima kasih Allah kerana Engkau memilih aku untuk menjadi pengamat pagi yang sepi.


Wassalam.

Selasa, 9 Ogos 2011

Kemahuan Yang Didinginkan

Mungkin aku selalu lewat bertindak. Bukan kerana tidak bersedia tetapi aku terpaksa meladeni fikiran yang mencapah. Mencapah kerana memikirkan baik-buruk dan hitam-putih keputusan yang mahu diambil. Agar hati-hati yang dilingkungan tidak tersentuh. Pesan ayah (yang telah berpergian) jaga orang lain dalam setiap tindakan kerana pada satu masa kau akan memerlukan mereka biar pun sebagai lawan berbicara. Jadi kerana itu,aku mungkin agak terlambat untuk mengucapkan "Selamat Bersara kepada Kak Ros". Pun begitu aku tidak mahu memohon sedikit ruang untuk membaca puisi kepada Kak Ros pada majlis sambutannya kerana sebab di atas. Lalu setelah siap jiwa, aku turunkan puisi tersebut untuk tatapan Kak Ros.


Sepucuk Surat Kasih Kepadamu, Ros


Lalu terpaksa fakir pinjamkan tinta Amir Hamzah di Langkat, Sumatera

asbab dialah raja kasih di dunia bawah angin

kerana begitu sukar untuk fakir coretkan

pada menyatakan kasih didetik waktu yang makin mendikit ini

Terpaksa jua fakir pinjamkan helaian kertas daun Papyrus dari Raja Ali Haji di Penyengat, Riau

kerana dia pujangga yang mampu menulis banyak tentang kenang-kenangan


pabila terhimpun,


bersimpuhlah fakir mengerjakan puisi yang tak seberapa

bagi menyatakan kasih, bagi mencoret masa silam

kerana fakir bukan raja kasih pun juga bukan pujangga kenang-kenangan


dalam hati yang duka

fakir coretkan jua pada menyatakan kasih buat seorang pualam

kerna waktu berangkat hampir biat tanpa rela

masa adalah raja pada sebuah ketentuan

titahnya tak mampu di derhaka

tertanggung atas pundak jemala kita


pun fakir titipkan kata

bahawa di sini kehilangan sudah pasti

hati di sayat sayu

semua kenangan bersama

bersemadi kukuh di rongga kalbu


hati dikurung duka

apa pun gedung ilmumu adalah jalan

pada kami yang ditinggalkan

biarlah di sini kami lagangkan ilmu-ilmu itu

pada putera-puteri yang ditinggalkan

sebagai penunjuk jalan hayat mereka


isterahatlah,

kerana masa ini untukmu menyempurnakan hajat

yang pada detik lalu hanya hadir pada niat

jemputlah masa lalu yang tertinggal

bagi mengisi ruang-ruang yang luwes itu

semoga masa-masa indah itu mengiringi masa senggangmu


kami yang tinggal

tetap sedar bahawa masa telah meniup salung persaraan

tapi sebelum berangkat

kami titip buah rindu

sambil mendoa agar dilingkung walafiat

dan kenangan di sini akan sentiasa masakranum

dalam perjalanan hayat, Ros di takah yang baru.


Paktam

Kamar Budaya, JPM

29/7/2011




Selamat Bersara Kak Ros

Penuhilah kemahuan diri bersama detik masa yang menyapamu.


Wassalam.







Isnin, 8 Ogos 2011

Paradoks Kehidupan

Paradoks merupakan istilah yang banyak ditemui sewaktu mengajar dan belajar sastera. Istilah yang sukar untuk dijawab kalau disoal pelajar. Menurut Kamus Puisi (Siri Kamus Istilah MABBIM,2005, DBP, hlm 71 ) ertinya ialah sejenis gayabahasa yang digunakan bertentangan atau begitu asing dengan kenyataan sebenar meskipun maknanya betul. Dalam bahasa Indonesia ditemui kata sebegini tentang paradoks iaitu 'adalah dua kebenaran yang menyatu namun saling bertentangan' . Contoh "benci tapi rindu". Kedua-dua perkataan contoh di atas adalah benar. Benci itu memang benar wujud dalam jiwa manusia. Rindu juga benar hidup dalam jiwa manusia. Jadi jika teman anda bila diajukan soalan " adakah engkau benci pada dia "?. Teman anda menjawab begini, "aku benci pada dia tetapi aku juga rindu padanya". Secara realitinya, kedua-dua elemen di atas tidak boleh seganding kerana kehadiran kedua-duanya adalah bertentangan/berkonflik. Jawapan begini amat susah untuk ditanggapi oleh pendengar. Anda boleh membuat berbagai-bagai jawapan.


1.Teman anda memang sayangkan temannya itu.

2.Teman anda memang bencikan temannya itu.

3.Teman anda tidak tahu sama ada dia sayang akan temannya

4.Teman anda tidak tahu sama ada dia benci akan temannya.


Akibat daripada perolehan jawapan begini anda akan menjadi pusing kepala dan tidak tahu kedudukan jiwa teman anda ya atau tidak. Jadinya jika soalan ini ditujukan kepada kita bagaimana sukarnya kita untuk memahamkan pelajar dengan istilah ini.


Begitulah paradoks dalam sastera. Tapi dalam kehidupan kita juga sering berlaku. Akibatnya kita sukar untuk menyelesaikannya. Kita berkonflik dalam diri sama ada ya atau tidak. Misalnya kita mempunyai pilihan kerjaya yang lebih baik, tapi bila orang bertanya kenapa tidak memilih kerjaya tersebut dan kenapa jadi guru. Jawapan yang hendak diberikan amat sukar. Hasilnya kita cuma tersenyum dan diam. Mungkin jawapan yang boleh mematikan hujah orang tersebut ialah ini rezeki dah ditentukan Allah. Sedangkan sebenarnya jawapan lain ada dalam benak kita. Itulah paradoks dalam kehidupan kita.


Wassalam.

Ahad, 7 Ogos 2011

Ramadan Menyapa Membawa Tanda

Ramadan menyapa lagi membawa seribu tanda. Tanda yang kepelbagaian bagi mereka yang mahu berfikir. Pada aku tanda terlalu banyak dan merimbun. Tanda satu, ramadan adalah bulan kerinduan kepada mereka yang dahulu berpergian. Rindu berbuka bersama waktu dulu. Biar pun cuma sejemput makanan dan sebiji tamar. Tapi aku mula kenal rezeki yang sukar diperoleh tapi cukup berkat.Berebut kemudian kesurau tarawih. Tanda kedua, ramadan bulan aku rindu kepada pelita buluh, susunan tempurung kelapa yang disusunkan disebatang kayu (dilubangkan ditengahnya) untuk dibakar pada malam lebaran. Tanda ketiga, ramadan mengajar aku untuk bersyukur kerana baju raya yang dipakai dihari lebaran itulah yang bakal aku pakai waktu sekolah nanti (beli baju sekolah untuk hari raya). Tanda keempat, aku pasti berbasikal ke rumah Tok Guru mengaji al-Quran untuk membayar zakat fitrah untuk diri sendiri. Tanda kelima, aku pasti dipanggil oleh ibu untuk memukul telur untuk dibuat baulu. Letih dan kadang-kadang bersahur dengan kuih tersebut. Tanda keenam bermain meriam besi atau tanah yang cukup besar untuk menggegarkan satu kampong. Tanda ketujuh, ramadan mengembalikan nostalgia di atas semasa aku masih budak-budak. Tanda kelapan, ramadan kali ini menyedarkan aku bahawa zaman itu sudah lama berlalu -hanya tinggal kenangan. Tanda kesembilan, mereka yang berada dalam kenangan itu sudah banyak yang telah dijemput pulang. Tanda kesepuluh, ramadan kali ini menyapa dan menegur bahawa usia aku sudah makin dekat dengan rumah baqa sambil bertanya tahun hadapan sempatkah aku disapa ramadan lagi.


Terima kasih Allah kerana memberikan aku detik ramadan tahun 1432H.


Wassalam.

Isnin, 1 Ogos 2011

Cendekia Karya Sastera II

Maaf kerana detik-detik yang ada kurang mencoret. Apa pun masa mengimbas kembali tentang sebuah pengajaran daripada karya sastera rakyat. Cerita ini hadir dalam Teks Warisan Prosa Klasik Tingkatan 4 (2000-2006). Tajuknya "Cerita Anjing Kurus". Kisahnya bermula dengan seekor anjing yang terlalu kurus. Dia bosan kerana dibenci oleh anjing-anjing lain. Anjing Kurus kecewa lalu membawa diri ke dalam hutan. Akibat kecewa dia menghempas-hempaskan kepalanya dipangkal Pokok Besar. Lalu dengan takdir Allah SWT, pokok tersebut sanggup membantu Anjing Kurus. Anjing Kurus meminta pokok menukarkan dirinya menjadi Anjing Gemuk. Setelah gemuk anjing tersebut pulang ke kampung asalnya. Kerana gemuk dan cantik Anjing Gemuk tadi dibuli/digigit oleh anjing-anjing lain kerana dagingnya. Kesannya, Anjing Gemuk lari ke hutan dan meminta bantuan Pokok Besar. Anjing tadi memohon untuk menjadi Lembu. Setelah menjadi Lembu, dia dibeli oleh petani dan digunakan untuk membawa bebanan dan membajak. Akibat tidak tahan dengan tugasnya, Lembu tadi kembali ke Pokok Besar dan memohon untuk menjadi Kuda. Setelah menjadi Kuda, dia tetap tidak berpuas hati kerana terpaksa membawa Tuan Puteri yang cantik. Lalu Kuda pun mengadap Pokok Besar dan mohon ditukarkan menjadi Putera Raja yang tampan. Setelah menjadi Putera Raja, beliau berkahwin dengan puteri yang cantik tadi. Berselang purnama, raja (bapa mertuanya) meninggal dunia. Jadi Putera Raja tadi (asalnya Anjing Kurus) dilantik menjadi raja. Setelah memerintah, Raja dan Pemaisuri ingin belayar melihat negeri orang. Lalu diperintahkan rakyat membina kapal. Rakyat mencari pokok yang boleh dijadikan kapal. Setelah jenuh mencari pokok yang besar, akhirnya Pokok Besar yang menolong Anjing Kurus sahaja yang ada. Lalu ditebang oleh rakyat baginda tetapi pokok tersebut tidak dapat ditumbangkan. Rakyat pun berputus asa. Maka Pokok Besar tersebut memberitahu ia hanya boleh ditumbangkan oleh raja mereka. Raja pun mencemar duli dan hadir untuk menumbangkan Pokok Besar itu. Namun Pokok Besar tersebut telah menukar kembali Raja tersebut kepada Anjing Kurus. Akibat terlalu malu, Anjing Kurus menghempas-hempaskan dirinya hingga mati.


Cendekianya cerita ini ialah apa yang ada kepada kita ,kita hendaklah bersyukur dan janganlah terlalu ghairah serta tamak dengan apa yang ada disekeliling kita. Milikilah apa yang ada kepada kita kerana itulah sebenarnya keindahan anugerah Allah SWT kepada kita. Belajarlah untuk mengecapi keindahan itu.


Wassalam.