Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Selasa, 9 Ogos 2011

Kemahuan Yang Didinginkan

Mungkin aku selalu lewat bertindak. Bukan kerana tidak bersedia tetapi aku terpaksa meladeni fikiran yang mencapah. Mencapah kerana memikirkan baik-buruk dan hitam-putih keputusan yang mahu diambil. Agar hati-hati yang dilingkungan tidak tersentuh. Pesan ayah (yang telah berpergian) jaga orang lain dalam setiap tindakan kerana pada satu masa kau akan memerlukan mereka biar pun sebagai lawan berbicara. Jadi kerana itu,aku mungkin agak terlambat untuk mengucapkan "Selamat Bersara kepada Kak Ros". Pun begitu aku tidak mahu memohon sedikit ruang untuk membaca puisi kepada Kak Ros pada majlis sambutannya kerana sebab di atas. Lalu setelah siap jiwa, aku turunkan puisi tersebut untuk tatapan Kak Ros.


Sepucuk Surat Kasih Kepadamu, Ros


Lalu terpaksa fakir pinjamkan tinta Amir Hamzah di Langkat, Sumatera

asbab dialah raja kasih di dunia bawah angin

kerana begitu sukar untuk fakir coretkan

pada menyatakan kasih didetik waktu yang makin mendikit ini

Terpaksa jua fakir pinjamkan helaian kertas daun Papyrus dari Raja Ali Haji di Penyengat, Riau

kerana dia pujangga yang mampu menulis banyak tentang kenang-kenangan


pabila terhimpun,


bersimpuhlah fakir mengerjakan puisi yang tak seberapa

bagi menyatakan kasih, bagi mencoret masa silam

kerana fakir bukan raja kasih pun juga bukan pujangga kenang-kenangan


dalam hati yang duka

fakir coretkan jua pada menyatakan kasih buat seorang pualam

kerna waktu berangkat hampir biat tanpa rela

masa adalah raja pada sebuah ketentuan

titahnya tak mampu di derhaka

tertanggung atas pundak jemala kita


pun fakir titipkan kata

bahawa di sini kehilangan sudah pasti

hati di sayat sayu

semua kenangan bersama

bersemadi kukuh di rongga kalbu


hati dikurung duka

apa pun gedung ilmumu adalah jalan

pada kami yang ditinggalkan

biarlah di sini kami lagangkan ilmu-ilmu itu

pada putera-puteri yang ditinggalkan

sebagai penunjuk jalan hayat mereka


isterahatlah,

kerana masa ini untukmu menyempurnakan hajat

yang pada detik lalu hanya hadir pada niat

jemputlah masa lalu yang tertinggal

bagi mengisi ruang-ruang yang luwes itu

semoga masa-masa indah itu mengiringi masa senggangmu


kami yang tinggal

tetap sedar bahawa masa telah meniup salung persaraan

tapi sebelum berangkat

kami titip buah rindu

sambil mendoa agar dilingkung walafiat

dan kenangan di sini akan sentiasa masakranum

dalam perjalanan hayat, Ros di takah yang baru.


Paktam

Kamar Budaya, JPM

29/7/2011




Selamat Bersara Kak Ros

Penuhilah kemahuan diri bersama detik masa yang menyapamu.


Wassalam.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan