Ramadan menyapa lagi membawa seribu tanda. Tanda yang kepelbagaian bagi mereka yang mahu berfikir. Pada aku tanda terlalu banyak dan merimbun. Tanda satu, ramadan adalah bulan kerinduan kepada mereka yang dahulu berpergian. Rindu berbuka bersama waktu dulu. Biar pun cuma sejemput makanan dan sebiji tamar. Tapi aku mula kenal rezeki yang sukar diperoleh tapi cukup berkat.Berebut kemudian kesurau tarawih. Tanda kedua, ramadan bulan aku rindu kepada pelita buluh, susunan tempurung kelapa yang disusunkan disebatang kayu (dilubangkan ditengahnya) untuk dibakar pada malam lebaran. Tanda ketiga, ramadan mengajar aku untuk bersyukur kerana baju raya yang dipakai dihari lebaran itulah yang bakal aku pakai waktu sekolah nanti (beli baju sekolah untuk hari raya). Tanda keempat, aku pasti berbasikal ke rumah Tok Guru mengaji al-Quran untuk membayar zakat fitrah untuk diri sendiri. Tanda kelima, aku pasti dipanggil oleh ibu untuk memukul telur untuk dibuat baulu. Letih dan kadang-kadang bersahur dengan kuih tersebut. Tanda keenam bermain meriam besi atau tanah yang cukup besar untuk menggegarkan satu kampong. Tanda ketujuh, ramadan mengembalikan nostalgia di atas semasa aku masih budak-budak. Tanda kelapan, ramadan kali ini menyedarkan aku bahawa zaman itu sudah lama berlalu -hanya tinggal kenangan. Tanda kesembilan, mereka yang berada dalam kenangan itu sudah banyak yang telah dijemput pulang. Tanda kesepuluh, ramadan kali ini menyapa dan menegur bahawa usia aku sudah makin dekat dengan rumah baqa sambil bertanya tahun hadapan sempatkah aku disapa ramadan lagi.
Terima kasih Allah kerana memberikan aku detik ramadan tahun 1432H.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan