Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Isnin, 8 Ogos 2011

Paradoks Kehidupan

Paradoks merupakan istilah yang banyak ditemui sewaktu mengajar dan belajar sastera. Istilah yang sukar untuk dijawab kalau disoal pelajar. Menurut Kamus Puisi (Siri Kamus Istilah MABBIM,2005, DBP, hlm 71 ) ertinya ialah sejenis gayabahasa yang digunakan bertentangan atau begitu asing dengan kenyataan sebenar meskipun maknanya betul. Dalam bahasa Indonesia ditemui kata sebegini tentang paradoks iaitu 'adalah dua kebenaran yang menyatu namun saling bertentangan' . Contoh "benci tapi rindu". Kedua-dua perkataan contoh di atas adalah benar. Benci itu memang benar wujud dalam jiwa manusia. Rindu juga benar hidup dalam jiwa manusia. Jadi jika teman anda bila diajukan soalan " adakah engkau benci pada dia "?. Teman anda menjawab begini, "aku benci pada dia tetapi aku juga rindu padanya". Secara realitinya, kedua-dua elemen di atas tidak boleh seganding kerana kehadiran kedua-duanya adalah bertentangan/berkonflik. Jawapan begini amat susah untuk ditanggapi oleh pendengar. Anda boleh membuat berbagai-bagai jawapan.


1.Teman anda memang sayangkan temannya itu.

2.Teman anda memang bencikan temannya itu.

3.Teman anda tidak tahu sama ada dia sayang akan temannya

4.Teman anda tidak tahu sama ada dia benci akan temannya.


Akibat daripada perolehan jawapan begini anda akan menjadi pusing kepala dan tidak tahu kedudukan jiwa teman anda ya atau tidak. Jadinya jika soalan ini ditujukan kepada kita bagaimana sukarnya kita untuk memahamkan pelajar dengan istilah ini.


Begitulah paradoks dalam sastera. Tapi dalam kehidupan kita juga sering berlaku. Akibatnya kita sukar untuk menyelesaikannya. Kita berkonflik dalam diri sama ada ya atau tidak. Misalnya kita mempunyai pilihan kerjaya yang lebih baik, tapi bila orang bertanya kenapa tidak memilih kerjaya tersebut dan kenapa jadi guru. Jawapan yang hendak diberikan amat sukar. Hasilnya kita cuma tersenyum dan diam. Mungkin jawapan yang boleh mematikan hujah orang tersebut ialah ini rezeki dah ditentukan Allah. Sedangkan sebenarnya jawapan lain ada dalam benak kita. Itulah paradoks dalam kehidupan kita.


Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan