Ap a b i l a A b a n g Im B e r b i c a r a..........Bicaranya Indah!

Ahad, 21 Ogos 2011

Oksidentalisme: Apa Obligasi Kita

Oksidentalisme adalah satu pendekatan dan konsep yang dikemukakan oleh beberapa orang tokoh dengan menjadikan Barat sebagai bahan kajian orang Timur. Konsep ini berguna untuk membuka selubung ketidakjujuran Barat terhadap Islam. Konsep ini telah dikemukakan oleh beberapa orang sarjana Islam. Tokoh yang sering menentang Barat dengan ilmu ialah Edward Said (Palestin) yang menghasilkan buku Orientalisme. Karya yang monumental ini telah memberi perspektif positif terhadap Timur dan ketidakjujuran pihak Barat.


Seorang lagi sarjana Islam Profesor Hassan Hanafi (Mesir) menghasilkan buku bertajuk Oksidentalisme: Sikap Kita terhadap Tradisi Barat. Dalam buku ini beliau telah menggariskan tiga agenda besar yang perlu dikembangkan iaitu;

1. sikap kita terhadap tradisi lama.

2. sikap kita terhadap tradisi barat

3. sikap kita terhadap realiti.


Pada hemat beliau, Oksidentalisme perlu diwujudkan untuk keseimbangan ilmiah dan akademik secara dialektikal. Dialektikal bermaksud saling mengisi dan melakukan kritikal antara satu sama lain sehingga terhindar sifat hegemoni dan dominasi dunia Barat terhadap Timur. Ia juga bermakna kita tidak mengambil pendekatan negatif terhadap elemen-elemen baik dan menyumbang yang memiliki faedah berbanding (comparative advantage) yang tinggi dari Barat. Serentak itu kita perlu berupaya menyaring (Filtering abilities) sewajarnya. Ini menjadikan kita lebih intergratif dalam melakukan perimbangan dengan bijaksana.


Seorang lagi tokoh yang hebat menentang ketidakjujuran Barat ialah Profesor Dr. Taha Jabir. Beliau mengemukakan pendekatan eklektif dalam menangani persoalaan intergrasi ilmu. Umat Islam menghadapi dua dilema besar dalam mengembangkan ilmu iaitu:-

1. terus berpegang kepada aliran tradisi yang masih menggunakan metodologi lama yang beberapa hal tidak lagi seiring dengan keperluan masa kini.

2. Umat Islam berhadapan dengan kemajuan ilmu dan teknologi Barat yang sifatnya bebas nilai (value-free) dan amatb utilitarian bentuknya.


Beliau sarankan supaya intergrasi secara eklektik dengan mengambil yang baik daripada Barat dan menemukan dengan nilai-nilai tradisi yang bermanfaat, dimajukan dengan metodologi yang Islami sifatnya.


Tokoh ketiga dan lantang mengecam Barat tentang konsep sekularisasi ialah Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas. Beliau telah menulis buku Risalah untuk Kaum Muslimin yang berbicara tentang kegentingan yang mengharungi umat Islam. Beliau telah menggariskan tiga asas yang menarik:-

1. kekeliruan dan kesilapan mengenai faham ilmu

2. keruntuhan adab dalam kalangan kaum Muslimin

3. pemimpin yang tiada kelayakan memikul tanggungjawab pimpinan yang sah dan tiada memadai taraf kepimpinan yang dikehendaki Islam. Akibatnya terjadilah (i) dan (ii) di atas.


Seorang lagi tokoh yang penting dalam menentang ketidakjujuran Barat ialah Allahyarham Dr. Ismail al-Faruqi. Beliau amat mementingkan pengintegrasian ilmu dan pengilaman ilmu.

Rumusnya, Oksidentalisme perlu bergerak secara selektif yang tinggi terhadap aspek-aspek positif daripada Barat dan dalam masa yang sama perlu diolah kembali mengikut epistemologi ilmu Islam.


Jadi apakah obligasi kita untuk menyokong Oksidentalisme ini ?. Kita perlulah menguasai ilmu bantu yang lain agar kita tidak terus menerima 100% ilmu daripada Barat. Pun begitu kita juga perlu meneliti ilmu dengan kacamata Islam agar kita tidak terus menyokong Orientalisme. Obligasi kita juga sebenarnya perlu keluar daripada kongkongan Barat atau terus menjadi kuda tunggangan pihak Barat.


Renung-renunglah.


Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan