![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg83bwLuBhtifoUk71bQLceRihHKlhT_vQJc-tuyUVZZFFLUGHXy2sy2Wgw1tudcjV-TQtQbdN6ESPSm9KnX9gpPl09w9deSisaTiE-xgAx2-NDLj7T7kUDjVJV6xaMLA7lmDGGwbW1AxU/s320/DSCN0943.JPG)
Rajut Kasih: Sebuah Prolog
Seremban-Batu Pahat- Kuala Terengganu -Kota Bharu semuanya bandar di negara kita. Semua orang tahu bandar-bandar ini. Malah ada yang telah melihat neon-neonnya berkilauan di waktu malam. Dingin panas udaranya telah pun disedut dalam-dalam. Indah dan mengasyikkan. Di bandar-bandar inilah rombongan Hari Keluarga JPM yang sekian kalinya bermukim. Namun isu yang mahu diketengahkan bukan keindahan bandar-bandar ini tapi keindahan manusia dan kemanusiaan yang hadir sewaktu berlangsungnya hari itu. Mungkin bagi insan lain hal-hal begini tidak diendahkan, tapi bagi aku hal-hal begini menjadi renungan diri yang kuat. Hasilnya berlakulah kecaian-kecaian kenangan dalam kehidupan yang terus bergerak hingga tiba noktahnya. Kenangan-kenangan ini mampu menjadi teladan dalam kehidupan. Bagi aku kecaian-kecaian itu dapat dibahagikan kepada beberapa fragmen;
Rajut Kasih: Fragmen Teman-Teman
Aku merenung setiap ahli keluarga yang menyertai program kali ini. Ada keistimewaan, kasih sayang yang wujud cukup erat antara ahli keluarga masing-masing. Mesra, akrab dan ceria. Semua ahli keluarga mengikut apa sahaja yang diingiini oleh keluarga tersebut. Hinggakan setiap keluarga membawa pulang apa yang keluarga itu rasakan perlu. Mungkin kain baju, makanan atau pun mungkin keperluan lain. Ibu dan ayah ceria dan anak-anak gembira. Jadinya rajut kasih kita yang semakin longgar kembali bertaut. Itulah hasil yang tersembunyi daripada program ini.
Rajut Kasih: Fragmen Diri
Aku merenung diri aku sendiri. Bersemangat hingga mampu memandu kenderaan dalam tempoh masa yang cukup lama. realitinya cukup meletihkan. Lebih kurang 4 hari aku memandu bermula daripada Bahau, Seremban, Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu. Jika tidak kerana rajut kasih antara teman-teman dan keluarga mungkin aku tidak mampu untuk memandu secara maraton ini. Namun rajut kasih seperti ini ada keistimewaan kerana ia memberikan tenaga dan motivasi yang hebat kepada aku. Aku kurang letih malah cukup bersemangat untuk melibatkan diri dalam semua aktiviti yang dirancangkan oleh teman-teman. Diri semakin kepingin untuk terus melibatkan diri dalam program yang bakal mendatang.
Rajut Kasih: Fragmen Hubungan Sesama Insan
Hubungan sesama insan berlaku tanpa sedar. Aku dan teman dapat bertemu dengan mereka yang sanggup berkorban untuk memberi sedikit yang mereka ada. Lalunya aku dan teman-teman menerima pengorbanan itu. Hubungan itu berlaku mungkin antara teman-teman dengan teman-teman lama. Aku ketemu teman lama di Kelantan (teman yang menjadi JU Kesus.Melayu dulu). Hubungan masih seperti dulu, dia mempelawa ke rumahnya tapi aku menolak. Jadi kami hanya minum-minum di warung sambil berbual tentang hidup dan kehidupan kini. Hubungan aku dan beberapa orang teman juga begitu (akrab) juga masih mampu minum malam di restoran berdepan hotel kediaman. Berbicara tentang program besok dan yang mendatang. Aku dan teman-teman juga bertemu dengan mereka yang sebelum ini tidak dikenali. Lalu berlaku hubungan aku dan teman-teman dengan ipar-duai Azmi serta mereka disekelilingnya. Mesra, santun dan akrab.
Rajut Kasih: Fragmen Detik
Fragmen ini sukar untuk dikendalikan. Kenapa ? Detik yang hadir kepada kita adalah ketentuan yang telah ditentukan. Jika mengikut jadual detik yang ada di sana memang terlalu singkat. Itu ukuran kita sebagai insan yang punya nafsu dan keghairahan. Bagi golongan hawa mereka tidak berkesempatan membeli barang yang masih diingini. Lalu mereka mengeluh detik yang ada terlalu singkat. Bagi kaum adam mungkin mengeluh kerana tidak puas melihat panorama hidup yang cantik dan menarik. Mungkin tidak mengeluh tapi runtunan jiwa pasti mahu kembali semula ke sini dengan detik yang lebih panjang. Apa pun alasan yang diomongkan detik untuk kita di sana untuk program ini cuma 2 hari 1 malam sahaja. Bagi memuaskan hati perlulah dirangka detik baru ke sana. Tapi detik dan kepuasan pasti tidak mampu dipenuhi jua kerana kita adalah insani yang diciptakan dengan nafsu yang tidak tahu bila bakal berhenti meminta. Justeru itu kita hanya mampu mengisi sedikit ruang nafsu dan detik yang dikirimkan -Nya. Itu saja.
Rajut Kasih: Fragmen Keluarga
Program kali ini mampu mengikat kasih sayang yang lebih erat antara ahli keluarga. Kita mampu tidur bersama anak-anak yang sebelum ini tidur berasingan di ruang bilik masing-masing. Berhimpit namun cukup istimewa. Ruang yang sempit itu mengajar kita dan ahli keluarga bertolak ansur. Bantal dan tilam yang sempit mampu dihuni oleh empat lima orang ahli keluarga tanpa rungutan. Kalau di rumah ruang bilik masing-masing adalah hak masing-masing. Di ruang yang sempit itu kita masih lagi bermimpi yang indah-indah. Sarapan yang sedikit mampu dijamah bersama tanpa rungutan. Sebenarnya apa yang kita peroleh daripada program ini ialah baja yang menyuburkan hubungan kekeluargaan. Baja itu menjadi rajut kepada hubungan kekeluargaan yang mungkin sedikit lowong.
Rajut Kasih: Sebuah Epilog
Lalunya fragnen ini meluahkan emosi bahawa rajut kasih perlu disuburkan. Biar sukar tapi ia adalah baja yang terus membesarkan daun-daun kasih dan akar pencengkam harmoni rumahtangga. Benar atau tidak ini adalah perspektif aku. Terpulang pada tanggapan masing-masing. Akar dan baja milik kita, apa yang perlu kita lakukan ialah menyuburkan pohon-pohon kasih sayang itu. Jadinya rentetan sebegini perlu diteruskan. Usah bertanya kepada orang lain ( orang luar) untuk tujuan murni ini kerana kata pepatah " lain ladang lain belalang".
Wassalam.