Semalam teman aku, seorang penulis karya kreatif menalipon. Tujuannya aku tahu iaitu ingin meminta aku membantunya untuk mendapatkan buku Yang Jamal dan Yang Indah karya V.I Brangisky. Tapi sebelum menyatakan hajatnya,kami berbual-bual tentang dunia penulisan yang di ceburinya. Apabila aku bertanya tentang pandangannya terhadap dunia kreatif, dia seolah-olah kecewa. Memang ada KOMSAS, ada Sastera Tulin di sekolah-sekolah kita tapi semuanya hanya untuk melepaskan batuk sahaja. Sebenarnya kata teman, semua itu untuk menutup dasar lain yang lebih penting. Selain daripada itu, karya kreatif kita tidak menerima galakan yang istimewa daripada pihak tertentu. Sedangkan untuk subjek lain cukup diberikan galakan. Jadi faktor-faktor inilah yang mengecewakan aku, kata teman tersebut. Jadi kenapa kau terus menulis. Katanya, aku terus menulis kerana minat dan juga kerana penulisan ini untuk ibadah. Untuk berdakwah cara aku, katanya lagi. Kata akhirnya menyentuh hatiku lalu teringat kata seorang pensyarah aku ketika melanjutkan pengajian. Kata pensyarah itu, kalau nak kaya jangan jadi penulis kerana orang kita ibarat perpatah nyamuk seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampak. Sastera luar (barat) cukup istimewa tapi sastera sendiri tak pun dibaca. Penulisan yang dihasilkan itu niatkan sebagai media dakwah sahaja.
Setelah meluahkan isi hatinya, temanku menyatakan niatnya. Aku berjanji akan menyampaikan niatnya itu dalam sedikit masa nanti. Selepas temanku mematikan taliponnya aku kembali menghirup radix panas yang asapnya membawa aroma harum ke hidungku. Lalu aku bertanya hatiku sendiri adakah kata Hang Tuah "Tak Melayu Hilang di dunia" boleh dipegang lagi.
Walallahua'lam.