Semalam teman meminta tolong carikan artikel, kertas kerja tentang keinsanan dalam sastera. Jadi untuk menolong sahabat, aku menyelongkar kembali kertas kerja Dr. Shafie Abu Bakar (Y.B Kajang). Aku pernah terbaca tentang hal ini sewaktu menjadi pelajarnya di UKM dulu. Selongkar punya selongkar aku juga menjumpai teks novel lama yang ditulis oleh HAMKA dan Sutan Takdir Alisyahbana. Yang dicari turut ditemui. Setelah itu aku membaca novel tulisan HAMKA yang judulnya Tuan Direktur .1979. Pustaka Antara.KL. Aku menelaah novel ini yang aku beli di tapak ekspo PD, 5 tahun dulu dengan harga RM 2.50. Buku lama kata penjual novel itu. Cukup murah untuk sebuah novel jika mahu dibandingkan dengan sekotak rokok. Aku pun membacanya halaman demi halaman. Setelah isinya selesai dibaca, buah tangan HAMKA ini tidak boleh dibayar walau dengan RM 250.00 atau RM 250 juta. Apa yang boleh dipetik untuk teladan ialah "Sesungguhnyalah dunia ini tidak pernah mempunyai kecukupan. Jika orang berlari mengejar kekayaan wang, dengan tidak merasa orang telah miskin dalam perkara budi. Kalau orang berlari mencari sahabat yang akan mengangkat-angkat, dengan tidak sedar ia pun telah miskin dari sahabat yang sanggup menunjukan menyantunnya. Kalau orang berlari mencari pergaulan di dalam kalangan orang tinggi-tinggi , dengan sendirinya , orang itu pun kehilangan teman dalam kalangan orang rendah-rendah."
Setelah diteliti ilham buya, ternyata karya kreatif tidak boleh dinilai dengan ringgit/komersial. Fikir-fikirkanlah.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan