Setiap hari bekerja aku mengambil masa lebih kurang 45 minit ke IPRM. Memandu dalam keadaan santai. Kalau anda melalui lebuhraya PD-Seremban, pasti anda dapat melihat lukisan alam yang cukup indah pada waktu pagi. Di permulaan lebuhraya ini (simpang Kg Baru SiRusa-Seremban) anda pasti ketemu kehijauan yang cukup menyenangkan. Di pertengahannya pula anda akan bersua dengan kabus yang meliputi pepohonan kelapa sawit dan kawasan perumahan Springhill. Gambaran ini menyatakan alam menyejukkan insan dilingkungannya. Dihujungan lebuhraya ini (Springhill-Mambau) anda dapat bersua dengan coretan awan gemawan yang berbagai warna. Hitam cair, jingga, oren kekuningan dan kebiruan. Cukup indah kerana kecantikan ini diasesoriskan pula dengan wayar-wayar kabel bervoltan tinggi dan bukit bukau yang membiru. Tapi coretan daripada langit ini sementara, berkecaian dan hilang perlahan-lahan. Umpama pelangi sementara dan kesementaraan sahaja. Diasosiasikan dengan lukisan ini begitulah kehidupan kita. Ada yang indah dan ada yang sukar. Silih berganti dan kemudiannya berkecaian tanpa disedcari. Hilang. Esoknya kembali semula dengan kecantikan bertindih dengan kesukaran. Lenyap dan datang hingga akhir hayat. Apa yang perlu ialah kita hendaklah sedar bahawa alam mengajar kita tanpa suara. Terima kasih Alam.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan