Tajuk kali ini agak gila sedikit. Tapi perlu difikirkan secara serius, kreatif dan kritis.Pertamanya, secara kasarnya (tanpa merujuk kamus) fakir ialah golongan yang paling miskin. Mereka ini bukan lagi golongan kais pagi makan pagi tetapi golongan ini tidak lagi dapat mengais walau dalam apa keadaan pun. Pentakrifan ini secara kasar sahaja. Sebenarnya fakir itu bukan melhat daripada sudut ekonomi sahaja tetapi daripada aspek lain, seperti penguasaan ilmu. Jadi bangsa yang tidak mementingkan ilmu boleh juga disebut sebagai bangsa miskin ilmu. Kembali kepada sejarah dan tamadun Islam, salah satu faktor kejatuhan kuasa politik Turki Othmaniah ialah kerana kemiskinan ilmu atau diistilahkan oleh sarjana Islam sebagai kemandulan ilmu. Ada ilmu tapi tidak digunakan/diamalkan. Jadi kita jangan pula lupa bahawa Islam datang dan berkembang kerana Iqra'/Bacalah/Ilmu bukan unsur-unsur lain. Jadi kita takut faktor ini menjadi salah satu faktor kejatuhan peradaban Melayu. Ketakutan ini berasas kerana bangsa kita amat kedekut dari sudut ilmu. Lebih suka berhabisan daripada aspek lain.
Keduanya, istilah ini dapat dirujuk kepada pujangga-pujangga zaman klasik atau tradisi. Pujangga dahulu tidak menulis nama mereka ketika menghasilkan karya hebat. Misalnya pujanggga yang menghasilkan Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Sejarah Acheh, Hikayat Merong Mahawangsa dan lain-lainnya. Mereka cukup merendah diri dalam menghasilkan karya tetapi karya-karya mereka cukup hebat. Di dalamnya terkandung kerencaman unsur seperti sejarah negara bangsa, mitos, lagenda, perundangan, ilmu perubatan, budaya dan sebagainya.
Masalahnya kini hasil tulisan mereka tidak dibaca. Jadi mahukah kita menjadi bangsa yang mandul ilmu dan akhirnya hilang sebagai sebuah bangsa yang hebat. Hubaya-hubaya dengan istilah fakir ini. Takut-takut istilah ini melingkari kemudian memusnahkan kita.
Wallahu'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan